- Iklan -
Berita

Kuil lebih seabad di tengah KL berdepan ancaman roboh di sebalik cadangan 'Masjid Madani'?

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri majlis pecah tanah.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang berusia lebih satu abad, kini masih wujud di sebalik bangunan pencakar langit berhampiran kawasan Jalan Masjid India.
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang berusia lebih satu abad, kini masih wujud di sebalik bangunan pencakar langit berhampiran kawasan Jalan Masjid India.

Sebuah kuil Hindu sebelum era kemerdekaan di tengah-tengah ibu kota kini berdepan ancaman dirobohkan selepas kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan pembinaan sebuah masjid yang akan dinamakan bersempena slogan politik Anwar Ibrahim, langkah kontroversi yang dilihat sebahagian usaha perdana menteri cuba meraih sokongan Melayu yang masih menolak pentadbirannya selepas lebih dua tahun berkuasa.

MalaysiaNow turut dimaklumkan, Anwar sendiri dijangka menyempurnakan majlis pecah tanah yang dijadualkan akhir bulan ini, walaupun rancangan itu diselubungi pelbagai sensitiviti.

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, yang terletak berhampiran Jakel Mall berhampiran Jalan Masjid India, dibina pada akhir abad ke-19 dan kini wujud di antara bangunan pencakar langit di kawasan tersebut.

- Iklan -

Difahamkan, tanah yang diduduki kuil itu dijual kepada sebuah syarikat swasta yang turut memiliki sebuah pusat beli-belah di kawasan sama.

Sumber dari syarikat mengesahkan rancangan pembinaan sebuah masjid.

"Masjid itu akan dinamakan Masjid Madani," katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Sumber sama menambah bahawa tanah itu telah berpindah milik beberapa tahun lalu, sambil menambah cadangan untuk menamakan masjid itu sempena slogan politik Pakatan Harapan itu hanya timbul sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

MalaysiaNow difahamkan pihak jawatankuasa kuil telah meminta plot tanah alternatif yang sesuai disediakan kepada penganut Hindu di kawasan Masjid India, tetapi permintaan itu tidak dipenuhi.

Ketika dihubungi, anggota jawatankuasa kuil enggan mengulas.

Butiran lanjut perkara itu akan dibincangkan sekumpulan peguam dan aktivis terkemuka bersama-sama pihak kuil, yang telah memanggil sidang media pada pukul 11 ​​pagi esok di pejabat Lawyers for Liberty (LFL) di Petaling Jaya.