- Iklan -
Berita

1...2... lari! Peniaga kesal PBT abaikan keselamatan edar tapak bazar Ramadan

Keselamatan peniaga termasuk warga emas terancam oleh konsep 'siapa cepat dia dapat' untuk merebut tapak.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Peniaga berdepan risiko kecederaan apabila terpaksa berlari dan berebut untuk mengejar tapak bazar yang sesuai, seperti mana berlaku di Muar dan dirakamkan dalam sebuah klip video yang tular.
Peniaga berdepan risiko kecederaan apabila terpaksa berlari dan berebut untuk mengejar tapak bazar yang sesuai, seperti mana berlaku di Muar dan dirakamkan dalam sebuah klip video yang tular.

Sejak lapan tahun lalu, Najwa sudah terbiasa menyaksikan situasi huru-hara ketika para peniaga bazar Ramadan mahu mendapatkan slot pendaftaran tapak jualan.

Dia melihat sendiri kekecohan dengan jeritan dan pergelutan antara peniaga untuk mendapatkan tempat dalam barisan.

Lebih mengejutkan, para peniaga terpaksa berlari sehingga ada yang terjatuh demi memastikan mereka mendapat lokasi bazar yang diidamkan.

- Iklan -

Bagaimanapun, tahun ini, dia sendiri menjadi mangsa apabila terjatuh ketika berlari untuk mendaftar tapak bazar dalam satu insiden yang sempat dirakam dan menjadi tular di media sosial. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, Najwa menyifatkan situasi itu sebagai satu "tradisi" yang pasti berulang saban tahun tanpa sebarang usaha penambahbaikan oleh pihak berkuasa.

Baru-baru ini tular klip video mengenai kejadian yang berlaku di Muar, Johor minggu lalu ketika proses pendaftaran tapak bazar Ramadan bagi daerah berkenaan.

Menurut Najwa, peniaga mula berkumpul dan menunggu di luar pintu pagar Dewan Jubli Intan seawal jam 3 pagi sebelum pintu pagar dibuka beberapa minit sebelum pukul 7 pagi.

Peniaga terpaksa berebut lorong pendaftaran di dalam dewan, di mana lokasi tapak bazar ditentukan berdasarkan konsep "siapa cepat, dia dapat". 

"Di Muar, Bazar Ramadan Kampung Tengah Sungai Abong menjadi rebutan ramai kerana tempatnya strategik dan bilangan pengunjung lebih tinggi berbanding dua lokasi tapak bazar lain yang disediakan oleh PBT," katanya menceritakan saat dia terjatuh dan mengalami luka ringan ketika menyertai ratusan peniaga lain merebut tapak.

Tambahnya, dari pemerhatiannya sejak beberapa tahun lalu, sesiapa yang terjatuh akan terus bangun dan berlari tanpa memikirkan keselamatan diri kerana bimbang terlepas peluang mendapatkan tapak jualan.

- Iklan -

"Situasi dan keadaan macam ini sangat tak sistematik terutamanya apabila melihat warga emas dan orang tua yang turut berkumpul dari pintu depan dan terpaksa berlari untuk ke dewan yang jaraknya jauh. 

"Sebelum ini, memang ada makcik-makcik yang jatuh sebab berebut nak daftar tapak cuma insiden itu tidak tular." 

Najwa berkata klip yang tular itu membuka mata banyak pihak tentang realiti dihadapi peniaga setiap tahun menjelang bulan puasa.

Di TikTok, beberapa peniaga bazar Ramadan di Muar mengulas isu sama, mengatakan mereka pernah menjadi mangsa disebabkan kelemahan pihak PBT menguruskan proses pendaftaran tapak jualan.  

Seorang pengguna berkata bapanya pernah cedera ketika membantu seorang peniaga yang terjatuh dirempuh sekumpulan peniaga yang berlari untuk mendaftar tapak.  

"Kalau saman siap boleh bayar guna aplikasi. Tapi tapak bazar kena berlari?" komen pengguna Almy pada video tular tersebut.

MalaysiaNow sedang mendapatkan maklum balas Majlis Perbandaran Muar.

bazar_ramadan_JalanTARSementara itu, seorang peniaga veteran dikenali sebagai Abang An, yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman berniaga di bazar Ramadan dan pasar malam, berkata dia telah melalui pelbagai proses pendaftaran untuk mendapatkan tapak jualan termasuk berlari untuk berebut tapak. 

- Iklan -

Bermula di Bazar Ramadan Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru pada awal tahun 2000, lelaki berusi 57 tahun itu berkata dia pernah berdepan situasi berebut borang permohonan tapak bazar kerana bilangan tapak yang terhad.

Katanya, dia juga turut diganggu dengan isu kartel tapak bazar di mana kumpulan tertentu menguasai pengurusan bazar selain mengaut untung atas jualan tapak dengan harga yang tinggi. 

Meskipun sudah dua dekad berlalu, dia tidak menafikan masih ada banyak masalah "mentaliti" antara peniaga dan PBT. 

"Dulu, majoriti peniaga yang saya jumpa menganggap, kalau tak berebut tak boleh berniaga. Kalau tak gaduh isi borang, tak boleh berniaga. 

"PBT pula sering memberi alasan, 'dah biasa macam ini'. Mengapa? Sebab setiap tahun prosesnya tetap sama tanpa sebarang desakan daripada pihak berkuasa yang lebih tinggi.

"Oleh itu, mereka menganggap tiada masalah dalam sistem ini, sebaliknya menyalahkan atau menuduh peniaga yang gemar berebut dan bergaduh." 

Katanya lagi, perubahan tetap sukar berlaku meskipun melibatkan inovasi dan teknologi selagi masalah dalaman seperti penyalahgunaan kuasa dan monopoli tapak masih berleluasa.

Perniagaan minuman Abang An kini berpindah ke Shah Alam, Selangor.

- Iklan -

Bagaimanapun, meskipun negeri itu memberikan lesen perniagaan secara dalam talian, ia tidak bermaksud masalah sudah selesai. 

Jelasnya, lesen dalam talian hanya memudahkan proses permohonan tetapi masih gagal menangani isu seperti jualan semula tapak dengan harga tinggi atau "pinjaman" tapak kepada warga asing.

Menurutnya lagi, "saki baki kartel" masih wujud di PBT dan mempunyai pengaruh secara halus terhadap pengurusan tapak bazar, meskipun secara dasarnya tapak bazar dikendalikan oleh PBT. 

"Dah masuk 10 tahun, tapi masih tak berubah. Bagaimana nak berubah jika kita melihat kepada permasalahan yang tak tepat?

"(Isu) tentang cara nak daftar tapak bukan keutamaan, tetapi bagaimana nak ada sistem yang telus dan adil, yang benar-benar memastikan tapak diagihkan kepada peniaga yang layak tanpa campur tangan pihak tertentu atau unsur kartel.

"Kalau setiap tahun peniaga masih terpaksa berebut dan ada yang sanggup membayar harga tinggi hanya untuk tapak berniaga, itu tandanya ada sesuatu yang tak kena dalam pengurusan bazar."