- Iklan -
Berita

'Pusingan U lagi': 8 tahun selepas kecam Najib beli Boeing, pemimpin PH kunci mulut

Bagaimanapun, seorang pemimpin DAP yang pernah membantah keras bekas perdana menteri itu berkata 'keadaan sudah berubah'.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Sim Tze Tzin dari PKR dan Tony Pua dari DAP memakai rambut palsu ala Donald Trump sebagai sindiran terhadap pertemuan Najib Razak dengan presiden AS itu pada 2017, sambil diapit Rais Hussin dan Dzulkefly Ahmad.
Sim Tze Tzin dari PKR dan Tony Pua dari DAP memakai rambut palsu ala Donald Trump sebagai sindiran terhadap pertemuan Najib Razak dengan presiden AS itu pada 2017, sambil diapit Rais Hussin dan Dzulkefly Ahmad.

Langkah kerajaan memesan 30 buah pesawat Boeing untuk kegunaan Malaysia Airlines dianggap satu lagi pusingan U oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan menyaksikan pelbagai pihak menyorot semula kritikan keras yang dilemparkan Pakatan Harapan (PH) pada 2017 ketika perdana menteri ketika itu, Najib Razak, melakukan perkara serupa.

Pada 2017, Najib dalam satu pertemuan dengan Presiden Donald Trump, mengumumkan pembelian 25 buah pesawat Boeing, keputusan yang mengundang kutukan bertubi-tubi dari pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Selain pembelian itu, Najib turut mengumumkan pelaburan berbilion ringgit di AS oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Khazanah Nasional.

- Iklan -
Pada 2017, Rafizi Ramli menyelar Najib Razak selepas pertemuan bekas perdana menteri itu dengan Donald Trump.
Pada 2017, Rafizi Ramli menyelar Najib Razak selepas pertemuan bekas perdana menteri itu dengan Donald Trump.

Menteri Ekonomi pada masa ini, Rafizi Ramli, pernah menuduh Najib "menggadai kepentingan negara" kerana memperkasakan ekonomi AS ketika rakyat Malaysia bergelut dengan masalah kewangan.

"Saya nyaris termuntah melihat Najib menjatuhkan martabat rakyat Malaysia dengan membodek Presiden Trump apabila beliau berkata, 'Yang pertamanya, kami mahu membantu anda dari segi memperkasakan ekonomi AS. Saya mempunyai tiga cadangan'," kata Rafizi yang turut menyindir Najib "seolah-olah membawa ufti".

Beberapa pemimpin PH lain pula mempersoalkan mengapa kerajaan Najib menguntungkan sebuah syarikat AS ketika negara itu membantu tentera Israel menyerang penduduk Palestin.

Antaranya ialah bekas naib pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, yang ketika itu menuntut Najib supaya lebih tegas dalam isu Palestin, dan membatalkan urusan dengan Boeing.

"Perdana Menteri (Najib) bukan hanya perlu nyatakan pendirian tapi perlu bertegas dengan menarik balik komitmennya kepada presiden Amerika sebelum ini untuk memperkukuhkan ekonomi negara itu," kata Zulpuri, sambil menambah pelaburan oleh Malaysia memperlihatkan wang rakyat terpalit dalam "setiap kemusnahan dan kematian yang berlaku di Baitulmaqdis".

Ketika dihubungi, Zulpuri mempertahankan kritikannya, dengan berkata komen yang dibuat itu "bersesuaian dengan keadaan tahun 2017", namun kini masa dan suasana telah berubah.

Jelasnya, AS kini menanggung kerugian yang lebih tinggi disebabkan perang di Gaza berbanding pada 2017.

- Iklan -

"Kini 2025, pembelian ini tidak banyak membantu AS dari segi ekonomi dan dasar luarnya terhadap Israel," katanya kepada MalaysiaNow.

Pembelian 30 pesawat Boeing diumum Anwar sendiri pada 21 Mac untuk kegunaan Malaysia Aviation Group, syarikat yang memiliki Malaysia Airlines, melibatkan 18 model Boeing 737-8 dan 12 model Boeing 737-10.

Pesanan itu jauh lebih besar daripada apa yang diumumkan Najib pada 2017.

Zulpuri berkata Malaysia sebagai sebuah negara berkecuali perlu memperkukuhkan kedudukan ekonomi dengan AS yang merupakan rakan strategik.

Beliau kemudian mengulangi alasan yang kerap diberikan pemimpin PH bila mana berdepan tuduhan membuat pusingan U:

"Apa yang penting kini kita sudah menjadi kerajaan dan juga turut bergabung dengan Barisan Nasional dan parti-parti lain.

"Semua keputusan dasar adalah keputusan kabinet dan bersama, sudah tentu jika ada komponen kerajaan perpaduan yang tidak bersetuju, maka PM tidak akan buat," tambahnya.

MalaysiaNow cuba menghubungi beberapa pemimpin PH lain yang lantang mengkritik pertemuan Najib dan Trump pada 2017.

- Iklan -

Selain Rafizi, mereka termasuk bekas ahli Bersatu yang melompat masuk ke PKR, Rais Hussin, yang kini mengepelai agensi kerajaan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (Mranti), bekas setiausaha publisiti DAP Tony Pua, Ahli Parlimen Bayan Baru dari PKR, Sim Tze Tzin dan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Tidak lama selepas pertemuan Najib di Washington, Rais, Sim, Pua dan Dzulkefly mengadakan sidang media sambil mengenakan pakaian mengajuk Trump, dengan masing-masing memegang sepanduk "Make America Great Again", slogan Trump.

MalaysiaNow menghubungi keempat-empat ahli politik itu menerusi panggilan telefon dan teks pesanan, namun tidak mendapat sebarang respons.  

Ketika dihubungi, seorang pegawai Dzulkefly memberi alasan menteri kesihatan itu tidak dibenarkan mengulas isu berkaitan kementerian lain.

"Menteri sudah tentu terikat dengan kod etika kementerian untuk tidak mengulas mengenai isu yang berada di bawah bidang kuasa kementerian lain," katanya.

Najib_Trump_2017Bagi bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Isham Jalil, langkah terbaru pentadbiran Anwar itu menunjukkan kerajaan pimpinan PH "tiada idea" dan hanya meniru idea lama BN.

"Mereka tiru apa yang dikritik dahulu. Dahulu mereka kritik macam-macam polisi kita tapi bila dah jadi kerajaan, mereka tidak ada idea baru.

"Dahulu mereka pembangkang tidak mengapalah mereka mahu cakap sesuka hati. Tetapi mereka sudah jadi kerajaan, tidak boleh beretorik lagi," katanya.

- Iklan -

Manakala Eric See-To, antara orang kuat Najib yang masih lantang mempertahankan dasar bekas perdana menteri itu, menyindir keputusan kerajaan membeli pesawat Boeing itu.

"Tapi dulu, kamu orang juga yang tuduh Najib macam-macam bila umum Malaysia Airlines beli 16 buah Boeing - kononnya tiada keperluan dan ianya adalah pengkhianatan terhadap perjuangan Palestin.

"Sekurang-kurangnya, Najib dapat bertemu dengan Trump. Ini pula, phone call pun tak angkat," kata Eric yang memuat naik ulasan politik menerusi akaun Facebook Lim Sian See.

Sebelum ini, pelbagai pihak mempersoalkan mengapa Anwar tiada perbualan telefon dengan Trump, sedangkan presiden AS itu telah berkomunikasi dengan beberapa pemimpin negara jiran termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand sekembalinya beliau ke White House awal tahun ini.

Ia turut mengundang kritikan terhadap bekas duta Malaysia ke Washington, Nazri Aziz atas kegagalannya mengatur perbualan telefon Anwar-Trump.

Presiden Gerakan, Dominic Lau, mempersoalkan sama ada pentadbiran Anwar membeli Boeing bagi menawan hati Trump.

"Saya benar-benar berharap pembelian pesawat Boeing ini adalah untuk masa depan Malaysia Airlines, bukan pertukaran untuk bercakap dengan Trump," katanya baru-baru ini.

Lau berkata pembelian itu berlaku ketika ekonomi semasa yang merudum, di samping prestasi Malaysia Airlines yang merosot.

"Pembelian besar seperti ini harus berdasarkan keperluan sebenar, bukan agenda tersembunyi yang tidak mahu diketahui rakyat."

Sementara itu, sebanyak 23 pertubuhan NGO termasuk cawangan tempatan pergerakan anti-Israel, Boycott, Divestment, Sanctions (BDS Malaysia), menggesa kerajaan membatalkan pembelian tersebut.

Mereka mengingatkan bahawa Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menamakan Boeing salah satu syarikat yang membekalkan senjata kepada regim Israel.

"Malaysia tidak boleh mendakwa berdiri bersama Palestin sambil menguntungkan sebuah syarikat yang membekalkan senjata kepada penindas mereka. 

"Dengan memilih berurus niaga dengan Boeing, Malaysia secara tidak langsung mensubsidi syarikat yang mengaut keuntungan daripada apartheid, pembunuhan beramai-ramai, dan jenayah perang. Tindakan ini tidak boleh dipertahankan dari sudut moral dan merupakan pengkhianatan terhadap solidariti yang diuar-uarkan Malaysia untuk Palestin," kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.