Hakim benarkan bekas staf Anwar kemuka dokumen saman serangan seksual dalam bicara kes senjata/dadah
Peguam Rafique Rashid berkata, ia adalah asas untuk mengatakan Yusoff menjadi mangsa perangkap Anwar dan bekas setpolnya, Farhash Wafa Salvador.
Terkini
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan dokumen saman sivil serangan seksual melibatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dimasukkan sebagai bahan eksibit pembelaan dalam perbicaraan kes dadah dan senjata api bekas staf presiden PKR itu, Muhammed Yusoff Rawther, tahun lalu.
Semasa pemeriksaan balas saksi pertama pihak pendakwaan, Inspektor Wan Muhammad Wan Ali, peguam bela Rafique Rashid menunjukkan senarai saksi berkaitan saman sivil anak guamnya terhadap Anwar.
Wan Muhammad merupakan antara pegawai dari Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, yang terlibat dalam operasi serbuan ke atas kenderaan milik Yusoff pada 6 September tahun lalu.
Timbalan pendakwaraya Mohd Sabri Othman membantah dokumen saman Yusuff terhadap Anwar dikemukakan pasukan peguam bela, dengan alasan ia tiada kaitan dengan kes jenayah.
"Kes sivil tersebut dirujuk berdasarkan undang-undang sivil. Jika mahkamah membenarkan, banyak lagi dokumen-dokumen sivil bakal dikemukakan dan tumpuan (terhadap) kes dadah dan senjata akan menjadi huru-hara," kata Sabri.

Rafique kemudian menjelaskan bahawa Yusoff telah memberitahu polis bahawa Anwar dan bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador tidak berpuas hati dengan Yusoff disebabkan aduan yang dilaporkan terhadap mereka.
"Hendak mengatakan barang ini 'planted' atau Yusoff diperangkap, kena ada asasnya. Inilah asasnya yang kita bawa dokumen-dokumen. Kita mahu tunjukkan rentetan tarikh-tarikh berkaitan," kata Rafique.
"Jika tidak, ia hanya menjadi penafian kosong."
Hakim Muhammad Jamil Hussin bagaimanapun membenarkan dokumen saman itu ditunjukkan kepada Wan Muhammad.
Dalam jawapannya, Wan Muhammad berkata beliau menerima panggilan daripada pihak tidak dikenali, yang memberitahunya terdapat senjata dalam kenderaan tersebut.
Yusoff berdepan tuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api.
Pada 6 September tahun lalu, polis mendakwa menemui dadah dan senjata dalam kenderaan milik Yusoff di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Kes itu mendapat perhatian selepas timbul pelbagai tanda tanya mengenai cara Yusoff diserbu dan ditangkap sekumpulan anggota polis.
Tangkapan itu dibuat seminggu selepas Yusoff memfailkan senarai saksi dalam samannya terhadap Anwar, yang bakal dibicarakan pada 16 Jun ini.

Yusoff dan keluarganya telah membuat dua laporan polis dengan menamakan beberapa individu terkenal yang perlu disiasat, termasuk Farhash.
Polis masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai status laporan itu.
Yusoff, cucu aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Idris, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan memiliki dua pucuk pistol dan 305g ganja di dalam keretanya seperti didakwa polis.
Rafique berkata pihaknya mahu meletakkan asas-asas pembelaan Yusoff menerusi dokumen saman tersebut.
"Kita kena letakkan asas siapa yang bagi arahan (perangkap) kalau betul ada arahan. Kenapa dia rasa dia perangkap? Kita tak boleh hanya cakap di luar. Dalam mahkamah kita kena tampil dengan bukti. Kalau tidak, hanya akan jadi cakap kosong.
"Dari hari pertama Yusoff kekal mengatakan dia adalah mangsa perangkap," katanya.
Sementara itu, Rafique turut mengemukakan rakaman percakapan Yusoff kepada pihak polis sebagai eksibit pembelaan.
Yusoff pernah bertugas sebagai bekas pembantu penyelidik Anwar di sebuah pejabat banglo di Petaling Jaya pada 2018.
Tidak lama selepas itu, dia membuat laporan polis mendakwa presiden PKR itu secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang menyaksikan Anwar kembali ke Dewan Rakyat empat tahun selepas disabitkan kesalahan liwat.
Pada Julai 2021, Yusoff memfailkan saman sivil terhadap Anwar.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.