- Iklan -
Berita

Langkah Petronas buang pekerja beramai-ramai timbulkan persoalan mengenai kecekapan Anwar

Gergasi petroleum nasional itu baru-baru ini mengumumkan 'pelarasan saiz', istilah yang digunakan untuk pembuangan kerja melibatkan ribuan staf.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi

Seorang bekas anggota Unit Perancang Ekonomi (EPU) tampil mempersoalkan sama ada pengumuman Petronas bakal mengurangkan tenaga kerjanya berpunca daripada kelemahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam rundingannya dengan Sarawak.

Syarikat minyak dan gas negara itu, yang telah menyumbang berbilion ringgit kepada kantung kerajaan, baru-baru ini mengumumkan apa yang disifatkannya sebagai "rightsizing" (pelarasan saiz) dengan mengambil kira "persekitaran global yang mencabar", menurut CEO Tengku Muhammad Taufik.

Bagaimanapun, penjelasan itu tidak meyakinkan Isham Jalil.

- Iklan -

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata isu membabitkan Petronas dengan Petros, firma milik kerajaan Sarawak, mungkin turut menjejaskan kedudukan syarikat petroleum nasional itu.

Isham mendakwa Putrajaya "tak reti" berunding, sambil berkata kedudukan politik Anwar yang lemah menyebabkan beliau terpaksa bergantung kepada sokongan Sarawak untuk kekal sebagai perdana menteri.

"Hal Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 bukan benda baharu dan sudah wujud sejak perdana menteri lepas, tetapi Petronas tidak sampai tahap buang orang," katanya kepada MalaysiaNow.

"Jika benar ekonomi bagus, mengapa sampai terpaksa buang orang?" 

Petronas mempunyai hampir 70,000 pekerja di seluruh dunia, di mana kira-kira 15,000 merupakan staf terlibat dalam sistem sokongan dan bidang pengurusan.

Kali terakhir pembuangan kerja besar-besaran berlaku di Petronas ialah pada 2016, melibatkan kira-kira 1,000 pekerja yang mewakili kurang 2% tenaga kerja syarikat itu.

Pemandangan Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur ketika matahari terbenam.
Pemandangan Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur ketika matahari terbenam.

Sebelum ini, Anwar yang juga menteri kewangan memberitahu Dewan Rakyat bahawa Petronas akan mengekalkan tanggungjawab domestik dan antarabangsana walaupun selepas Petros milik Sarawak mengambil alih kawalan gas di negeri itu bermula 1 Mac.

- Iklan -

Sarawak meminda Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016 yang membolehkan Petros menjadi agregator gas tunggal negeri itu, yang menyaksikan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengagihan gas di Sarawak mesti memohon lesen.

Menurut RHB Investment Bank pada Julai lepas, Petronas bakal kehilangan sebahagian keuntungannya selepas lantikan Petros sebagai agregator gas tunggal di Sarawak, yang menjejaskan keupayaan gergasi minyak itu untuk membelanjakan modal jangka masa panjang.

Laporan RHB itu turut menyatakan, segmen gas menyumbang RM101 bilion atau 30% keuntungan Petronas pada 2023.

Petronas membayar dividen RM40 bilion kepada kerajaan pada 2023, susut daripada RM50 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Isham menggesa Petronas menjelaskan kriteria "rightsizing" dan piawai industri yang digunakan.

Isham Jalil
Isham Jalil

"Petronas adalah syarikat kerajaan, ia bukan syarikat swasta yang hanya mementingkan keuntungan. Ia milik rakyat. Tetapi kini di bawah Anwar ia mahu buang rakyat. 

"Sebelum Petronas buang rakyat, mungkin kita perlu buang Anwar dulu," katanya. 

Bagaimanapun, penganalisis Samirul Arif Othman berkata tindakan Petronas itu bukan disebabkan masalah kewangan, tetapi perubahan struktur yang juga dialami sektor minyak dan gas global.

- Iklan -

"Banyak syarikat minyak dan gas global seperti Shell dan ExxonMobil juga sedang menjalani pelarasan tenaga kerja yang serupa," katanya.

Samirul yang juga perunding kanan dengan firma Global Asia Consulting berkata, industri minyak dan gas berdepan tekanan daripada peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dan pelaburan hijau.

Antara lain, terdapat kebimbangan terhadap penurunan margin keuntungan dan risiko tinggi dalam projek huluan.

"Petronas juga perlu mengurangkan kos pentadbiran dan mempercepat proses membuat keputusan," katanya.

Tekanan buka pasaran

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Abd Halim Husin berkata Petronas berdepan cabaran "double whammy" bukan sahaja disebabkan Petros, tetapi juga hasrat kerajaan yang ingin melaksanakan liberalisasi pasaran gas menerusi Pelan Hala Tuju Gas Asli dalam usaha memecahkan monopoli.

Halim berkata hasrat kerajaan untuk benar-benar membuka pasaran kepada lebih banyak pemain akan mengurangkan bahagian pasaran dan keuntungan Petronas.

"Jika kerajaan tidak mengimbangi liberalisasi dengan strategi jelas untuk memastikan Petronas kekal kompetitif, ia boleh menjejaskan peranan Petronas sebagai 'cash cow' negara dalam jangka panjang."

- Iklan -

Halim tidak menolak kemungkinan wujud tekanan dari perjanjian perdagangan atau pelabur asing yang mahu melihat pasaran gas Malaysia lebih terbuka, yang boleh memanfaatkan industri besar, syarikat baharu dan pengguna menerusi kos gas yang menurun untuk penjanaan elektrik.

"Jika tidak diurus dengan baik, liberalisasi boleh membawa kepada ketidaktentuan harga, eksploitasi oleh syarikat swasta, atau kebergantungan kepada syarikat asing.

"Isu ini memerlukan perincian dasar yang jelas supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat, bukan sekadar menguntungkan syarikat besar," katanya.

Samirul berkata, liberalisasi pasaran datang dengan peluang dan risiko. 

Katanya, walaupun ia menambah baik persaingan, menarik pelaburan dan mengekalkan keselamatan tenaga, ia juga boleh mengurangkan keuntungan Petronas dan mencipta ketidaktentuan pasaran.

"Kuncinya adalah merangka dasar yang menggalakkan persaingan sihat sambil memastikan Petronas— yang masih menjadi tunjang utama ekonomi Malaysia— untuk terus menyesuaikan diri dengan landskap yang semakin berubah.

"Persoalannya bukanlah sama ada Petronas akan kehilangan dominasinya, tetapi bagaimana syarikat itu dapat memperbaharui dirinya untuk kekal relevan dalam era tenaga yang semakin hijau dan terbuka," tambah beliau.

Sementara itu, Isham mengkritik kerajaan yang sering menyalahkan monopoli untuk menutup kelemahan sendiri.

"Kita mahu pecahkan monopoli untuk turunkan harga. Tetapi jika harga tidak turun, tiada sebab untuk menghapuskan monopoli.

"Harga minyak, gas dan caj pemeriksaan di Puspakom contohnya, adalah antara yang dikawal selia. Jika persaingan tidak mempengaruhi harga, tidak perlu pecahkan monopoli," katanya merujuk kontroversi pelantikan beberapa syarikat untuk menyediakan khidmat pemeriksaan kenderaan bagi Jabatan Pengangkutan Jalan.