Kes Yusoff Rawther: Cara polis akses kereta terus jadi fokus, hakim tolak permohonan pendakwaan tangguh bicara
Persoalan mengenai siapa dan bagaimana pintu Nissan Teana dibuka ketika serbuan masih menjadi tanda tanya pada hari ke-4 perbicaraan.
Terkini
Perbicaraan kes dadah dan senjata api melibatkan Muhammed Yusoff Rawther hari ini dimaklumkan mengenai kewujudan sindiket mencuri kenderaan serta taktik godaman yang membolehkan kunci asal dipintas, sehari selepas kereta milik bekas staf Anwar Ibrahim itu diteliti oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memahami bagaimana polis melakukan serbuan pada tahun lepas.
Walaupun dibantah pihak pendakwaan, hakim Muhammad Jamil Hussin akhirnya membenarkan sebuah keratan akhbar memetik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, dipetik ketika peguambela Rafique Rashid menyoal saksi pendakwaan hari ini.
"Saya ingin meletakkan kes ini adalah 'planted' menerusi cara pintunya telah dimainkan sistem frekuensinya. Kita ada keratan akhbar yang menyatakan begitu," kata Rafique menjelaskan sebab laporan itu dijadikan rujukan.
Rafique memberitahu mahkamah mengenai wujudnya taktik menyekat frekuensi alat kawalan jauh (remote control), yang boleh didapati secara meluas.
"Jammer (alat penyekat) itu boleh mengacau frekuensi mana-mana kereta dan ia boleh menyamar sebagai kunci dan 'bermain' dengan frekuensi sehingga kunci itu boleh dibuka," katanya.
Antara lain, laporan itu memetik Suhaily yang memaklumkan mengenai kehilangan lebih 10,000 kenderaan, di samping sindiket mencuri kenderaan menjumpai cara menggodam sistem "keyless" (tanpa kunci) kenderaan tanpa menggunakan kunci asal.

Rafique berkata isu bagaimana polis mendapatkan akses kereta Nissan Teana bernombor plat PMH 6391 milik Yusoff, dan siapa membuka pintunya, masih belum dimuktamadkan.
Sementara itu, saksi pendakwaan ketujuh, pegawai polis Chong Choon Khen, menafikan dia membuka kereta tersebut, sebagaimana kenyataan Yusoff kepada polis.
Chong, pegawai dari Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, merupakan orang yang membawa Yusoff ke bahagian pintu penumpang depan yang mana pintu itu berjaya dibuka secara manual.
Chong turut menggari Yusoff selepas polis membawa keluar beg mengandungi dua pucuk pistol tiruan dari bahagian penumpang depan kenderaan itu.
Rafique: Anggota lain cuba hendak buka pintu dua kali semasa alat kawalan jauh ditekan dan semasa kunci dimasukkan. Setuju?
Chong: Saya tak setuju.
Rafique: Selain daripada tertuduh cuba membuka pintu pemandu, tiga lagi pintu, dua di belakang dan satu di di bahagian penumpang (depan) cuba dibuka anggota polis tetapi gagal. Setuju?
Chong: Tidak setuju.
Menurut Chong, Yusoff tidak cuba melarikan diri, bergelut atau cuba menimbulkan kekerasan terhadap mana-mana anggota polis yang terlibat.
Permohonan pendakwaan tangguh kes ditolak
Dalam pada itu, hakim hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan kes ekoran penyata saksi yang belum disediakan oleh kedua-dua pegawai penyiasat.
Kes bersambung esok, 11 April.
Yusoff, 32, berdepan tuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api berdasarkan dakwaan polis bahawa ganja seberat 300.1g dan dua pucuk pistol tiruan ditemui dalam kenderaannya.
Beliau menafikan sekeras-kerasnya barangan tersebut miliknya, sebaliknya berkata dia merupakan mangsa "orang berkuasa" disebabkan aduannya mengenai serangan seks melibatkan Anwar.
Kes itu mendapat perhatian selepas timbul pelbagai tanda tanya mengenai cara Yusoff diserbu dan ditangkap sekumpulan anggota polis.
Tangkapan itu dibuat seminggu selepas Yusoff memfailkan senarai saksi dalam saman sivilnya terhadap Anwar.
Sebelum ini, keluarga Yusoff berkata polis meminta Yusoff membuka pintu keretanya tetapi ia tidak dapat dibuka menggunakan remote.
Yusoff dan keluarganya telah membuat dua laporan polis dengan menamakan beberapa individu terkenal yang perlu disiasat, termasuk Farhash Wafa Salvador, bekas setiausaha politik Anwar.
Polis masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai status laporan itu.
Yusoff pernah bertugas sebagai bekas pembantu penyelidik Anwar di sebuah pejabat banglo di Petaling Jaya pada 2018.
Tidak lama selepas itu, dia membuat laporan polis mendakwa presiden PKR itu secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang menyaksikan Anwar kembali ke Dewan Rakyat empat tahun selepas disabitkan kesalahan liwat.
Pada Julai 2021, Yusoff memfailkan saman sivil terhadap Anwar, di mana perbicaraan akan bermula pada 16 Jun ini.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.