Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), untungkan rakyat atau 'scam' tolong pemaju?
Pengkritik berkata ia menambah satu lagi lapisan karenah birokrasi yag mengelirukan lagi proses pembangunan semula.
Terkini
Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang mencetuskan kontroversi ketika ini menerima pelbagai reaksi berbeza daripada pelbagai pihak dengan seorang pengkritik menggelarkannya satu bentuk "scam".
Akta tersebut, yang digubal bagi melancarkan pembangunan di Kuala Lumpur, membabitkan 30 kawasan untuk pembaharuan semula dan telah diumum seawal 2015.
Seorang pakar perancangan bandar memberitahu MalaysiaNow, objektif akta itu ialah memastikan bangunan lama dinaik taraf bagi memperkasakan kehidupan komuniti.

Koh Cha-Ly berkata sesetengah bangunan lama dibina berdasarkan reka bentuk yang ketinggalan dan standard keselamatan yang tidak menepati standard moden.
"Dari segi keselamatan kebakaran, peralatan lif dan kemudahan komuniti umum, semuanya tidak lagi sejajar dengan keperluan semasa. Jika dibiarkan sahaja, nilai bangunan akan merosot, pemilik rumah akan berpindah, dan keadaan bangunan akan semakin teruk," kata Koh, pengasas syarikat data Urbanmetry, yang menganalisis data berkenaan bandar.
"Akta pembaharuan ini penting untuk melindungi kepentingan dan keselamatan pemilik rumah, komuniti, dan bandar secara keseluruhan," katanya kepada MalaysiaNow.
Cadangan memperkenalkan URA mencetuskan kontroversi kerana peratusan tahap persetujuan pemilik bangunan diturunkan daripada 100% kepada 80%, langkah yang dikecam Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan URA "Akta Rampas Rumah".
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan URA berkata kerajaan akan mencadangkan tiga tahap peratusan persetujuan mengikut usia bangunan.
"Kalau bangunan itu kurang 30 tahun (memerlukan) 80% pemilik menyatakan persetujuan, baru dimulakan rundingan.
"Bagi bangunan melebihi 30 tahun, 75% (pemilik) perlu bersetuju dan bagi rumah yang terbiar dan terbengkalai, 51% iaitu majoriti mudah diperlukan," kata Anwar di Dewan Rakyat pada 25 Februari.
Menurut Koh, kadar tersebut masih tinggi secara relatifnya, dan pemilik yang tidak bersetuju dengan pembangunan semula perlu meyakinkan jiran mereka bahawa pendirian mereka lebih membawa manfaat kepada komuniti dan bukan menentang pembangunan atas kepentingan peribadi.

Bagaimanapun, bekas ahli majlis bandaran Mak Khuin Weng berkata, kerajaan boleh melaksanakan pembangunan semula menerusi amalan pasaran yang saksama yang sedia ada.
Katanya, adalah sukar meletakkan kepercayaan kepada kerajaan dan ahli politik untuk memastikan proses bagi mematuhi undang-undang adalah telus dan bertanggungjawab.
"Sebagai contoh, berapa kali orang ramai membantah projek lebuh raya hanya untuk terus diberitahu oleh kerajaan bahawa ia mendapat sokongan majoriti, tetapi tidak menunjukkan dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan 'sokongan majoriti'?

"Kerajaan meminta kita membayar cukai tanah, cukai penilaian dan pelbagai jenis cukai lain tetapi tidak memberi perlindungan kepada kita apabila dikeluarkan perintah untuk pembangunan semula," katanya.
Tambah Mak, akta yang dicadangkan itu seperti satu lagi lapisan karenah birokrasi (red tape) sebagai tambahan kepada kekusutan sedia ada yang bertujuan mengelirukan lagi proses-proses terlibat dalam pembangunan semula.
Penyelidik dari Institut IRIS, Fahmi Bahrudin, berkata apa yang menjadi masalah ialah ambang persetujuan dalam akta itu yang mengambil model negara yang memiliki keluasan tanah kecil seperti Singapura dan Hong Kong.
"Tidak ada keterdesakan di negara kita dari sudut bekalan perumahan-perumahan baharu di bandar-bandar utama.
"Masalah utama adalah harga rumah yang meningkat terlalu tinggi sehingga menjadikan rakyat, khususnya orang Melayu tidak mampu untuk memiliki rumah di bandar," katanya.
Ujar Fahmi, kebimbangan orang Melayu adalah berasas berdasarkan implikasi penghapusan kampung-kampung orang Melayu di Singapura menerusi pelaksanaan dasar Housing Development Board (HDB) oleh kerajaan Singapura yang menyusun semula perbandaran Singapura menjadi lebih "moden".
Kuala Lumpur masih mempunyai beberapa penempatan Melayu di Kuala Lumpur terutama di Kampung Baru Keramat dan Titiwangsa.
Fahmi merujuk kepada kes di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur yang mana kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk memaksa pengambilan tanah oleh penduduk walaupun tidak semua bersetuju.
Mak bersetuju, mengatakan akta tersebut boleh digunakan untuk tujuan projek dan lebuh raya yang disifatkan "berkepentingan awam".
"Secara jujurnya, saya fikir ia (URA) adalah scam untuk membantu pemaju," kata Mak.
Koh pula berkata, Malaysia sudah mempunyai peranan aktif dalam memperkenalkan kepelbagaian dalam pembangunan seperti kuota bumiputera, kuota rumah mampu milik dan rumah subsidi.
Berhubung isu pemilikan rumah yang mungkin sukar dicapai oleh golongan miskin bandar terutama kaum Melayu dan India, Koh berkata kehidupan yang mampu milik dan selamat adalah lebih penting daripada memiliki rumah.
"Saya menyeru kerajaan untuk membangunkan program sewaan dalam projek-projek yang dibangunkan semula ini dan tidak menumpukan kepada pemilikan rumah semata-mata," katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.