Putrajaya dikecam bela 'kelompok mahakaya terpilih' selepas tutup Menara KL di sebalik kes mahkamah
Peguam selar tindakan lewat malam pelbagai agensi kerajaan, sambil berjata ia bertujuan membantu syarikat lain mengambil alih operasi mercu tanda itu.
Terkini
Campur tangan Putrajaya lewat malam tadi dalam pertikaian konsesi operasi Menara Kuala Lumpur melibatkan dua syarikat, di mana mercu tanda ikonik itu ditutup kepada semua pelawat, mendapat kecaman Perikatan Nasional, yang mempersoalkan sama ada ia merupakan trend baru kerajaan menggunakan kuasanya bagi membantu "kelompok mahakaya terpilih".

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, jurucakap portfolio PN memantau Kementerian Komunikasi yang bertanggungjawab ke atas Menara Kuala Lumpur, turut menolak alasan kerajaan bahawa penutupan itu bagi "melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan".
"Bagi saya alasan yang diberikan adalah satu lagi penipuan oleh kerajaan ini.
"Saya melihat penutupan ini sebagai satu kekerasan oleh kerajaan untuk menghalau secara paksa syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) yang diketuai oleh Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh," katanya dalam satu kenyataan.
Hamid merupakan pengarah urusan Hydroshoppe Sdn Bhd, syarikat induk MKLSB, yang kini dalam proses mencabar keputusan kerajaan menganugerahkan konsesi 20 tahun mengendalikan menara itu kepada LSH Service Master (LSHSM), sebuah anak syarikat Lim Seong Hai Capital Bhd, firma yang dimiliki taikun Lim Keng Cheng.
MKLSB dan Hydroshoppe telah memfailkan tuntutan terhadap kerajaan Malaysia dan LSH Capital, dengan mendakwa ia masih pemegang konsensi pengurusan yang sah sambil berkata Kementerian Komunikasi pada 2022 telah bersetuju melanjutkan konsesi tersebut sehingga 2039.
Semalam, beberapa wakil LSH Capital dilihat turut kelihatan ketika polis dan pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) melakukan operasi menyita Menara Kuala Lumpur untuk menghalang staf MKLSB.

Sebuah klip video menunjukkan Hamid yang hadir semasa operasi di luar menara itu diberitahu seorang pegawai bahawa beliau dilarang memasuki kawasan bangunan itu disebabkan ia telah diambil alih oleh kerajaan.
Pegawai tersebut juga dilihat memberitahu Hamid bahawa staf LSH Capital turut dilarang memasuki bangunan.
Bercakap kepada Malaysianow, Hamid berkata salah seorang kakitangannya menerima ugutan seorang pegawai, yang memaksanya memadam rakaman video menunjukkan salah seorang pekerja LSH Capital memasuki kawasan itu.
Menurut notis dikeluarkan Kementerian Komunikasi, menara tersebut ditutup kepada orang ramai bagi melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan.
'Perbuatan ala samseng'
Dalam satu kenyataan, peguam mewakili MKLSB menyifatkan kenyataan kementerian sebagai "notis bohong".
"Perbuatan ala samseng yang dilakukan oleh Kementerian Komunikasi, PTP, PDRM dan DBKL untuk menyokong syarikat LSHSM dalam mengambil alih konsesi yang dalam pertikaian mahkamah merupakan satu pencabulan terang-terangan terhadap sistem keadilan negara," menurut firma peguam mewakili MKLSB.

"Semasa operasi rampasan paksa dijalankan oleh penguatkuasa kerajaan, kakitangan syarikat LSHSM turut terlibat dalam operasi penutupan Menara KL. Beberapa kakitangan LSHSM bersama-sama penguatkuasa kerajaan memasuki premis Menara KL, walaupun sebelum itu pihak penguasa sudah memberitahu tiada kakitangan LSHSM terlibat dalam operasi ini.
"Ini jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa kerajaan untuk kepentingan individu berkepentingan," katanya.
Hamid mempersoalkan alasan kementerian untuk menyita menara itu, sambil berkata pegawai penguatkuasa memberitahunya bahawa mereka sedang melaksanakan notis pengusiran yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Persekutuan Tanah pada minggu lalu.
Hamid juga menafikan dakwaan bahawa syarikatnya menunjukkan prestasi lemah dalam menguruskan Menara Kuala Lumpur.
"Kami memang ada dokumen prestasi MKLSB ialah 100%. Nak buat tender, sudah tentu kita akan minta mana-mana kementerian tentang performance. Memang kami ada dokumen mengatakan (prestasi) kami 100%," tambahnya.
Pelancong kecewa
Sejak pembukaannya pada 1996, ini merupakan kali kedua Menara Kuala Lumpur telah ditutup kepada pelawat, selepas kali pertama ketika pandemik Covid-19.
Hamid berkata menara tersebut menerima antara 1,000 dan 1,500 pelawat setiap hari, di mana 90% merupakan pelancong asing.
Pagi ini, ramai pelancong yang tiba di luar kompleks Menara Kuala Lumpur kecewa selepas mengetahui mereka tidak dibenarkan masuk.
Seorang pelancong dari Sepanyol yang tiba bersama keluarganya berkata mereka membuat perancangan menghabiskan seharian di Menara Kuala Lumpur.
"Kami baru dapat tahu mengenainya (penutupan) hari ini," kata lelaki itu, sambil menambah bahawa dia tidak dapat mengubah jadual perjalanannya. "Mungkin kami akan datang lagi dalam lawatan lain," katanya sebelum meninggalkan kawasan itu.

Perkembangan itu tiga hari selepas ribuan menghadiri sambutan rumah terbuka Hari Raya di menara itu, yang turut menyaksikan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, orang yang bertanggungjawab dengan projek pembinaan struktur itu, mengeluarkan pelbagai barangan simbolik kepada gagasan Wawasan 2020 beliau dari sebuah kapsul masa yang tersimpan di menara itu sejak perasmiannya pada 1996.
Wan Saiful berkata ia bukan kali pertama kerajaan bertindak "mengusir kelompok tertentu bagi memberi ruang kepada kelompok lain".
"Sebelum ini, seluruh negara heboh dengan pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru untuk membolehkan satu lagi kontraktor pembinaan KL City Gateway (KLCG) Sdn Bhd (nama sebelum ini Ritzy Gloss Sdn Bhd) mengambil alih kawasan itu. KLCG adalah anak syarikat Suez Capital yang diketuai oleh Datuk Ter Leong Hing.
"Adakah Malaysia sedang menyaksikan satu 'trend' baru kerakusan kerajaan mempergunakan kuasa dan agensi untuk manfaat kelompok mahakaya terpilih?" soalnya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.