Peguam kecam 'kontroversi buatan' sasar pengkritik kerajaan selepas Ratu Naga ditangkap atas tuduhan hasutan
Tangkapan itu dilakukan meskipun personaliti media sosial itu segera menurunkan video tersebut dan memohon maaf atas kesilapannya.
Terkini
Personaliti media sosial terkenal Ratu Naga hari ini ditahan di bawah Akta Hasutan berhubung sebuah klip video yang menunjukkan sekumpulan pelajar menyanyikan lagu negeri Perak, tindakan terkini pihak berkuasa menyasarkan pempengaruh yang mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ratu Naga, atau Syarul Ema Abu Samah, ditangkap di Petaling Jaya oleh sepasukan pegawai polis dari Perak.
Selain Akta Hasutan, tangkapan turut dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, kedua-duanya undang-undang yang pernah ditentang pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang berjanji untuk memansuhkannya sekiranya berkuasa.
Ratu, yang kerap memuat naik pelbagai komen lawak menyasarkan Anwar dan pemimpin kerajaan lain, sudah pun memohon maaf atas klip tersebut yang memberi gambaran seolah-olah sekumpulan pelajar di Perak menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Cina, sedangkan mereka menyanyikan lagu negeri Perak.
Beliau menurunkan klip tersebut 10 minit selepas ia dinaikkan, kata peguamnya Zaid Malek.
"Tetapi video itu telah dimuat naik semula oleh pihak lain, jelas sekali dengan tujuan khusus untuk menyebarkannya secara meluas. Dalam erti kata lain, ia adalah kontroversi yang direka-reka, di mana pemimpin kerajaan dan ahli Parlimen turut mengeluarkan kenyataan dan kutukan sehinggalah berlaku tangkapan ini," kata Zaid.
Menurut Zaid, ia bukan kali pertama "kontroversi buatan" digunakan bagi mewajarkan tindakan terhadap pengkritik kerajaan, sambil menambah ramai pemimpin kerajaan hari ini dan aktivis pernah menjadi mangsa taktik yang sama.
Zaid berkata Ratu tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.
"Oleh itu, penahanan itu menyalahi undang-undang dan adalah tindakan keterlaluan. Membuat kenyataan yang tidak tepat malah palsu bukanlah satu kesalahan jenayah di bawah peruntukan perlembagaan. Demokrasi tidak menghukum komen yang tidak tepat atau palsu; hanya pemerintahan diktator yang berbuat demikian," katanya.

Ratu ditahan selang beberapa hari selepas beliau dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung isu video tersebut, di samping tiga lagi hantaran yang mengkritik kerajaan.
Zaid sekali lagi menyelar pemimpin PH kerana menggunakan undang-undang yang pernah digunakan terhadap mereka ketika menjadi pembangkang.
"PH perlu sedar, undang-undang sama digunakan dengan cara yang sama terhadap pemimpin, ahli parti dan aktivis mereka sendiri semasa menjadi pembangkang. Penggunaan berterusan undang-undang ini dan siasatan polis yang tidak berasas terhadap pengkritik kerajaan mengancam hak dan kebebasan semua rakyat Malaysia," tambahnya.
Sejak mengambil alih kerajaan pada 2022, pentadbiran Anwar kerap mengambil tindakan terhadap pengguna media sosial yang mengkritik kerajaan campurannya, di mana platform seperti X, YouTube dan Facebook diminta menurunkan kandungan.
Statistik oleh TikTok untuk tahun 2023 menunjukkan kerajaan Malaysia paling banyak membuat permintaan menurunkan kandungan.
Kerajaan juga telah menyekat blog dan laman berita yang menyiarkan laporan yang tidak disenangi pemimpin kerajaan, termasuk MalaysiaNow, yang pernah disekat selama 48 jam pada Jun 2023.
Sekatan ke atas laman media yang mengkritik kerajaan menyaksikan Malaysia jatuh daripada tempat ke-73 kepada 107 dalam Indeks Kebebasan Media 2024.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.