- Iklan -
Berita

Polis digesa siasat dalang 'VIP' di sebalik persatuan puja China, fahaman komunisme

Bekas YDP Dewan Negara, Rais Yatim merujuk sebuah video tular mengenai sebuah persatuan tidak berdaftar.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar dari video tular yang mendakwa sebuah persatuan tidak berdaftar mempromosi fahaman komunisme di Malaysia.
Tangkap layar dari video tular yang mendakwa sebuah persatuan tidak berdaftar mempromosi fahaman komunisme di Malaysia.

Bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Rais Yatim menggesa polis menyiasat penyebaran komunisme di Malaysia oleh pihak yang mempromosikan China, selepas video tular yang mempromosikan ideologi itu menerusi persatuan yang dikatakan melibatkan orang kenamaan.

Rais berkata beliau telah membuat laporan polis baru-baru ini, sambil memberi amaran negara akan menanggung akibatnya sekiranya kegiatan itu tidak dikekang di peringkat awal.

Menurutnya, apa yang membimbangkan ialah klip video tersebut turut menamakan beberapa individu yang mengepalai persatuan itu termasuk orang kenamaan.

- Iklan -

"Promosi negara China itu cukup besar. Saya minta siasatan dibuat dan sekiranya benar, apakah gara-gara komunisme itu melibatkan beberapa VIP yang berpangkat besar dan dibiarkan begitu sahaja?" kata Rais dalam sidang media semalam.

Video yang dimaksudkan menunjukkan individu bergambar dalam satu majlis terkait dengan komunis di China, melibatkan sebuah persatuan yang dikenali sebagai "Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China" di Malaysia yang tidak berdaftar.

"Satu China" merujuk kepada syarat yang ditetapkan Beijing dalam menjalinkan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara, iaitu untuk mengiktiraf hanya terdapat sebuah negara China yang turut meliputi Taiwan.

Rais berkata beliau mempunyai asas kuat untuk membuat laporan polis terhadap video tersebut memandangkan perkembangan sejak akhir-akhir ini yang menunjukkan usaha menyebarkan pengaruh China.

"Video ini mengandungi fakta yang jelas bahawa kemaraan fahaman dan pendirian terhadap komunisme itu jelas," katanya sambil merujuk kepada insiden di Pulau Pinang yang mana murid-murid menyanyikan lagu patriotik tanah besar China.

Rais berkata, bukti video tersebut mencukupi untuk pihak polis mengambil tindakan.

Dalam video itu, seorang pengulas kedengaran menamakan seorang individu yang menjadi presiden persatuan tersebut.

- Iklan -

"Ada yang cakap beliau ada kegiatan dengan dunia gelap dan minta saya hati-hati," menurut ulasan tersebut.

Rais berkata perkembangan itu seperti mencabul kedudukan dan tatasusila Malaysia.

"Kita di Malaysia tidak mengiktiraf komunisme dan memerangi komunis sejak tahun 1948 hingga 1960. Sehingga kita wujudkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini diganti dengan Sosma," katanya.

Sebelum ini, beberapa insiden yang mencetuskan kontroversi dan rasa kurang senang rakyat tempatan.

Ia termasuk peristiwa kibaran bendera China di Teluk Intan, dan nyanyian lagu kebangsaan China di Sekolah Menengah Chung Ling di Georgetown, Pulau Pinang pada tahun lepas.