Personaliti media sosial disiasat SKMM kerana siar tangkap layar tanpa ulasan
Ratu Naga berkata beliau disoal kerana menyiarkan kandungan yang menyentuh empat isu, dua daripadanya sekadar tangkap layar artikel berita.
Terkini
Seorang pempengaruh media sosial terkenal disiasat pihak berkuasa berhubung beberapa hantaran yang dilihat mempersendakan kerajaan, dua daripadanya sekadar tangkap layar laporan berita.
Syarul Ema Rena Abu Samah atau Ratu Naga, yang kerap memuat naik pelbagai komen lawak menyasarkan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung empat isu yang dibangkitkan dalam beberapa klip video yang dimuat naik di pelbagai platform.
Antaranya termasuk sebuah klip menunjukkan sekumpulan pelajar berbangsa Cina menyanyikan lagu Negaraku, kritikan terhadap Akta Pembaharuan Bandar (URA), pertikaian di Menara Kuala Lumpur di antara dua pemegang konsesi, dan laporan memetik Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung rancangan meliberalisasikan industri gas.
Ratu berkata beliau sudah pun memohon maaf atas klip yang memberi gambaran seolah-olah sekumpulan pelajar di Perak menyanyikan lagu kebangsaan dalam bahasa Cina, sedangkan mereka menyanyikan lagu negeri Perak.
Menurutnya, sejurus menyedari kesilapan itu, video itu segera diturunkan disusuli dengan permohonan maaf.
Tambahnya, SKMM mengakui video tersebut telah diturunkan. Bagaimanapun, salinan video tersebut kemudian disebarkan sehingga tular oleh pihak lain.
"Jika info yang kita bawa salah, kita kena minta maaf dan beritahu pihak umum, dan saya dah buat perkara itu. Tapi ada pihak tidak bertanggungjawab nak viralkan juga," kata Ratu yang bertanya sama ada SKMM akan turut memanggil pihak yang menyebarkan video tersebut.
Sementara itu, Ratu tidak berganjak dalam kritikannya terhadap URA, akta baharu yang giat dipromosikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di sebalik bantahan daripada pemilik rumah, terutama penduduk di kawasan tanah rezab Melayu di Kampung Sungai Baru di tengah-tengah bandar raya.
Menurutnya, isu itu berkait kepentingan awam dan sentiasa dibahaskan secara terbuka.
"Walaupun ia telah dijelaskan oleh Nga Kor Ming, tetapi adakah ia cukup untuk menjadikan suatu benda yang konkrit?
"Jadi mana salah saya bila saya pertahankan Kampung Sungai Baru?" soal Ratu yang kini terpaksa memuat naik kandungannya menggunakan akaun TikTok berbeza, selepas akaun miliknya dipadamkan secara tiba-tiba.
"Saya tak akan berhenti pertahankan Kampung Sungai Baru. Kalau orang Umno tak nak pertahankan, kalau Johari Ghani tak nak pertahankan, kalau Khalid Samad tak nak pertahankan, kalau pemimpin Melayu lain tak nak pertahankan, tak apa, saya bersama rakyat dan penduduk di sana akan cuba pertahankan no matter what."
Menyentuh isu ketiga yang dibangkitkan SKMM, Ratu menyindir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Katanya, SKMM menyoalnya hanya kerana menyiarkan tangkap layar laporan berita yang memetik kenyataan pemegang konsesi Menara Kuala Lumpur, Hydroshoppe Sdn Bhd, yang menuduh syarikat konsesi baharu Lim Seong Hai Capital Berhad enggan menyerap staf yang kebanyakannya Bumiputera.
"Ini isu yang sangat-sangat kelakar. Kau orang tau tak, saya disiasat kerana saya 'screenshot' berita dan saya hantar tanpa kapsyen. Dan diorang kata saya sebar 'fake news' (berita palsu).
"Adakah menjadi kesalahan besar untuk screenshot portal berita dan hantaran tanpa kapsyen?" soalnya
Dituduh 'pecahkan perpaduan'
Ratu, yang berkata gambarnya diambil sepanjang sesi bersama SKMM, turut disoal siasat berhubung satu lagi tangkap layar yang merujuk kepada laporan berita memetik Rafizi mengenai rancangan meliberalisasi industri gas asli.
"Saya hanya cakap, 'kan dah boleh agak if you smell what the rot is cooking'. Saya dituduh telah memecahkan perpaduan kerana status saya ini," katanya.
Sejak mengambil alih kerajaan pada 2022, pentadbiran Anwar mengambil tindakan terhadap pengguna media sosial yang mengkritik kerajaan campurannya, di mana platform seperti X, YouTube dan Facebook diminta menurunkan kandungan.
Statistik oleh TikTok untuk tahun 2023 menunjukkan kerajaan Malaysia paling banyak membuat permintaan menurunkan kandungan.
Kerajaan juga telah menyekat blog dan laman berita yang menyiarkan laporan yang tidak disenangi pemimpin kerajaan, termasuk MalaysiaNow, yang pernah disekat selama 48 jam pada Jun 2023.
Sekatan ke atas laman media yang mengkritik kerajaan menyaksikan Malaysia jatuh daripada tempat ke-73 kepada 107 dalam Indeks Kebebasan Media 2024.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.