Kuil alu-alukan masjid bersebelahan, rayu jangan diusir di sebalik pelbagai penafian tindakan roboh
Pengurusan kuil berusia 130 tahun itu terkejut dengan majlis pecah tanah 'Masjid Madani' yang dijadualkan akhir bulan ini.
Terkini
Pengurusan sebuah kuil di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur berkata terdapat beberapa percubaan pihak kerajaan dan sebuah syarikat swasta memaksa mereka berpindah atau berdepan tindakan, di sebalik pelbagai penafian pihak berkuasa bahawa tidak timbul isu kuil berusia 130 tahun itu akan dirobohkan.

Raj Mohan Pillai, timbalan presiden Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di kawasan Jalan Masjid India - di mana tanah kerajaan yang didudukinya telah dijual kepada syarikat tekstil Jakel Trading - turut melahirkan rasa terkejut dengan majlis pecah tanah bagi membina sebuah masjid di plot tersebut.
"Kami gagal memahami bagaimana pecah tanah boleh dilakukan apabila rundingan mengenai status kuil belum diputuskan," kata Raj dalam satu sidang akhbar mengenai isu itu bersama sekumpulan aktivis dan peguam hak asasi di Petaling Jaya hari ini.
Semalam, MalaysiaNow mendedahkan rancangan membina sebuah masjid yang akan dinamakan "Masjid Madani", slogan politik Pakatan Harapan yang dipromosikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Laporan itu turut berkata Anwar sendiri akan menghadiri majlis pecah tanah untuk tujuan tersebut pada akhir bulan ini.
Langkah itu dilihat sebahagian usaha perdana menteri cuba meraih sokongan Melayu yang masih menolak pentadbirannya selepas lebih dua tahun berkuasa.
Jakel dalam sidang media pagi tadi mengesahkan majlis pecah tanah itu dan rancangan membina sebuah masjid oleh syarikat itu, tetapi berkata ia tidak akan dimulakan serta merta.
Syarikat itu turut menafikan kuil tersebut akan dirobohkan, sebaliknya berkata ia cuma akan dipindahkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Jakel, Syed Nasrul Fahmi Syed Muhamad, mendakwa perbincangan melibatkan pihaknya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kuil berterusan secara "harmoni dan tidak pernah ada tekanan".
Sebelum itu, DBKL dalam kenyataannya memberikan komitmen "untuk tidak melakukan sebarang aktiviti perobohan struktur kuil di tapak tersebut".
Pendirian itu dilihat bercanggah dengan notis DBKL kepada pihak kuil pada tahun lalu, di mana ia diberikan 14 hari mengosongkan tapak atau berdepan "tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya" di mana DBKL tidak akan menanggung sebarang kerugian yang mungkin berlaku.
MalaysiaNow telah turut melihat salinan notis tersebut.
'Masjid boleh wujud bersebalahan'
Dalam sidang media hari ini, peguam mewakili kumpulan Lawyers For Liberty (LFL), Zaid Malek, berkata masjid yang dicadangkan boleh dibina tanpa memindahkan kuil tersebut.

Katanya, kawasan tanah tersebut mempunyai dua lot, iaitu yang dimiliki swasta dan satu lagi dimiliki kerajaan.
"Ini solusi mudah. Tidak perlu kuil itu dirobohkan. Tapak di sebelah itu cukup besar untuk buat masjid.
"Ada (satu lagi) tapak yang berhampiran yang boleh dipanjangkan ke arah lot kosong itu sendiri," kata Zaid dalam sidang media yang turut dihadiri peguam N Surendran dan Ambiga Sreenevasan.
Raj berkata pihak kuil tidak ada sebarang masalah sekiranya masjid didirikan.
"Sebenarnya tidak perlu kuil dirobohkan. Terdapat tanah bersebelahan kuil atas mana masjid boleh didirikan. Kami mengalu-alukan pembinaan masjid di tapak bersebelahan kuil di mana ini juga akan mencerminkan sikap saling menghormati dan toleransi masyarakat Malaysia," katanya.
Zaid berkata kerajaan sepatutnya menyedari sensitiviti membina masjid selepas memaksa keluar rumah ibadat agama lain, selain mengiktiraf sejarah kuil berkenaan.
Menurut Raj, kuil tersebut turut berperanan sebagai pusat kebudayaan, di mana kelas tarian bharatnatyam, nyanyian tradisional, theivaram dan yoga diadakan setiap minggu untuk kanak-kanak dan dewasa.
"Jika kuil ini dikeluarkan dari kawasan itu, atau dirobohkan, ia akan menghapuskan identiti masyarakat majmuk di kawasan Masjid India."
Menurutnya, tanah alternatif yang ditawarkan adalah separuh daripada saiz tapak sekarang, di samping terlalu jaih dari kawasan Masjid India.
"Ini adalah amat tidak adil kepada kami dan komuniti besar masyarakat India di kawasan Masjid India yang merupakan pengunjung dan penganut kuil ini," katanya.
Naratif DBKL dipersoal
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman asalnya dibina pada 1893. Pada 2008, ia diarahkan berpindah oleh DBKL ke tapak sekarang, yang kemudiannya dijual kepada Jakel pada 2014.
Raj berkata penjualan itu dilakukan tanpa pengetahuan jawatankuasa kuil, walaupun kawasan yang terlibat termasuk tanah atas mana kuil didirikan.
"Sejak 2016, terdapat beberapa percubaan oleh pihak kerajaan dan syarikat swasta tersebut untuk memaksa kuil ini berpindah keluar dari kawasan ini."
Sementara itu, Surendran yang juga penasihat LFL mempersoalkan kenyataan DBKL yang ia tidak ada kaitan dengan cadangan membina masjid.
"DBKL telah memberi arahan pembangunan (development order) pada 12 Februari 2020. DBKL sedar mengenai cadangan pembangunan tersebut," ujarnya.
Jelasnya, tanah tersebut menjadi tanah swasta disebabkan tindakan kerajaan sendiri.
"Kita tidak boleh ada naratif bahawa ini adalah tanah swasta dan oleh itu, kuil tersebut harus pindah. Ini bukan bangunan komersial. Ini adalah kuil dan pusat kebudayaan. Kerajaan perlu menyelesaikan isu ini kerana merekalah yang menjual tanah tersebut," kata Surendran.
Surendran, yang juga bekas naib presiden PKR, mengingatkan Anwar mengenai sokongannya membela nasib sebuah kuil di Jalan Raja Chulan.
"Saya harap beliau boleh ingat semangat yang sama," katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.