- Iklan -
Berita

Doktor kontrak kecewa KKM tangguh eplacement lantikan tetap, menteri kembali jadi sasaran

Penangguhan kali kedua itu menyulitkan pegawai perubatan yang sudah pun membuat pelbagai persiapan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad sekali lagi menjadi sasaran kritikan selepas siri gangguan proses eplacement.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad sekali lagi menjadi sasaran kritikan selepas siri gangguan proses eplacement.

Kementerian Kesihatan (KKM) berdepan kritikan pegawai perubatan kontrak selepas pengumuman menangguhkan proses eplacement bagi jawatan kekal melibatkan lebih 2,000 doktor, kira-kira dua bulan selepas menterinya Dzulkefly Ahmad terpaksa membatalkan sistem waktu kerja syif ekoran bantahan.

Pada 5 Februari, seramai 2,000 pegawai perubatan menerima surat lantikan tetap daripada KKM. 

Pada 27 Februari, mereka diminta mengisi eplacement untuk menentukan lokasi penugasan pegawai.

- Iklan -

Menurut salah seorang pegawai yang terkesan, kebanyakan mereka berjaya dalam permohonan mendapat negeri yang diinginkan. 

"Dan kami menyangka ia penyelesaian yang baik untuk kami semua. Tapi di sinilah permainan KKM bermula," tulis pengguna Instagram dengan akaun @tya_roslan, yang turut mengakui kritikan terbuka olehnya melanggari peraturan sebagai penjawat awam.

Katanya, ramai mendapat tahu mengenai pembatalan penempatan menerusi media pada 27 Februari. 

"Tiada kenyataan rasmi daripada KKM, tiada sidang media, tiada penjelasan tiada apa-apa pun."

Dia kemudian mengambil langkah untuk berbincang dengan kementerian.

"Kami hubungi orang yang berkenaan, namun tiada apa-apa hasil yang kelihatan. Katanya perlu tangguh kerana 'system down' semasa eplacement 27 Februari menyebabkan 'maldistribution'.

"Awalnya kami melawan, tetapi akhirnya kami redha dengan ketentuan untuk isi kembali eplacement pada tarikh baharu iaitu 17 Mac," tambahnya.

- Iklan -

Malangnya, Tya berkata para pegawai dimaklumkan tentang emel penangguhan eplacement sekali lagi, kali ini dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Tya mempersoalkan etika dan profesionalisme KKM selepas penangguhan kali kedua itu.

Beberapa komen media sosial meluahkan kekecewaan dengan kecekapan KKM.

"Kesian doktor dekat negara ini. Ramai yang hendak berkhidmat dalam kerajaan tapi sebab pentadbiran cacamarba, habis terkesan. Tiap kali tukar kerajaan sama sahaja," tulis @syafiqachemat.

Beberapa pengguna turut menyasarkan kepimpinan Dzulkefly.

"Tak pernah dalam sejarah menteri kesihatan gagal dua kali. Memang teruk menteri kesihatan ini, dua kali pegang menteri kesihatan, dua kali gagal. Masa Covid-19 lemah, sekarang krisis sumber manusia pun lemah. Dua krisis luar dan dalam dia tak boleh handle," tulis Aidil Idham merujuk Dzulkefly yang memegang jawatan menteri kesihatan ketika pandemik Covid-19 di peringkat awal sebelum kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan pada awal 2020.

"Baik letak jawatan sahaja," tambahnya.

Sementara itu, kumpulan yang dikenali sebagai Hartal Doktor Kontrak (HDK) yang menganjurkan mogok pada 2021, menyenaraikan isu yang gagal diselesaikan kerajaan, termasuk isu Waktu Bekerja Berlainan (WBB) dan pelaksanaan waktu 45 jam tempoh bekerja berbanding 42 jam untuk jururawat. 

- Iklan -

Kedua-dua polisi tersebut telah dibatal dan ditangguhkan selepas menerima bantahan.

"Ada yang cakap ini menunjukkan krisis kepimpinan yang paling teruk dalam Kementerian ini semenjak pandemik Covid 19.

"Mungkin ada betulnya," kata kumpulan itu.