Dipukul, dipijak: Keluarga bidas Saifuddin berbohong insiden belasah tahanan Sosma pada hari Thaipusam
Dua wanita menceritakan rasa terkejut apabila melihat sendiri kecederaan dialami suami mereka.
Terkini
Ahli keluarga banduan yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), atau Sosma, membidas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution yang menafikan sejumlah 30 tahanan di Penjara Sungai Buloh telah dipukul oleh anggota keselamatan.
Bercakap kepada MalaysiaNow, dua wanita berkata mereka melihat sendiri kecederaan dialami suami mereka dalam satu pertemuan mingguan.
P Prem Sri berkata laporan polis pun dibuat pada 12 Februari, sehari selepas cuti sambutan Thaipusam, selepas mendapat maklumat bahawa suaminya dibawa ke Hospital Sungai Buloh dalam keadaan berkerusi roda.
"Sehari sebelumnya, kami mendapat maklumat bahawa tahanan-tahanan ini dipukul Selepas itu aya menghubungi peguam untuk mendapatkan kesahihan keadaannya. Saya kemudian membuat laporan polis pada hari tersebut."
Menurut Prem, pegawai penyiasat memberitahunya keadaan kesihatan suaminya, V Wilbert, disebabkan mogok lapar dan bukan kerana dipukul.
Wilbert, 47, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan pada September tahun lepas kerana disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah terancang.
Pada 16 Februari, semasa melawat suaminya, Prem melihat sendiri kecederaan yang dialami suaminya di bahagian lutut, kaki kiri, dan belakang kepala.
"Dia memberitahu saya bahawa dia dan tahanan lain dikumpul dalam satu sel dan dibelasah oleh anggota keselamatan dalam jumlah yang ramai.
"Jadi menteri (Saifuddin) berbohong dengan mengatakan insiden itu tidak berlaku. Saya rasa sedih, mereka (pihak menteri) tidak berjumpa dengan tahanan tetapi mengatakan tiada insiden pukul," kata Prem.
Sebelum ini, seramai 32 tahanan Sosma di Penjara Sungai Buloh mengadakan mogok lapar bermula 7 Februari lepas.
Pada 8 Februari, keluarga mereka turut melancarkan mogok lapar di luar kompleks penjara.
Tahanan-tahanan itu dipercayai dipukul pada 11 Februari iaitu ketika sambutan Thaipusam, dalam usaha memaksa mereka menghentikan mogok tersebut, menurut keterangan mangsa.

Pada 13 Februari, Saifuddin mendakwa insiden pukul itu tidak berlaku selepas menerima laporan pihak Jabatan Penjara.
"Saya terima laporan penuh itu dan insiden memukul itu tidak berlaku,” katanya.
Sementara itu, peguam Latheefa Koya daripada Lawyers For Liberty berkata, banduan yang dipukul menceritakan butiran insiden itu semasa dibawa ke mahkamah pada 20 Februari.
Antara bentuk serangan termasuklah dipukul dengan cota, dicampak ke dinding dan dipijak dengan kasut but.
"Menteri kata mereka dibawa ke hospital kerana mogok. Kalau mogok, kenapa ada balutan di kepala? Sekurang-kurangnya tiga orang mempunyai balutan di kepala dan seorang tahanan memakai anduh (sling)," katanya dalam sidang media semalam.
Menurutnya, sehingga kini belum ada laporan mengenai tindakan yang diambil terhadap pegawai yang melakukan kesalahan tersebut.
Tambahnya, tidak ada berita mengenai kejadian tersebut atau sama ada siasatan akan dilakukan.
"Ini sangat-sangat membimbangkan," kata Latheefa.
Seorang lagi isteri tahanan, M Kalaivani turut mendakwa Saifuddin berbohong, dan berkata dia melihat sendiri keadaan suaminya pada 13 Februari.
"Tangan dan rusuknya berwarna biru kehitaman dan dia mengalami kesakitan ketika bernafas. Suami saya mengatakan dia dipijak oleh anggota keselamatan bersama-sama tahanan lain.
"Saya membuat laporan polis pada hari yang sama namun sehingga hari ini tiada panggilan daripada pegawai penyiasat," kata ibu kepada tiga orang anak itu.
Berdasarkan keterangan suaminya, tahanan juga dipaksa menandatangani dokumen menyatakan mereka bersetuju untuk menghentikan mogok sebelum mereka dibenarkan untuk dibawa ke hospital.
Sementara itu, peguam N Surendran berkata laporan polis telah dibuat oleh tahanan sendiri selepas dibenarkan oleh mahkamah yang dimaklumkan mengenai insiden itu.
Katanya, mahkamah mengarahkan tahanan dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi pemeriksaan kesihatan.
"Kami juga akan memohon rekod kesihatan mereka."
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.