Amirudin bakal cabar Rafizi: PKR menuju perang proksi sekali lagi
Sumber berkata MB Selangor itu mendapat sokongan Anwar Ibrahim dalam usaha melunturkan pengaruh Rafizi Ramli.
Terkini
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli disebut-sebut akan dicabar Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk jawatan nombor dua parti itu walaupun kedua-duanya merupakan sekutu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, MalaysiaNow dimaklumkan oleh mereka yang arif dengan perkembangan menjelang pemilihan pucuk pimpinan akan datang.
Bagaimanapun, berbeza dengan seterunya sebelum ini, Rafizi akan berdepan dengan seorang calon yang berat hati untuk masuk gelanggang, di mana sumber dalaman berkata Amirudin tiada pilihan tetapi menurut kehendak presidennya Anwar Ibrahim.
Pada Disember lalu, MalaysiaNow melaporkan mengenai "isyarat dari orang atas" supaya Amirudin menyertai pertandingan jawatan timbalan presiden dalam usaha di tengah-tengah usaha mencantas Rafizi.
Sumber PKR berkata Rafizi semakin dilihat sebagai liabiliti, terutama selepas kempen pilihan raya kecil Sungai Bakap pada Julai tahun lepas yang dipimpin beliau, yang berakhir dengan kekalahan teruk Pakatan Harapan di tangan Perikatan Nasional di sebalik penarikan balik subsidi diesel.
Meskipun begitu, Rafizi dikatakan masih terus pengaruhnya dalam PKR dengan memanfaatkan kedua-dua jawatannya dalam Kabinet serta kekosongan yang ditinggalkan bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali, yang pernah mengalahkannya pada 2018.
Kekosongan tersebut membuka jalan kepada Rafizi untuk menewaskan dengan mudah Saifuddin Nasution pada 2022.
Saifuddin, antara yang paling setia kepada Anwar, dilantik sebagai menteri dalam negeri walaupun tewas dalam kedua-dua pemilihan parti dan pilihan raya umum.

Seorang bekas pemimpin PKR berkata kemenangan Rafizi adalah sesuatu yang dijangka sekiranya beliau dicabar Amirudin untuk jawatan nombor dua itu.
"Amirudin menyedari perkara itu, sebab itulah dia keberatan. Dia pun memang dalam kedudukan selesa sebagai MB dan naib presiden parti. Malah, disebabkan Umno yang memecahkan undi di Gombak, nasib dia baik dapat mengalahkan Azmin pada pilihan raya umum 2022," katanya.
Amirudin baru-baru ini mengesahkan akan turut serta dalam pemilihan pucuk pimpinan parti yang akan diadakan pada Mei ini.
Spekulasi beliau akan mencabar Rafizi semakin kedengaran selepas gesaannya baru-baru ini supaya ada ruang berbincang mengenai cadangan supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.
"Bagi saya jika kedua jawatan itu dipertandingkan dan ia dapat memperkukuh serta memperkemas gerak kerja parti, bolehlah, tetapi jika pertandingan itu akhirnya menimbulkan perbalahan dan mengusahakan parti dalam jangka masa panjang terhadap kerajaan, saya rasa ia wajar dimusyawarah," katanya.
"Tetapi hak demokrasi itu ada."
Walaupun jawatan Anwar sebagai presiden kekal tidak dipertandingkan, sesuatu yang wajar memandangkan penubuhan parti itu sendiri adalah demi survival politiknya, hakikatnya calon yang disokong oleh beliau atau ahli keluarganya tidak pernah menang dalam perebutan untuk jawatan nombor dua.
Pada pemilihan 2010, Azmin dicabar Zaid Ibrahim, bekas pemimpin Umno yang didokong isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, ketika itu presiden PKR.
Empat tahun kemudian, Azmin sekali lagi dicabar, kali ini dalam pertandingan enam penjuru yang turut melibatkan Saifuddin dan MB Selangor ketika itu, Abdul Khalid Ibrahim. Azmin menang walaupun Saifuddin mendapat sokongan Anwar.
Pemilihan tersebut diadakan enam bulan sebelum Langkah Kajang, rancangan Anwar dan Rafizi untuk meletakkan Wan Azizah sebagai MB Selangor menggantikan Khalid, yang berakhir dengan kegagalan selepas Sultan Selangor melantik Azmin sebagai MB.
Pada 2018, Azmin dicabar oleh Rafizi yang mendapat sokongan tersirat Anwar, dalam pemilihan parti yang seterusnya membawa kepada perpecahan PKR dua tahun kemudian, dan akhirnya menyebabkan kejatuhan kerajaan PH yang berusia dua tahun ketika itu.
Beberapa sumber dalaman parti berkata Anwar berhati-hati dengan pengaruh Rafizi dalam parti.
Mereka berkata ia semakin ketara dalam usaha Anwar cuba meredakan kegelisahan rakan gabungannya terhadap pelbagai tindakan Rafizi untuk menghapuskan subsidi, usaha yang bakal memutuskan masa depan politik Rafizi.
Seorang pemimpin Umno berkata tempias politik daripada rancangan Rafizi itu paling dirasai oleh Umno berbanding parti lain.
"Umno bertanding di kawasan yang paling menerima kesan daripada langkah memansuhkan subsidi. Dengan meneruskan apa yang dia (Rafizi) sebut sebagai penyasaran semula subsidi itu, dia sebenarnya perlahan-lahan bawa kita masuk kubur," seorang ketua bahagian Umno di Pahang memberitahu MalaysiaNow.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.