Latheefa bidas 'sandiwara' Anwar, anggap rakyat langsung tak dapat manfaat sejak kerajaan terbentuk
Daripada dakwaan memerangi rasuah sehingga ke lawatan luar negara untuk menarik pelaburan, bekas pemimpin PKR dan ketua SPRM itu berkata kerajaan Anwar telah menghampakan rakyat.
Terkini
Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan menyifatkan dakwaannya memerangi rasuah sebagai "wayang untuk mengaburi orang ramai".
Latheefa Koya, yang pernah menjadi sebahagian daripada pasukan peguambela ketika Anwar berdepan tuduhan liwat, berkata beliau tidak terkejut dengan pelbagai pusingan U dilakukan perdana menteri, termasuk tindakan pihak berkuasa menyasarkan musuh politik dengan tuduhan rasuah tetapi pada masa sama melepaskan sekutu yang terpalit kes prima facie.
"Perang apa? Semua ni hanyalah sandiwara," kata peguam yang memimpin SPRM dari Jun 2019 hingga Februari 2020, ketika kemuncak penyiasatan dan pendakwaan berkait skandal 1MDB.
"Tidak menghairankan, tetapi pada masa yang sama adalah melucukan bila terdengar cakap-cakap memerangi rasuah," katanya dalam program temu bual Straight Talk oleh KiniTV yang dihoskan bekas duta Malaysia Dennis Ignatius. "Sehingga hari ini, dia terus mengatakannya, tetapi bagi saya, ia bukanlah perang."
Menurutnya, tidak banyak yang boleh diharapkan daripada seseorang yang melantik seorang yang berdepan puluhan kes rasuah sebagai timbalan perdana menteri, merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, orang yang memastikan Anwar mendapat cukup sokongan dalam memenuhi cita-citanya menjadi perdana menteri.
"Siapa yang sanggup berbuat demikian? Hanya mereka yang tidak mempunyai prinsip," kata Latheefa.
Bekas ahli PKR selama dua dekad yang keluar parti pada 2019 itu berkata, ada pemimpin yang menolak jawatan tinggi kerana tidak mahu berkompromi dengan prinsip.
"Tetapi di sini, anda (Anwar) cepat menerimanya, dan kini anda terperangkap."
Katanya, apa yang mengecewakan ialah sikap tersebut ditunjukkan sebuah kerajaan yang menjalankan kempen pilihan raya atas dasar memerangi rasuah.
'Jika benar Najib mangsa, bebaskan saja'
Latheefa turut mempersoalkan Anwar atas dakwaannya pada Disember lalu bahawa kes rasuah dan sabitan selepas kejatuhan Barisan Nasional pada 2018 yang didorong oleh dendam politik.
"Adakah dia mempersoalkan mahkamah? Sebagai contoh, ramai hakim yang telah terlibat dalam perbicaraan dan mensabitkan Najib," katanya merujuk kepada sabitan bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International.
Menurutnya, dakwaan Anwar itu merupakan serangan terhadap mahkamah tertinggi negara.
Latheefa mencabar Anwar untuk membebaskan terus Najib sekiranya yakin bekas pemimpin itu mangsa pendakwaan berniat jahat.
Bagaimanapun, katanya Anwar lebih gemar "berpusing-pusing" dengan isu titah adendum melibatkan arahan bekas Agong supaya Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
"Mengapa separuh jalan? Ia sama ada dia (Najib) merupakan mangsa atau tidak. Mengapa tidak bebaskan saja Najib?
"Inilah cara biasa perdana menteri berpusing-pusing mengenai sesuatu perkara yang perlu dijawabnya."
Pada 6 Januari, Mahkamah Rayuan membenarkan semakan kehakiman oleh Najib berhubung kewujudan titah tambahan (adendum) oleh bekas Yang di-Pertuan Agong yang mahukan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah, hampir setahun selepas hukuman penjara 12 tahunnya dikurangkan kepada enam tahun melalui pengampunan diraja.
Keputusan itu merupakan tamparan kepada kerajaan Anwar yang enggan mengakui kewujudan dokumen berkenaan.
Latheefa berkata, kontroversi adendum itu juga sebahagian daripada sandiwara Anwar, yang menurutnya membuat pendirian berbeza untuk memuaskan hati semua orang.
Beliau berkata Anwar sendiri bersalah kerana "berkompromi", sambil menambah perdana menteri masih terus mengelirukan orang ramai mengenai isu itu.
Katanya lagi, Anwar bersikap hipokrit dan berbohong kepada rakyat dengan melepaskan pemimpin yang berdepan tuduhan rasuah yang serius.
Tindakan kerajaan Anwar untuk menggugurkan tuduhan rasuah dan memberikan "diskaun hukuman" kepada bekas pemimpin tidak mengejutkan kerana Pakatan Harapan (PH) sememangnya telah bergabung dengan pemimpin Umno yang terpalit skandal.
"Jadi bagaimana mungkin anda kini mengisytiharkan perang terhadap rasuah biarpun secara berpura-pura? Ini sesuatu yang kita patut tanya diri kita," tambahnya.
'Tiada manfaat langsung'
Latheefa berkata ramai yang mengalu-alukan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya 2022 atas alasan ia adalah "pilihan terbaik".
Bagaimanapun, rakyat tidak merasakan manfaat daripada kerajaan gabungan itu.
"Tiada rancangan untuk menyelesaikan simpanan (hari tua). Ini adalah masalah yang serius. Dan kita mendapat reaksi yang sangat emosional bila-bila ada yang menyoal perdana menteri yang juga menteri kewangan. Dia banyak berdolak dalih dengan jawapannya, dengan berkata 'saya ke sana sini untuk menarik pelaburan'. Tetapi di mana hasilnya? Kita tak nampak. Harga barang semakin tinggi tetapi orang ramai diminta diam."
Latheefa berkata di bawah pentadbiran BN yang lalu, rakyat Malaysia sekurang-kurangnya merasakan kestabilan walaupun rasuah berleluasa.
"Sekarang ini, tak dapat apa-apa pun. Semua orang kecewa, semua orang buntu. Ini masa yang teruk dan hanya mendedahkan hipokrisi orang politik."
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.