Masa depan politik Rafizi, Guan Eng di persimpangan menjelang pemilihan PKR, DAP
Tiada jaminan menteri ekonomi itu tidak akan dicabar dalam pemilihan PKR, manakala dalam DAP, 'dinasti Lim' berdepan penolakan.
Terkini
Masa depan politik dua pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) menjadi perhatian menjelang pemilihan pucuk kepimpinan hampir semua parti politik pada tahun ini.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng mungkin mengalami jalan sukar di sebalik pengaruh mereka yang semakin dicabar, manakala pemimpin utama kedua-dua parti yang menjadi tunjang pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu dilihat selesa kekal berkuasa.
PKR dan DAP bakal mengadakan pemilihannya pada Mac ini, manakala Amanah dan Umno - dua parti teras Melayu yang masih gagal menandingi pembangkang dalam meraih sokongan Melayu, akan mengadakan pemilihan pada tahun depan.
Anwar dijangka mengekalkan jawatannya pada pemilihan PKR kali ini, iaitu penggal terakhir beliau menjadi presiden.
PKR bagaimanapun mungkin tidak akan mempertandingkan jawatan presiden.
Bagaimanapun, pemerhati politik Hisomuddin Bakar berkata tiada jaminan kerusi timbalan presiden yang disandang Rafizi tidak akan dipertandingkan.
Bagaimanapun, persoalan yang timbul ialah siapa akan mencabar menteri ekonomi itu.
Menurut Hisomuddin lagi, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari selesa sebagai naib presiden, berbanding Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution yang tidak tidak mempunyai kedudukan tinggi dalam hierarki parti untuk mencerminkan posisi beliau dalam Kabinet.
"Jika bertanding, Saifuddin perlu memperbaiki komunikasi dan engagement beliau dengan akar umbi yang mana sebelumnya rekod beliau sangat buruk di peringkat ahli parti," Hisomuddin, pengarah eksekutif Ilham Center, memberitahu MalaysiaNow.
Saifuddin belum menyatakan sama ada akan sekali lagi bertanding merebut jawatan timbalan presiden, selepas tewas dua kali dalam pertandingan jawatan nombor dua itu.
Katanya persaingan dalam PKR kali ini lebih sengit, memandangkan jawatan parti menjadi tiket bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Era kejatuhan Dinasti Lim?

Sementara itu, perebutan semakin ketara antara kem diwakili Guan Eng, yang juga dikenali sebagai "dinasti Lim", dan kem Setiausaha Agung, Anthony Loke.
Tekanan terhadap Lim bertambah selepas Loke dan Timbalan Pengerusi, Nga Kor Ming mengumumkan kesepakatan untuk memperkasakan DAP, dalam apa yang dilihat sebagai pakatan mengurangkan pengaruh "dinasti Lim".
Penganalisis Oh Ei Sun berpandangan ahli DAP berpuas hati dengan kepimpinan Loke.
"Kalau pun ada, terdapat perebutan kuasa antara kem yang menggabungkan Loke dan Ngah, dalam berdepan pengaruh Lim," kata Oi dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.
Oh berkata sentimen akhbar vernakular Cina memberikan petanda bahawa pengaruh "dinasti Lim" dalam DAP akan merosot pada pemilihan akan datang.
Parti majoriti Cina itu mempunyai 40 kerusi, menjadikannya komponen terbesar dalam kerajaan Anwar.
Bagi Hisomuddin, pemilihan DAP kali ini adalah pertembungan antara generasi.

Katanya, kemerosotan pengaruh dinasti Lim boleh dilihat apabila ura-ura Lim Hui Ying, iaitu adik perempuan Guan Eng, untuk mengetuai DAP Pulau Pinang, tidak menjadi realiti.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim pula yang dilantik menjadi pengerusi DAP di negeri yang diperintah parti itu sejak 2008.
"Inilah punca serangan kem Lim ke atas Steven Sim baru-baru ini di mana menteri sumber manusia itu dilabel pengkhianat," katanya merujuk insiden Sim diherdik dalam sebuah majlis makan malam meraikan bapa Lim, pemimpin veteran Lim Kit Siang.
Hisomuddin berkata, kekalahan Gobind Singh Deo dalam pemilihan DAP Selangor juga menandakan penolakan terhadap dinasti Lim.
Menteri digital itu hanya memperoleh 675 undi walaupun menjawat pengerusi DAP Selangor, dan gagal menjadi sebahagian daripada 15 nama yang mendapat undian tertinggi bagi melayakkan diri sebagai ahli jawatankuasa pusat DAP negeri.
"Wujud dakwaan bahawa Gobind bersama kem Guan Eng, maka penolakan terhadap beliau berlaku," katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.