Penduduk Kampung Sg Baru teruskan bantahan, sangkal dakwaan menteri WP mengenai sempadan MAS
Mereka merujuk kepada dokumen yang diambil dari Arkib Negara yang menunjukkan kawasan itu berada di bawah status MAS.
Penduduk Kampung Sungai Baru yang kini berdepan tekanan pihak berkuasa untuk mengambil alih kediaman mereka hari ini menyangkal Dr Zaliha Mustafa selepas menteri Wilayah Persekutuan itu mendakwa kawasan itu bukan sebahagian daripada Kampung Baru yang merupakan rezab tanah Melayu.
Mereka turut mendedahkan dokumen Gazette 1550 yang diperoleh daripada Arkib Negara, yang mengenal pasti sempadan tanah yang memiliki status Malay Agriculture Settlement (MAS), atau Tanah Pertanian Melayu.
Menurut Muzaffar Razman, penasihat kepada penduduk Kampung Sungai Baru, Gazette 1550 itu membuktikan kawasan kampung tersebut yang juga dikenali sebagai "allotment 50, section 41" seluas 16 ekar.
"Kita sudah lama membuat kajian cuma kita perlukan ketepatan pelan yang ingin dibeli. Ini sebagai menjawab naratif Zaliha," katanya dalam sidang media di Kampung Sungai Baru hari ini.
Muzaffar berkata sempadan Kampung Baru turut disahkan menerusi Pelan Gazette 383 (PG383) yang digunakan ketika Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan.

Kampung Sungai Baru menjadi perhatian selepas berlaku tarik tali antara pemaju dan penduduk yang enggan berpindah.
Beberapa bangunan flat kini dalam proses dirobohkan bagi tujuan pembangunan.
Bagaimanapun, beberapa penduduk enggan menerima pampasan daripada pemaju membantah tindakan pihak berkuasa menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk pembangunan kawasan itu di bawah Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).
Mereka juga tidak bersetuju dengan jumlah pampasan yang ditawarkan menganggap ianya tidak selari dengan harga pasaran, memandangkan ia hanya beberapa minit perjalanan dari Segitiga Emas dan KLCC, antara kawasan yang paling pesat di Kuala Lumpur dengan nilai hartanah yang melebihi RM1,000 setiap kaki persegi.
Mereka berkata sesuatu tanah yang hendak diambil oleh kerajaan perlu mendapatkan persetujuan 100% daripada pemilik tanah.
Pada November lalu, Zaliha memberitahu Parlimen bahawa penempatan Kampung Sungai Baru tidak terletak dalam kawasan MAS.
"Oleh kerana tidak berada dalam kawasan MAS, Kampung Sungai Baru tidak tertakluk kepada peraturan khas yang melindungi hak pemilikan tanah orang Melayu," katanya.

Muzaffar, yang menyifatkan kenyataan Zaliha sebagai mengelirukan Dewan Rakyat, berkata sempadan Kampung Baru perlu dinyatakan dengan jelas.
"Lembaga Pentadbiran MAS pernah berkata Kampung Sungai Baru bukan sebahagian daripada MAS, tetapi dalam dokumen MAS sendiri menyatakan (Kampung Sungai Baru) ada," katanya.
Di bawah Enakmen Tanah Rizab Melayu, tanah dalam kategori tersebut tidak boleh dijual, dipajak, atau dipindah milik kepada mana-mana individu yang bukan Melayu.
Muzaffar berkata pihak penduduk telah menghantar petisyen kepada ahli Parlimen yang dijangka turun ke Kampung Sungai Baru bagi meninjau sendiri keadaan itu.
Sebelum ini, penduduk menyaman dua pengarah di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan berhubung pengambilan tanah yang didakwa tidak mengikut undang-undang.
Muzaffar menjelaskan kes itu masih di peringkat pengurusan dan belum dibicarakan.
Katanya, projek yang dijalankan bukanlah projek kerajaan, tetapi oleh pihak swasta yang telah "menunggang kerajaan".
"Apabila mereka gagal berunding dengan penduduk untuk membeli tanah, pemaju menggunakan kerajaan supaya tanah boleh diambil menerusi Akta Pengambilan Tanah 1960," katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.