- Iklan -
Berita

Saya miskin tapi itu bukan lesen DBKL anggap saya sampah, kata penjual belon di sebalik risiko lumpuh

Muhammad Zaimuddin kini berkerusi roda dan perlu memakai bengkung selama tiga bulan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Muhammad Zaimuddin Azlan menceritakan insiden pada 28 Mac lalu ketika diserang pegawai penguatkuasa DBKL kerana tidak mempunyai permit menjual belon.
Muhammad Zaimuddin Azlan menceritakan insiden pada 28 Mac lalu ketika diserang pegawai penguatkuasa DBKL kerana tidak mempunyai permit menjual belon.

Muhammad Zaimuddin Azlan, penjual belon yang dipukul pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beberapa hari sebelum Aidilfitri, tampil mempersoalkan pelbagai serangan ke atasnya termasuk dakwaan mempunyai kes jenayah lampau, ketika seorang doktor memberi amaran pemuda itu kini berdepan risiko lumpuh akibat keretakan tulang.

"Pada 28 Mac saya di Sogo jual belon. Saya tidak jual dadah. Kalau saya bekas penjenayah, maka saya boleh dipukul, ditendang, diterajang, dicekup leher dan diperlaku zalim?" kata Zaimuddin yang terpaksa berkerusi roda, ketika muncul pada sidang media ditemani ibunya Hasnah Mat Isa dan peguam Rafique Rashid.

Muhammad Zaimuddin Azlan ditemani ibunya, serta peguam Rafique Rashid, selepas membuat laporan polis pada 6 April 2025.
Muhammad Zaimuddin Azlan ditemani ibunya, serta peguam Rafique Rashid, selepas membuat laporan polis pada 6 April 2025.

"Kalau saya ada kes lampau adakah itu lesen untuk siapa-siapa sahaja boleh pukul saya? Kalau saya miskin, susah, ada kes lampau, adakah DBKL boleh layan saya macam sampah?" soalnya.

- Iklan -
Dr Mohd Hafidz Rizal Amran.
Dr Mohd Hafidz Rizal Amran.

Seorang pegawai perubatan swasta, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran, yang turut hadir pada sidang media tersebut berkata sekiranya tidak dirawat dengan betul, kecederaan dialami Zaimuddin berpotensi menyebabkan kelumpuhan.

"Apabila tulang retak, ruang kosong akan terbentuk antara T11 dan L1, menyebabkan ketidakseimbangan pada struktur tulang belakang. Keadaan ini boleh menyebabkan saraf terhimpit dan cedera," katanya.

Zaimuddin, yang bekerja sebagai seorang caddy golf, berkata berkata dia menjual belon secara sambilan memandangkan tidak banyak kerja di padang golf sepanjang bulan puasa yang lalu.

Dia sebelum ini memaklumkan terpaksa mencari wang untuk rawatan penyakit hernia.

Zaimuddin turut merujuk kepada laporan media dan hantaran media sosial oleh laskar siber pro-kerajaan mengenai dakwaan dia terpalit 13 kes lampau berkaitan salah guna dadah.

Bagaimanapun, dia memilih membiarkan perkara itu dijawab peguam.

Kesnya mendapat perhatian selepas tular video menunjukkan pergaduhan antara beberapa penguatkuasa DBKL di Jalan TAR.

- Iklan -

DBKL sebelum ini telah merehatkan tiga anggota penguatkuasaan selepas insiden tersebut menerima kecaman orang ramai.

DBKL pada awalnya mempertahankan tindakannya, tetapi kemudian merehatkan tiga pegawai penguatkuasa selepas insiden tersebut menerima kecaman orang ramai di media sosial, di mana ramai membandingkannya dengan sebuah peristiwa di Tunisia lebih sedekad lalu, apabila penjual buah Mohamed Bouazizi membakar dirinya  selepas gerainya dirampas pihak berkuasa, tindakan yang mencetuskan kebangkitan rakyat di Tunisia seterusnya di beberapa negara Arab lain.

Zaimuddin yang terkenal dengan panggilan "Abang Belon" dimasukkan ke hospital susulan pergelutan tersebut. Dia turut menerima kunjungan Istana Pahang semasa berada di hospital.

Semalam, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Menurut pemuda berusia 28 tahun itu, dia terpaksa memakai bengkung selama tiga bulan akibat daripada insiden tersebut.

Zaimuddin yang menetap di Sungai Besi menafikan berkasar terhadap penguatkuasa. Sebaliknya, dia hanya mempertahankan belon-belon yang dijual.

"Saya tidak melawan. Saya tidak buat apa. Saya tidak agresif. Saya hendak melarikan diri," katanya dalam laporan polis tersebut.