- Iklan -
Berita

'Bukan mudah jadi orang miskin, saya akan lawan'

Penjual belon yang diserang pegawai DBKL pada 28 Mac menceritakan saat-saat cemas ketika bekalan belonnya dirampas.

Muhammad Zaimuddin Azlan
3 minit bacaan
Kongsi

Saya, Muhammad Zaimuddin Azlan, seorang warganegara Malaysia. 

Saya adalah seorang yang berniaga jual belon untuk mencari rezeki halal. Oleh kerana bulan Ramadan dan Hari Raya hampir tiba saya jual belon "part time" kerana kerja sepenuh masa sebagai kedi golf tidak banyak kerja waktu ini. 

Berkenaan kes lampau yang memetik sumber sahaja, buat masa ini saya akan membiarkan peguam saya menjawab soalan berkenaan. 

- Iklan -

Adakah sebab saya pernah ada kes, maka saya tidak boleh cari rezeki halal? 

Pada 28 Mac 2025, saya di Sogo jual belon. Saya tidak jual dadah. 

Kalau saya bekas penjenayah, maka saya boleh dipukul, ditendang, diterajang, dicekup leher dan diperlaku zalim? 

Kalau saya ada kes lampau, adakah itu lesen untuk siapa-siapa sahaja boleh pukul saya? 

Kalau saya miskin, susah, ada kes lampau, adakah DBKL boleh layan saya macam sampah? 

Kalau saya ada kes lampau, adakah maksudnya saya tidak ada tempat untuk lawan orang yang buat salah dengan saya? 

Saya ambil tindakan ini kerana saya ada hak pertahan diri saya dan maruah keluarga saya. 

- Iklan -

Saya berterima kasih pada semua yang bantu saya. 

Ampun Tuanku, patik junjung kasih atas kehadiran anakanda Tuanku Al-Sultan Abdullah ke Hospital bertemu patik. 

Begitu juga saya ucapkan pada mereka yang doakan saya dan keluarga saya. 

Pada yang komen dan beri kata-kata hina, saya doakan perkara yang kena pada saya tidak akan dilalui oleh anda semua. 

Saya lihat video saya dipukul viral. Saya mohon maaf pada ibu, ayah dan kakak serta adik saya. 

Saya hendak berubah. Bukan mudah jadi orang miskin dan susah. Saya akan lawan sebab perkara ini zalim. 

Pada pihak berkuasa, tolong jaga integriti. Tolong bertindak ikut undang-undang. 

Muhammad Zaimuddin Azlan dan ibunya menahan emosi ketika menceritakan pengalamannya sebagai penjual belon pada sidang media semalam.
Muhammad Zaimuddin Azlan dan ibunya menahan emosi ketika menceritakan pengalamannya sebagai penjual belon pada sidang media semalam.

Saya hanya mencari sesuap nasi bagi diri saya dan keluarga saya. Kami pun hendak berhari raya macam orang lain. 

- Iklan -

Peristiwa 28 Mac

Pada 28 Mac 2025, jam lebih kurang 11 ke 11.30 malam, waktu itu saya berniaga belon di sekitar kawasan berhadapan Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 

Saya berjalan seorang dan memegang di tangan saya bekalan-bekalan belon yang saya sedang jual. 

Tiba-tiba dua lelaki Melayu saya tidak kenali berpakaian biasa tanpa apa-apa tanda nama atau pengenalan halang saya, dan salah seorang lelaki itu pegang tali belon-belon yang saya pegang. 

Lelaki itu suruh saya "Lepaskan". Saya tarik balik. Saya tergamam. Saya pertahan belon-belon saya sahaja. Saya tidak melawan. Saya tidak buat apa. Saya tidak agresif. Saya hendak larikan diri. Saya sakit hernia masa itu. 

Tiba-tiba salah satu lelaki pegang dan cekup saya dari belakang dan seorang lagi lelaki pula tolak-menolak badan saya dari depan. Masa itu ada pergelutan. 

Lelaki yang di hadapan saya terjatuh dan saya pula jatuh ditolak atas lelaki itu. Masa itu semuanya pantas. Badan saya sakit. Tiba-tiba saya perasan ada orang cekup dan jerut leher saya dari belakang. Saya tertiarap. Saya tutup bahagian kemaluan saya, berasa risau disepak bahagian sulit saya kerana hernia. 

Saya terasa dipukul-pukul. Kemudian saya hanya dengar ramai orang kecoh dan bising. Saya dengar orang menjerit "Bang jangan macam ni... Bang jangan macam ni.... Bang jangan macam ni". Saya tidak dapat lihat dengan jelas apa berlaku tapi saya rasa badan saya sakit belakang seperti kena himpit dengan kaki atau lutut tidak pasti. Leher saya dipulas dicekup. 

- Iklan -

Kemudian badan saya ditarik dan saya tidak tahu, tapi ada beberapa orang bawa dan papah saya ke khemah polis trafik. Saya diberi air untuk minum. Saya kemudian ke belakang Jalan Masjid India untuk berjumpa pembekal belon. Saya beri duit kutipan pada dia dan dibayar upah RM30 malam itu. 

Saya naik motor untuk ke rumah saya di Sungai Besi. Dua kali berhenti kerana tidak tahan sakit. 

Saya hanya tidur di rumah dan apabila bangun saya rasa sakit sangat belakang dan tulang belakang. Saya dibawa ke Hospital Serdang dan saya terima rawatan. 

Saya hanya ke IPD hari ini kerana berada di hospital mulai 29 Mac hingga 4 April, 2025. 

Saya buat laporan ini kerana saya telah dipukul, dikasari dan dizalimi oleh pihak-pihak yang kini saya tahu adaiah anggota-anggota penguatkuasa DBKL. 

Saya tidak puas hati saya dikasari sebegini rupa. Saya mahu polis siasat dan ambil tindakan. Doktor di hospital sahkan saya alami "T12 compression" dan saya mesti memakai bengkung selama tiga bulan. Lain-lain kesan jangka masa panjang kecederaan masih belum dapat dipastikan. 

Ini merupakan laporan penuh dibuat Muhammad Zaimuddin Azlan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada 6 April 2025.