- Iklan -
Berita

Saksi polis setuju ada kemungkinan kereta Yusoff Rawther digodam sebelum serbuan

Bicara kes membabitkan bekas staf Anwar Ibrahim hari ini tertumpu kepada elemen perangkap di mana nama dua orang kuat perdana menteri turut disebut.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Yusoff Rawther ketika sesi memeriksa kereta Nissan Teana miliknya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Yusoff Rawther ketika sesi memeriksa kereta Nissan Teana miliknya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Seorang pegawai polis hari ini bersetuju ada kemungkinan kereta milik Muhammed Yusoff Rawther digodam atas arahan pihak berpengaruh untuk meletakkan pistol dan dadah, diikuti dengan polis menerima panggilan daripada pihak tidak diketahui sebelum serbuan dilakukan pada pagi 6 September lalu.

Saksi pendakwaan Aiman Suhaimi, seorang inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah Brickfields diajukan soalan tersebut oleh peguambela Rafique Rashid pada hari kelima perbicaraan dadah dan senjata api melibatkan pemuda yang pernah bertugas di pejabat Anwar Ibrahim itu. 

"Saya menyatakan bahawa ada orang, atas arahan orang yang terkait dengan Anwar atau Farhash, yang telah meletakkan pistol dan beri info kepada pihak polis kerana mereka nak pastikan si tertuduh (Yusoff) dalam tahanan polis dan dijatuhkan kredibilitinya sebab ada saman terhadap Anwar?" soal Rafique, merujuk kepada bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador.

- Iklan -

"Tak pasti," jawab Aiman.

Rafique kemudian mengulangi soalannya, "Akses (memasuki kereta Yusoff) merupakan isu, tak ada CCTV di waktu malam, ada orang (bertindak) atas arahan, sama ada Anwar atau Farhash atau pihak mereka  jamkan kereta, letakkan pistol, tutup pintu, maklumkan polis supaya kredibiliti dia jatuh (apabila) lawan Anwar?"

"Setuju," jawab Aiman.

Farhash Wafa Salvador dan Tunku Nashrul Tunku Abaidah.
Farhash Wafa Salvador dan Tunku Nashrul Tunku Abaidah.

Peranan Farhash dan seorang lagi orang kuat Anwar, setiausaha akhbarnya Tunku Nashrul Tunku Abaidah, disentuh apabila mahkamah menumpukan perhatian kepada elemen perangkap seperti mana didakwa Yusoff.

Sebelum ini, perhatian tertumpu kepada bagaimana pintu kereta Yusoff dibuka dengan kunci manual seperti didakwa polis, sedangkan pintu tersebut didapati tidak ada lubang kunci.

Aiman bagaimanapun berkata kedua-dua Farhash dan Nashrul tidak ada kaitan dengan kes tersebut.

Ketika disoal mengenai laporan polis oleh Yusoff mengenai ugutan oleh Farhash terhadapnya, Aiman berkata ia tidak relevan memandangkan ia berlaku agak lama sebelum tarikh serbuan.

- Iklan -

"Sepanjang siasatan tiada kes dan insiden terbaru berlaku terhadap Yusoff yang berkait ancaman atau ugutan. Kesimpulan saya penama-penama tersebut tidak berkaitan dengan kes yang disiasat," katanya semasa disoal timbalan pendakwaraya Mohd Sabri Othman.

Sabri: Ada laporan polis tahun 2019 terhadap Farhash Wafa Salvador. Dari siasatan pegawai, ada lagi laporan polis yang terkini berkaitan dengan ugutan atau apa-apa jenayah yang dilakukan Farhash ke ats Yusoff Rawther?

Aiman: Tiada.

Sabri: Pernah tak Yusoff Rawther maklumkan yang ada penghakiman melibatkan Yusoff Rawther dan Tunku Nashrul kepada Inspektor Aiman?

Aiman: Ada dimaklumkan, tapi saya tidak pasti berkenaan penama Tunku Nashrul.

Yusoff, 32, berdepan tuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan  Seksyen 36 Akta Senjata Api berdasarkan dakwaan polis bahawa ganja seberat 300.1g dan dua pucuk pistol tiruan ditemui dalam kenderaannya.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya barangan tersebut miliknya, sebaliknya berkata dia merupakan mangsa "orang berkuasa" disebabkan aduannya mengenai serangan seks melibatkan Anwar.

Yusoff pernah bertugas sebagai bekas pembantu penyelidik Anwar di sebuah pejabat banglo di Petaling Jaya pada 2018. Pada Julai 2021, Yusoff memfailkan saman sivil terhadap Anwar, mendakwa diserang secara seksual. Anwar menafikan tuduhan tersebut, dan tarikah perbicaraan telah ditetapkan pada 16 Jun ini.

- Iklan -
Peguam Rafique Rashid (kiri) berkata sesuatu kepada Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari (kanan) sambil disaksikan Ebrahim Rawther, adik kepada Yusoff Rawther.
Peguam Rafique Rashid (kiri) berkata sesuatu kepada Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari (kanan) sambil disaksikan Ebrahim Rawther, adik kepada Yusoff Rawther.

Selain Anwar, Yusoff turut menyaman Farhash atas dakwaan diserang secara fizikal, serta Nashrul atas kenyataannya menafikan beliau diserang Farhash. Pada Oktober 2022, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan Nashrul membayar ganti rugi RM200,000 kepada Yusoff.

Tuduhan pemilikan dadah dan senjata api terhadap Yusoff mendapat perhatian selepas timbul pelbagai tanda tanya mengenai polis melakukan serbuan dan tangkapan pada pagi 6 September tahun lalu, iaitu seminggu selepas Yusoff memfailkan senarai saksi dalam saman sivilnya terhadap Anwar.

Sementara itu, Aiman mendakwa tidak pernah menerima dokumen seperti akuan bersumpah Yusoff melibatkan saman sivilnya terhadap Anwar serta dokumen lain melibatkan saman terhadap Farhash dan Nashrul.

Menurutnya, siasatan tidak dijalankan terhadap dokumen tersebut kerana tiada kaitan dengan kes pemilikan senjata.

Yusoff namakan Farhash 

Menjelaskan lebih lanjut di luar mahkamah, Rafique berkata rakaman percakapan dan laporan polis oleh Yusoff setelah ditangkap telah menamakan Anwar dan Farhash sebagai antara yang terlibat dalam memerangkapnya.

"Berdasarkan senarai saksi dalam kes ganti rugi dan tuntutan berkait dakwaan serangan seksual, Yusoff menyatakan bahawa oleh kerana dia ingin mengambil tindakan ini, dia menjadi mangsa perangkap.

"Berdasarkan senarai saksi plaintif, Yusoff telah menunjukkan niatnya untuk meneruskan kes.

- Iklan -

"Dalam jangka masa lapan ke 10 hari, dia memfailkan niat, tiba-tiba dia ditahan yang mana pistol dan kemudiannya dadah," katanya.

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin (kiri) bersama Ahli Parlimen Perikatan Nasional lain, Khlir Mohd Nor (Ketereh) dan Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) turut hadir perbicaraan kes Yusoff Rawther di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin (kiri) bersama Ahli Parlimen Perikatan Nasional lain, Khlir Mohd Nor (Ketereh) dan Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) turut hadir perbicaraan kes Yusoff Rawther di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu, perbicaraan hari ini menyaksikan kehadiran Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, yang juga ketua penerangan PAS. 

Yusoff, yang merupakan cucu kepada aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang Allahyarham SM Mohamed Idris, bertegas beliau menjadi mangsa "orang berkuasa" disebabkan aduannya mengenai serangan seks melibatkan Anwar.

Selepas ditangkap, Yusoff dan keluarganya membuat dua laporan polis dengan menamakan beberapa individu terkenal yang perlu disiasat, termasuk Farhash. Polis masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai status laporan itu.

Perbicaraan disambung pada 28 April.