Lagi buku diharamkan, majlis Islam di bawah Putrajaya dibidas cuba halang wacana
Islamic Renaissance Front menyelar tindakan KDN mengharamkan dua lagi penerbitannya.
Terkini
Sebuah kumpulan yang terlibat dengan penyebaran ilmu Islam membidas pihak berkuasa selepas buku terbitannya sekali lagi diharamkan, sambil menyifatkan tindakan demikian mengesahkan kebimbangan tahun lepas mengenai cadangan kerajaan merangka undang-undang baharu yang akan menyerahkan kuasa berkenaan soal agama kepada mufti Wilayah Persekutuan.
Islamic Renaissance Front (IRF) yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan terlibat dalam penganjuran seminar, wacana ilmu dan penerbitan buku mengenai tamadun Islam, turut mengecam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI), badan yang memberikan kata putus dalam pengharaman buku termasuk lebih 10 judul yang dilarang Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.
Ia termasuk dua judul berbahasa Melayu diterbitkan IRF, "Islam, Autoritarisnisme, dan Kemunduran Bangsa" dan "Golongan Muslim Pertama: Sejarah dan Memori", yang merupakan kupasan kritis terhadap konsep negara Islam di samping perbincangan mengenai sarjana Islam silam.
Pengasas dan pengarah IRF Dr Ahmad Farouk Musa berkata langkah menghalang sesebuah karya daripada disampaikan kepada umum adalah sama dengan tindakan pemimpin Islam zaman pertengahan yang menekan kumpulan yang tidak sealiran dengan fahaman agama.
"Kini kita melihat MKI turut melakukan penindasan yang serupa," kata Farouk. "Sebab itulah IRF menyuarakan bantahan yang sangat tegas terhadap RUU Mufti 2024 kerana kami telah menjangka bahawa perkara sebegini akan berlaku."
Farouk menggesa umat Islam menentang "Islam versi autoritarian" yang dibawa MKI.
"Sekiranya tidak, kita berisiko terperangkap dalam perselingkuhan keji antara ulama dan negara yang pada suatu ketika pernah menyebabkan kemerosotan intelektual dalam tamadun Muslim yang agung pada masa lalu."
Buku berjudul "Islam, Autoritarisnisme, dan Kemunduran Bangsa" merupakan terjemahan karya asal Ahmad Kuru, seorang ahli akademik Islam berpangkalan di Amerika Syarikat yang berdepan halangan oleh pihak berkuasa Malaysia ketika lawatannya mempromosikan buku itu pada awal 2024.
Menurut Kuru, bukunya merupakan analisis akademik tentang krisis politik dan sosio-ekonomi yang dihadapi umat Islam, kejatuhan dunia Islam dan kaitannya dengan pakatan golongan ulama dan pemerintah.
Kuru mempersoalkan beberapa tindakan ulama terdahulu, termasuk agamawan ulung abad ke-11, Imam al-Ghazali, yang menurutnya turut menyumbang kepada apa yang dipanggil sebagai perselingkuhan kuat antara ulama dan pemerintah yang akhirnya membawa kepada kemunduran umat Islam.
"Namun begitu, adakah hal tersebut memberi alasan yang wajar untuk mengharamkan sesebuah buku?" soal Farouk.
Menurutnya, pandangan sedemikian sudah pasti menyinggung MKI, tetapi mereka "seharusnya membalasnya dengan penghujahan".
"Idea pengharaman buku ini adalah bertentangan dengan semangat kebebasan bersuara dan kebebasan berekspresi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di negara ini. Idea pengharaman buku bukan sahaja mencerminkan sikap anti intelektualisme MKI, bahkan turut melanggar Perlembagaan Persekutuan."
Sementara itu, buku "Golongan Muslim Pertama: Sejarah dan Memori" merupakan karya Asma Afsaruddin, seorang profesor pengajian Islam yang berpangkalan di AS.
"Sesiapa yang telah membaca buku Asma Afsaruddin akan menyedari bahawa buku tersebut menelusuri sejarah lampau umat Islam dan menawarkan beberapa perdebatan konsep jihad dan negara Islam yang dianggap sebagai warisan Nabi," kata Farouk.
Buku tersebut antara lain menganalisis kedua-dua pandangan golongan Islamis dan modernis mengenai gagasan negara Islam, dan menyimpulkan bahawa konsep itu tidak mempunyai asas dalam sejarah Islam.

Menurut Farouk, pengharaman buku itu menimbulkan persoalan sama ada MKI menyokong konsep negara Islam.
"Kelihatannya seolah-olah mana-mana idea yang mengajak umat Islam untuk menilai semula kefahaman mereka dan menggalakkan pemikiran kritis dianggap sebagai sesat justeru perlu diharamkan. Inilah yang dapat kami simpulkan daripada tindakan MKI dalam kes ini."
Ini bukan kali pertama buku terbitan IRF diharamkan KDN.
Pada 2017, kerajaan mengharamkan buku karya sarjana Turki yang berpangkalan di AS, Mustafa Akyol, “Islam Without Extremes: A Muslim Plea for Freedom” dan terjemahan bahasa Melayunya, yang membincangkan kepentingan kebebasan bersuara di dunia Islam.
Jelajah Akyol di Malaysia yang dianjurkan oleh IRF pada tahun itu terpaksa diberhentikan selepas beliau ditahan pihak berkuasa agama.
Sementara itu, dua lagi buku IRF oleh Farouk di bawah siri "Wacana Pemikiran Reformis", yang menyarankan pembaharuan radikal dalam memahami sumber Islam, turut diharamkan.
Pada 2020, Mahkamah Rayuan membatalkan pengharaman itu dalam keputusan kes saman dibawa IRF untuk mencabar larangan tersebut.
Bagaimanapun, semakan mendapati KDN masih menyenaraikan judul tersebut di bawah senarai buku yang diharamkan.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.