- Iklan -
Berita

Peluang PN tak boleh dipandang remeh, kata penganalisis menjelang ujian pertama kerajaan PH-BN di Perak

Walaupun gabungan pembangkang berdepan tugas sukar menarik penyokong BN, sokongannya meningkat naik sejak PRU15.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
prestasi Perikatan Nasional di DUN Ayer Kuning pada pilihan raya umum 2022 amat memberangsangkan.
prestasi Perikatan Nasional di DUN Ayer Kuning pada pilihan raya umum 2022 amat memberangsangkan.

Meskipun dikenali sebagai "kubu" kuat Barisan Nasional (BN), Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning di Perak akan memberikan saingan sengit di sebalik trend sokongan yang meningkat kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, kata penganalisis. 

Seorang Hisommudin Bakar dari badan kajian pilihan raya Ilham Centre berkata prestasi PN untuk kerusi tersebut ketika PRU15 lalu amat memberangsangkan. 

Jelasnya, ketika calon bertanding di bawah tiket PAS, mereka hanya memperoleh sekitar 2,000 undi.

- Iklan -

Bagaimanapun, apabila menggunakan logo PN, jumlah undi melonjak kepada 6,812.

Pakatan Harapan (PH) dijangka memberikan laluan kepada BN bertanding satu lawan satu menentang PN. 

Langkah itu dilihat memberi kelebihan kepada BN kerana berpotensi meraih undi tambahan daripada penyokong PH khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu. 

"Ia boleh menyerupai trend kemenangan BN dalam PRK Mahkota baru-baru ini.

"Walaupun begitu, PN tidak boleh dipandang remeh," katanya kepada MalaysiaNow merujuk kepada kemenangan BN pada September tahun lalu. 

Kerusi Ayer Kuning kosong selepas kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Feb akibat serangan jantung. 

Pada PRU15, Isham yang juga Ketua Umno Bahagian Tapah memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.

- Iklan -

Sejak kerusi negeri itu mula dipertandingkan BN merupakan penyandang tunggal. 

Seorang lagi penganalisis melihat PN mempunyai peluang yang baik untuk meraih lebih banyak undi berdasarkan pecahan peratusan pengundi mengikut kaum. 

Anis Anwar Suhaimi berkata pengundi Melayu meliputi 55%, diikuti pengundi Cina (22%) dan India (14%). 

"Dari segi angka etnik, PN ada peluang yang baik.

"Manakala, dari segi campuran matematiknya, BN memiliki kelebihan
besar dengan bank undi daripada PH bagi menjamin kesinambungan penguasaannya," kata Anis dari badan penyelidik O2 Research Malaysia.

Tambahnya, kerjasama kerajaan negeri yang dibentuk PH dan BN di Perak tidak pernah diuji penerimaan pengundinya, sebagaimana pilihan ) di enam negeri pada Ogos 2023. 

Katanya, PRK Ayer Kuning bukan sekadar pertembungan antara BN dan PN, tetapi juga medan ujian terhadap keberkesanan kerajaan campuran di peringkat negeri dan penilaian sejauh mana penerimaan pengundi terhadap PN di Perak. 

"PN hanya berpeluang menang selesa sekiranya lebih 80% pengundi Melayu turun mengundi mereka. Namun ini cabaran yang sukar memandangkan Perak merupakan negeri bagi presiden Umno dan menteri besar Perak juga daripada Umno." 

- Iklan -

Ujarnya, PN dijangka terus menggunakan isu ekonomi, kos sara hidup, serta naratif berkaitan kedudukan politik Melayu sebagai strategi utama kempen mereka.

Anis berpandangan bahawa strategi dan isu-isu itu tidak memadai. 

PN, katanya, memerlukan naratif yang lebih kuat dalam usaha memujuk pengundi BN beralih arah. 

Ini termasuk isu-isu terkait pimpinan DAP dengan kesan politik orang Melayu terutamanya melibatkan pindaan rang undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibentangkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming. 

"Selain itu PN juga boleh menarik sokongan penyokong yang bersimpati dengan Najib Razak sebagai simbol protes kepada kelemahan kerajaan mendapatkan keadilan buat bekas presiden mereka," tambahnya.