- Iklan -
Berita

Kerajaan Indonesia kerjasama dengan Israel pindah penduduk Gaza, kata laporan

Program perintis susulan rundingan dengan regim Israel akan menyaksikan kira-kira 100 pekerja Palestin berpindah ke Indonesia.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Sebelum perang meletus pada 2023, ekonomi Israel bergantung kepada tenaga kerja penduduk Palestin.
Sebelum perang meletus pada 2023, ekonomi Israel bergantung kepada tenaga kerja penduduk Palestin.

Indonesia bersetuju menerima 100 penduduk Gaza dalam usaha regim Israel untuk menempatkan semula buruh Palestin secara tetap, susulan rundingan antara kedua-dua kerajaan, akhbar Times of Israel memetik laporan media Israel.

Program perintis itu akan menyaksikan kira-kira 100 pekerja Gaza tiba di Indonesia untuk bekerja dalam sektor pembinaan.

Laporan itu berkata sekiranya program perintis itu berjaya, Israel merancang memindahkan beribu-ribu penduduk Gaza "secara sukarela" ke Indonesia, di mana mereka juga boleh memutuskan sama ada untuk menetap secara kekal di negara itu dengan persetujuan Jakarta.

- Iklan -

Israel Katz, menteri pertahanan regim tersebut, dijangka akan melantik seorang pegawai tentera kontroversi yang diterima baik penganut Yahudi, untuk mengetuai pengurusan projek tersebut.

Sebelum ini, laporan menyebut mengenai rundingan sulit antara regim Israel dan beberapa negara untuk menempatkan semula ribuan penduduk Gaza.

Usaha itu dilihat tidak banyak berbeza dengan rancangan Presiden Donald Trump yang mahu mengosongkan seluruh Gaza untuk membangunkan semula wilayah  itu menjadi kawasan peranginan.

Rancangan Trump itu dikecam sebagai pembersihan etnik, dan ditolak oleh Eropah dan beberapa negara Arab.

Israel menyambut baik rancangan tersebut, yang dilihat selari dengan hasratnya menjadikan Gaza sebagai wilayah Israel dengan pembinaan penempatan Yahudi.

Sementara itu, rangkaian Israel i24news berkata kira-kira 35,000 penduduk Gaza telah berpindah ke negara lain sejak konflik meletus pada Oktober 2023.

Laporan itu berkata kira-kira 1,000 penduduk meninggalkan Gaza sejak awal bulan, manakala 600 lagi dijangka berlepas minggu ini.