- Iklan -
Berita

Azmin dakwa PKNS rugi ratusan juta ringgit jual tanah Broga bawah harga pasaran

Bekas menteri besar Selangor itu berkata kerugian dianggarkan sehingga RM154 juta.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pembangkang Selangor Mohamed Azmin Ali menunjukkan beberapa salinan dokuman melibatkan jualan tanah yang menurutnya merugikan kerajaan negeri.
Ketua Pembangkang Selangor Mohamed Azmin Ali menunjukkan beberapa salinan dokuman melibatkan jualan tanah yang menurutnya merugikan kerajaan negeri.

Ketua Pembangkang Selangor Mohamed Azmin Ali mendakwa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berdepan kerugian besar selepas menjual plot tanah Broga di Semenyih pada harga jauh lebih rendah daripada nilai pasaran semasa.

Bekas menteri besar itu mendedahkan kerugian yang ditanggung dianggarkan antara RM95 juta hingga RM154 juta.

Dalam ucapan di Dewan Undangan Negeri Selangor semalam, Azmin berkata tanah seluas 897 ekar itu dijual pada harga RM6.73 sekaki persegi.

- Iklan -

Ia meskipun Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada 2022 menetapkan nilai tanah tersebut pada RM10 sekaki persegi, manakala pihak swasta pula meletakkan nilai pada RM11 sekaki persegi.

Azmin turut membentangkan laporan mesyuarat PKNS pada Februari 2024 yang menunjukkan tanah Broga seluas 997 ekar terdiri daripada tiga plot dijual pada harga jauh lebih rendah daripada nilai pasaran semasa.

Bagi plot 1 dan 2 terdiri dariapda 897 ekar dan plot 3 berkeluasan 100 ekar dan mempunyai aktiviti batu kuari. 

Tanah plot merujuk kepada tanah yang tidak mempunyai geran tanah secara individu seperti tanah lot, dan merupakan sebahagian tanah yang berkongsi hakmilik dengan orang lain dalam lot yang sama dengan geran tanah yang sama.

"Apakah kerajaan negeri ini ejen jual tanah? Sedangkan mandat yang diberikan kepada PKNS pada 1960 adalah untuk membuka perumahan dan membina rumah mampu milik dan kos rendah untuk rakyat negeri Selangor," kata Azmin semalam.

PKNS_HQ"Hari ini, PKNS menjadi ejen menjual tanah pada harga yang jauh lebih rendah daripada apa yang dibuat penilaian oleh JPPH."

Wakil rakyat Hulu Kelang itu turut mempersoalkan tindakan PKNS yang hanya menerima satu penyertaan untuk membida tanah tersebut, iaitu syarikat Trans Loyal Development Sdn Bhd.

- Iklan -

Azmin, yang pernah menjadi pengerusi PKNS ketika menjadi MB, berkata jika hanya satu syarikat yang membida, proses tender sepatutnya dibuka semula bagi memastikan ketelusan berlaku. 

Sebaliknya, beliau berkata PKNS terus mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat tersebut.

Azmin membentangkan salinan surat tawaran berkenaan kepada sidang DUN sebagai bukti pendedahannya. 

Semakan mendapati syarikat tersebut adalah sebuah syarikat pemaju yang beralamat di Bandar Baru Bangi, Selangor.  

Azmin mempertikaikan alasan dikemukakan PKNS menjual plot tanah dengan harga jualan lebih rendah disebabkan hanya 74% daripada keseluruhan keluasan tanah tersebut boleh dibangunkan. 

Bagaimanapun, katanya, apabila proses pemindahan hak milik berlaku, keseluruhan 897 tanah dipindahkan kepada syarikat pemaju tersebut tanpa sebarang bayaran diterima untuk lebihan 26% tanah kepada PKNS. 

"(Syarikat) mendapat percuma," katanya sambil menambah jumlah kerugian tersebut boleh dimanfaatkan untuk kebajikan rakyat Selangor. 

Ujarnya lagi, jualan bagi tanah plot 3 lebih "menarik" apabila PKNS menjual pada harga cuma RM5.73 sekaki persegi, sambil mendedahkan satu lagi salinan surat tawaran sebagai bukti. 

- Iklan -

Katanya, hasil cariannya mendapati pemilik bagi ketiga-tiga tanah plot itu berbeza nama syarikat tetapi terdiri daripada pemegang saham dan lembaga pengarah yang sama.  

Mereka ialah Trans Loyal Development Sdn Bhd dan Sutera Maya Resources Sdn Bhd. 

"Mengapa tanah berkeluasan ratusan ekar boleh terlepas kepada syarikat-syarikat ini?" soalnya.