DBKL diminta dedah dokumen jual-beli tanah Jakel leraikan kekeliruan status kuil Hindu
Ambiga Sreenevasan dan N Surendran menggesa Datuk Bandar mendedahkan butiran yang menurut mereka boleh membuka ruang penyelesaian.
Terkini
Dua peguam aktivis menggesa kerajaan mendedahkan kepada umum butiran penjualan sebidang tanah di tengah-tengah Kuala Lumpur pada 2014 kepada sebuah syarikat swasta, ketika sebuah kuil Hindu berusia 130 tahun yang menduduki tapak itu semakin mendapat tekanan pemimpin kerajaan termasuk Anwar Ibrahim yang mendakwa ia dibina secara haram.
Ambiga Sreenevasan dan N Surendran merujuk kepada perjanjian jual beli tanah bertarikh 12 Mei 2014 di antara Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Jakel Trading, syarikat tekstil yang bercadang membina sebuah masjid yang bakal dinamakan sempena slogan politik Pakatan Harapan, "Madani".
"Kami mempunyai alasan kukuh untuk mempercayai bahawa dengan mendedahkan perjanjian jual beli itu, boleh membantu mencapai penyelesaian masalah sekarang, selain memastikan akauntabiliti dan ketelusan awam berhubung penjualan tanah kerajaan kepada sebuah entiti swasta," kata mereka dalam kenyataan.

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, yang terletak berlawanan Jakel Mall berhampiran Jalan Masjid India, pada asalnya dibina pada 1893, tetapi diarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berpindah ke tanah yang didudukinya sekarang.
Tanah kerajaan itu bertukar hak milik kepada Jakel pada 2014 susulan keputusan DBKL menjualnya kepada syarikat itu.
Jawatankuasa kuil berkata mereka tidak dibawa berunding mengenai penjualan itu, dan tidak juga ditawarkan membeli tanah tersebut, walaupun diberi kebenaran untuk membina semula kuil di tapak yang sama.
Jakel berkata ia telah mengadakan perbincangan dengan pihak kuil sejak bertahun-tahun.
Status tanah itu mendapat perhatian selepas MalaysiaNow mendedahkan bahawa Anwar akan menghadiri sebuah majlis pecah tanah pada Jumaat ini untuk pembinaan "Masjid Madani", dalam apa yang dilihat sebagai usaha perdana menteri cuba meraih sokongan orang Melayu kepada kerajaan campurannya selepas lebih dua tahun berkuasa.
Jakel menyifatkan majlis pecah tanah itu sebagai simbolik dan bukan bermakna masjid tersebut akan dibina segera.

Dalam menjawab pendedahan MalaysiaNow minggu lalu, kedua-dua DBKL dan Jakel berkata mereka akan memastikan rundingan diteruskan dan memberikan jaminan kuil itu tidak akan diusir atau dirobohkan.
Syarikat itu juga dilaporkan sedang mempertimbangkan idea dikemukakan beberapa pihak supaya "Masjid Madani" yang dicadangkan itu dibina bersebelahan kuil sebagai meraikan kepelbagaian kaum di Malaysia.
Anwar setakat ini mengesahkan majlis pecah tanah itu akan diteruskan.
Ia mengundang kritikan peguam Zaid Malek yang mempersoalkan perdana menteri cuba mendahulukan rundingan antara DBKL, Jakel dan kuil yang masih berjalan.
"Mengapa Anwar tergesa-gesa mahu melakukan upacara pecah tanah pada 27 Mac sedangkan perbincangan antara kuil dan DBKL masih berjalan? Mengapa Anwar tidak bersedia memberi ruang dan masa yang diperlukan untuk proses itu berjalan?" soal Zaid.
Sementara itu, Ambiga dan Surendran berkata mereka dimaklumkan perjanjian jual beli tanah itu "mengandungi peruntukan dan maklumat mengenai hak dan status kuil di atas tanah itu".
Mereka menggesa Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk segera mengeluarkan dokumen itu untuk menghentikan spekulasi.
"Ini bagi memastikan fakta dan keadaan sebenar penjualan itu didedahkan kepada orang ramai dan pihak berkuasa berkaitan yang mungkin bertanggungjawab untuk menelitinya," tambah mereka.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.