Nasib miskin tegar di flat Seremban tidak diketahui selepas MBS pecah pintu rumah tuntut puluhan ribu
Tidak mampu membayar tuggakan sewa, mereka keluar tergesa-gesa meninggalkan barangan peribadi.
Terkini
Sekumpulan penduduk yang gagal membayar sewa di sebuah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) di Lobak, Seremban tiada pilihan tetapi melarikan diri sebelum pintu rumah mereka dipecahkan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS), menimbulkan persoalan mengenai nasib mereka meneruskan kehidupan.
Tinjauan MalaysiaNow mendapati, daripada enam rumah yang terlibat dengan tindakan MBS, hanya satu yang masih berpenghuni, manakala empat unit dipecahkan pintu dan dua unit lagi dikunci pintu.
"Mereka diminta untuk membayar separuh daripada jumlah tunggakan iaitu RM34,000 setelah berbincang dengan MPS," menurut salah seorang saudara keluarga yang masih tinggal di unit rumah yang dipecahkan pintu.
"Mereka tidak ada wang. Setakat ini mereka diberi 14 hari untuk mengemaskan barang sebelum diarah keluar."
Keluarga tersebut yang menggantungkan kain dan meletakkan meja sebagai menggantikan pintu yang telah dipecahkan, enggan ditemu bual ketika ditemui MalaysiaNow.
Flat yang ditinggalkan itu kelihatan serba daif. Manakala di salah satu unit, barangan peribadi seperti tilam, televisyen, gambar keluarga dan akuarium ditinggalkan penyewa rumah yang menghilangkan diri.
Seorang jiran berkata, sebuah keluarga empat beranak meninggalkan unit tersebut setelah menerima notis yang ditampal di dinding mereka.
"Saya tidak pasti ke mana mereka pergi dan mengapa mereka tidak mampu membayar sewaan," menurut seorang jiran yang memperkenalkan dirinya sebagai Ganesh.
Perkara sama turut terjadi kepada seorang lagi penyewa yang dilihat meninggalkan rumah tersebut selepas notis ditampal.
Difahamkan penyewa merupakan seorang wanita 50-an berketurunan India yang tinggal berseorangan, menurut maklumat daripada penyewa lain.

Tindakan tersebut menimbulkan persoalan mengenai tujuan PPRT iaitu menyediakan perumahan kepada golongan dalam kategori paling miskin.
MalaysiaNow telah menghubungi MBS dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke untuk maklum balas.
PPRT Lobak mempunyai 200 unit dengan majoritinya dihuni oleh bangsa India, diikuti Melayu dan Cina.
Pada 27 Februari, MBS berkata tindakan menanggalkan semua pintu di rumah terlibat sebagai pengajaran supaya mereka segera menjelaskan tunggakan.
"Walaupun begitu penyewa masih dibenarkan tinggal di premis berkenaan untuk sementara waktu sebelum dapat menjelaskan tunggakan atau mendapatkan kediaman di tempat yang lain," menurut kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, jumlah keseluruhan tunggakan di flat Lobak adalah sebanyak RM1.8 juta.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.