- Iklan -
Berita

Peguam bidas Anwar teruskan majlis pecah tanah 'Masjid Madani' sedangkan rundingan dengan kuil belum selesai

Zaid Malek berkata perdana menteri menunjukkan kejahilan mengenai fakta dan sejarah apabila melabel kuil berusia 130 tahun sebagai haram walaupun dengan kebenaran DBKL.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Zaid Malek (kanan) berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim salah dari segi fakta apabila menyifatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dibina secara haram.
Zaid Malek (kanan) berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim salah dari segi fakta apabila menyifatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dibina secara haram.

Seorang peguam mempertikaikan kenyataan Anwar Ibrahim mengenai kontroversi melibatkan sebuah kuil Hindu berusia 130 tahun, yang kini berdepan tekanan pihak berkuasa dan sekumpulan ahli politik kerajaan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid yang bakal dinamakan sempena slogan politik "Madani" yang dipromosikan perdana menteri.

Zaid Malek dari kumpulan peguam Lawyers for Liberty mengecam sikap Anwar yang dilihat tergesa-gesa untuk meneruskan majlis pecah tanah bagi cadangan pembinaan Masjid Madani, serta pendiriannya bahawa kuil tersebut perlu dipindahkan.

Menurutnya, perdana menteri tidak seharusnya mendahului sebarang keputusan ketika perbincangan melibatkan pemilik tanah, Jakel Trading, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ahli jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India masih berterusan.

- Iklan -

"Mengapa Anwar tergesa-gesa mahu melakukan upacara pecah tanah pada 27 Mac sedangkan perbincangan antara kuil dan DBKL masih berjalan? Mengapa Anwar tidak bersedia memberi ruang dan masa yang diperlukan untuk proses itu berjalan?" soal Zaid.

"Ia bukanlah rundingan apabila satu pihak tidak diberi pilihan. Anwar tidak ada hak mengabaikan proses ini dan memutuskan perkara itu secara unilateral."

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang berusia lebih satu abad, kini masih wujud di sebalik bangunan pencakar langit berhampiran kawasan Jalan Masjid India.
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang berusia lebih satu abad, kini masih wujud di sebalik bangunan pencakar langit berhampiran kawasan Jalan Masjid India.

Ia di sebalik laporan bahawa Jakel terbuka kepada idea yang dikemukakan oleh beberapa aktivis, termasuk Zaid, bahawa masjid yang dicadangkan itu boleh dibina bersebelahan kuil tersebut sebagai meraikan simbol keharmonian Malaysia.

Portal dalam talian Scoop memetik sumber sebagai berkata bahawa Jakel, yang membeli tanah itu daripada DBKL beberapa tahun selepas pihak berkuasa membenarkan kuil itu didirikan di sana, kini mempertimbangkan cadangan membina masjidnya di plot bersebelahan tanpa menjejaskan kuil sedia ada.

Zaid berkata Anwar menunjukkan "kejahilan serius mengenai sejarah, fakta dan keadaan" dalam isu apabila mendakwa kuil itu dibina secara haram.

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman pada asalnya dibina pada 1893. Pada tahun 2008, ia diarahkan DBKL untuk berpindah ke lot sekarang.

Bagaimanapun, tanah kerajaan itu menjadi hak milik Jakel pada 2014 selepas DBKL menjualnya kepada syarikat tekstil itu.

- Iklan -

Jawatankuasa kuil berkata ia tidak dimaklumkan mengenai penjualan itu, dan tidak juga ditawarkan membeli tanah itu.

"Dalam erti kata lain, kerajaanlah yang meminta kuil itu membina strukturnya di atas tanah yang ada sekarang. Oleh itu, adalah tidak jujur ​​bagi Anwar untuk mengatakan kuil itu dibina tanpa kebenaran," kata Zaid.

Beliau berkata tanah itu bukan milik persendirian ketika kuil itu diminta berpindah ke sana pada 2008, iaitu enam tahun sebelum dijual kepada Jakel.

"Bagaimanakah ia 'tidak sah' apabila ia dibina atas arahan pihak berkuasa tempatan? Untuk memanggil tempat ibadat yang telah berkhidmat kepada masyarakat tempatan selama lebih satu abad sebagai 'tidak sah' adalah sesuatu yang sangat tidak hormat terhadap penganut kuil dan masyarakat Hindu amnya, dan menunjukkan ketidakpedulian yang mengejutkan di pihak PM."

Zaid turut mencabar Anwar untuk menyatakan sama ada membina sebuah masjid di atas tapak kuil itu adalah tindakan yang betul.

"Apakah Anwar tidak sedar bahawa kuil itu perlu dirobohkan terlebih dahulu sebelum memindahkannya ke tempat lain? Kuil itu bukan kereta yang boleh dipandu dari satu tempat ke satu tempat. Pemindahan samalah dengan perobohan. Untuk berpindah, ia mesti dirobohkan terlebih dahulu untuk dibina semula di tempat lain."