- Iklan -
Berita

Penceramah terkenal nafi bantu kempen Ramadan McDonald's ketika jenama Barat terus berdepan boikot

Penafian Ustazah Asma' Harun menunjukkan gerakan boikot dikaitkan dengan konflik Gaza itu masih mendapat sambutan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pendakwah terkemuka Asma' Harun digambarkan sebuah akaun troll yang menuduhnya membantu kempen McDonald's.
Pendakwah terkemuka Asma' Harun digambarkan sebuah akaun troll yang menuduhnya membantu kempen McDonald's.

Tindakan seorang pendakwah popular menafikan dakwaan beliau mempromosikan McDonald's - antara jenama Barat yang menjadi sasaran gerakan boikot susulan perang di Gaza - telah menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan kempen agresif sepanjang Ramadan oleh syarikat makanan segera itu dalam usaha menawan kembali hati pelanggan beragama Islam.

Ustazah Asma' Harun, yang mempunyai jutaan pengikut di akaun media sosialnya, menafikan sekeras-kerasnya beliau mempromosikan McDonald's selepas beberapa gambar disunting untuk menunjukkan beliau beraksi bersama maskot makanan segera itu.

Dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi, Asma' berkata beliau dijemput memberi ceramah di sebuah masjid di Shah Alam, sejurus selepas rombongan McDonald's tiba untuk menghadiahkan makanan percuma kepada jemaah yang hadir.

- Iklan -

Asma' berkata beliau tiada kaitan langsung dengan program McDonald's.

"Gambar tersebut juga telah diedit. Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau tulisan seperti yang didakwa. Semua tulisan di hantaran ini adalah rekaan dan satu penipuan," katanya menjawab hantaran oleh sebuah akaun troll di Facebook.

McDonald's sebelum ini memuat naik video TikTok ceramah Asma' pada 5 Mac lalu, menunjukkan beliau berucap berlatar belakangkan sepanduk kempen "Kongsi Rezeki Ramadan", tema promosi bulan puasa syarikat itu.

McDonald's juga memuat naik video ceramah menampilkan beberapa pendakwah Islam ternama lain.

Asma' Harun menyampaikan ceramahnya dengan berlatarbelakangkan kempen promosi Ramadan McDonald's.
Asma' Harun menyampaikan ceramahnya dengan berlatarbelakangkan kempen promosi Ramadan McDonald's.

Seorang pengguna yang memberikan respon kepada kenyataan Asma' menggesa beliau dan pendakwah lain menyaman McDonald's kerana menggunakan ceramah mereka.

"Jika ustazah dan asatizah yang lain tidak bekerjasama dengan McD, mohon saman sahaja syarikat ini. Mereka nampaknya sengaja ingin menggagalkan usaha boikot dengan cara memanipulasi usaha dakwah para asatizah. Menyedihkan," tulis Bella Muslim di Facebook.

MalaysiaNow telah menghubungi syarikat perhubungan awam (PR) yang ditugaskan McDonald's bagi mendapat maklum balas.

- Iklan -

Penafian Asma' sekaligus menunjukkan gerakan boikot global terhadap kepentingan Barat masih belum reda, walaupun usaha agresif syarikat multinasional dalam melawan tuduhan menyokong perang Israel terhadap penduduk Palestin.

Di Malaysia, restoran yang hampir kosong, penutupan ratusan cawangan dan kemerosotan keuntungan tidak menghalang pemegang lesen francais beberapa jenama makanan Barat daripada cuba memenangi semula pelanggan beragama Islam.

Semakan mendapati akaun media sosial rasmi syarikat-syarikat terbabit kerap memaparkan menu Ramadan, di samping video dan gambar pegawai kanan mereka melakukan ziarah ke masjid dan rumah anak yatim sambil memberikan sumbangan makanan.

Bagaimanapun, kempen Ramadan McDonald's dilihat antara yang paling agresif.

Selain Starbucks dan KFC, McDonald's turut menimbulkan kemarahan penyokong Palestin di seluruh dunia kerana mendakwa syarikat besar yang bertapak di Amerika Syarikat menyumbang kepada ekonomi AS, dan oleh itu terpalit dalam membiayai bantuan ketenteraan Washington kepada Israel.

Bagaimanapun, menurut McDonald's Malaysia, ia merupakan entiti yang bebas daripada McDonald's Corporation yang berpangkalan di AS.

Ketika gerakan boikot masih di peringkat awal pada Oktober 2023, pegawai tinggi syarikat itu bertindak mendekati mufti dan agamawan sambil mengumumkan sumbangan untuk tabung kemanusiaan Gaza.

Usaha itu dilihat masih tidak mampu meredakan gerakan boikot, yang telah menyaksikan restoran McDonald's yang biasanya sesak hampir lengang walaupun pada waktu puncak.

- Iklan -

Malah pernah satu ketika, McDonald's Malaysia mengancam mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pengkritik dan sesiapa yang mempromosi gerakan boikot di media sosial.

Di hampir semua saluran media sosial rasminya, syarikat itu menutup ruang komen, langkah yang dilihat sebagai mengelak serangan yang cuba mengaitkannya dengan perang di Gaza, dan boleh menjejaskan kempen.

Sementara itu, pelbagai komen terhadap kenyataan Asma' malam tadi turut mempersoalkan beliau atas kegagalan mengeluarkan penafian lebih awal, walaupun sebelum ini McDonald's pernah mengumumkan namanya sebagai penceramah dalam program "Kongsi Rezeki Ramadan" dua hari sebelum acara itu pada 5 Mac.

"Kerosakan telah dilakukan. Ustazah patutnya pun jika tahu McDonald's terlibat sama boleh minta untuk mengundur diri kerana ingin mengelakkan fitnah. Sekarang nasi dah jadi bubur," kata Faris Adnan.

Ahmad Yasin menulis: "Ustazah tidak menjawab isu, ustazah telah nafikan kerjasama dengan McD, tetapi ustazah tak persoalkan kenapa McD memuat naik ceramah ustazah. Jika ada kesilapan daripada McD ustazah patut meminta permohonan maaf daripada McD dan meminta McD menurunkan video ustazah."

Ramai juga yang mengulas mengenai kempen Ramadan McDonald's yang bertemakan unsur agama.

"Perasan tak apa motif McD yang waktu ni giat sedang menggunakan mesej agama untuk membuat tarik pelanggan," kata pengguna Matahari Pagi.