- Iklan -
Berita

Pengendali Menara KL dakwa staf Bumiputera teraniaya, tuduh Lim Seong Hai Capital gagal serap pekerja

Hydroshoppe berkata pemegang konsensi baru sekadar menawarkan pekerjaan secara selektif di samping tawaran sementara yang merugikan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Kakitangan Menara Kuala Lumpur ketika acara mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Merdeka pada tahun lalu.
Kakitangan Menara Kuala Lumpur ketika acara mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Merdeka pada tahun lalu.

Hydroshoppe Sdn Bhd, pemegang konsensi yang kini berusaha menghalang pengambil alihan operasi Menara Kuala Lumpur oleh Lim Seong Hai Capital, mendakwa syarikat yang dilantik pentadbiran Anwar Ibrahim itu gagal menunaikan permintaannya untuk menyerap lebih 200 kakitangan, sebaliknya melengahkan proses tersebut termasuk menjalankan lantikan staf yang selektif yang memberi kesan kepada pekerja yang kebanyakannya Bumiputera.

Hydroshoppe, pemegang saham tunggal Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MLKSB) yang mengendalikan operasi di mercu tanda bandar raya itu, berkata ia menyebabkan syarikat terpaksa membayar bayaran pemberhentian kerja, atau TLOB, berjumlah RM2.69 juta.

"Pihak LSH Capital telah melengahkan proses serta menawarkan syarat
pekerjaan yang kurang menguntungkan (less favorable), dan memberi kesan
negatif kepada kebanyakan pekerja Bumiputera di Menara KL.

- Iklan -

"Kelewatan dalam membuat tawaran ini akhirnya menyebabkan MKLSB terpaksa
menanggung pembayaran TLOB, yang merupakan penganiayaan kepada MKLSB," kata syarikat itu yang baru-baru ini bertindak menghalang pengurusan Lim Seong Hai memindah masuk barang ke kompleks Menara KL pada malam pertama sambutan Hari Raya.

MalaysiaNow telah menghubungi Lim Seong Hai Capital berhubung dakwaan tersebut, tetapi masih belum mendapat reaksi.

Pertikaian mengenai operasi Menara KL tercetus sejak kerajaan menganugerahkan konsesi 20 tahun kepada LSH Service Master Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Lim Seong Hai Capital, bermula 1 April.

Bagaimanapun, keputusan itu dicabar Hydroshoppe yang berkata kerajaan sebelum ini bersetuju memberikan konsesi kepada syarikat miliknya MKLSB sehingga 2039.

Pada 27 Mac, MKLSB memfailkan saman menuntut RM1 bilion terhadap Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Lim Seong Hai Capital untuk mencabar keputusan itu.

Ia turut memohon perintah injunksi dari mahkamah untuk menghalang kerajaan memindah milik pengendalian Menara KL kepada Lim Seong Hai Capital.

MKLSB dalam kenyataan terbarunya berkata Lim Seong Hai Capital sekadar menawarkan pekerjaan kepada kakitangan sementara, sambil mendakwa ia cubaan "mengganggu kelangsungan operasi" di Menara KL. 

- Iklan -

"Kami juga ingin menegaskan bahawa tindakan yang diambil oleh LSH Capital boleh dikategorikan sebagai 'employee raiding', iaitu tindakan pengambilan pekerja secara agresif daripada MKLSB secara tidak sah dengan tujuan mengganggu operasi Menara KL."

Menurutnya, bil utiliti Menara KL masih di bawah nama MKLSB. 

Syarikat itu menuduh Lim Seong Hai Capital "bermain helah untuk memburuk-burukkan" pihaknya. 

"Di atas sebab kemungkiran berterusan pihak LSH Capital dan Kementerian Komunikasi, MKLSB berhak untuk meneruskan operasi selepas 1 April
2025 dan telah membawa pertikaian ini untuk diputuskan di mahkamah terlebih
dahulu."