- Iklan -
Berita

Blog aktivis veteran Hishamuddin Rais pula disekat

Ia berlaku ketika sekatan serupa dikenakan TikTok terhadap puluhan akaun agensi media tempatan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis sosial Hishamuddin Rais.
Aktivis sosial Hishamuddin Rais.

Sebuah blog terkemuka yang menyasarkan ahli politik dengan ulasan lucu kini "dikunci" atas alasan melanggar peraturan komuniti, alasan sama yang mengakibatkan puluhan akaun TikTok organisasi media Malaysia dipadamkan minggu ini. 

Hishamuddin Rais, yang mencoretkan pelbagai komen dalam blognya Tukar Tiub (TT) mempersoalkan siapa di sebalik tindakan itu.

"Pendirian TT jelas. Jika musuh menyerang – itu tanda baik.

- Iklan -

"Maknanya apa yang kita buat memberi kesan. Jika musuh tidak menyerang itu tanda tidak baik – ertinya yang dibuat tidak efektif," kata aktivis veteran itu. 

Hishamuddin yang kerap mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata blog itu pernah dipadam pada 2018, dua minggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan kejatuhan Barisan Nasional.

Ia kemudian dihidupkan kembali di bawah pentadbiran Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

"Pagi ini, TT dikunci. Ini kerja siapa?" soalnya.

Carian MalaysiaNow di internet mendapati laman blog tersebut tidak dapat lagi diakses, dan dikunci oleh Blogspot yang dikendalikan Google, dipercayai selepas menerima aduan.

Tidak dapat dipastikan siapa pengadu tersebut, namun pada tahun lalu, Putrajaya mengakui meminta pengendali platform media sosial untuk menurunkan kandungan dan video menerusi aduannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Hishamuddin berkata Blog TT diwujudkan 17 tahun lepas, ketika Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 2008 yang menyaksikan isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, meletak jawatan bagi memberi laluan kepada suaminya untuk kembali ke Dewan Rakyat.

- Iklan -

Minggu ini, platform video TikTok mengesahkan sekatan terhadap akaun beberapa organisasi media yang berpunca daripada 'pelanggaran polisi keselamatan belia'. 

Sekatan itu membabitkan kandungan mengenai dakwaan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak yang berlaku di Batang Kali, Selangor yang mana kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Hishamuddin berkata beliau tidak akan berhenti menyuarakan pandangannya. 

"La Lutte continue," katanya merujuk kepada bahasa Perancis yang bermaksud perjuangan diteruskan.