- Iklan -
Berita

Diusir dari Menara KL, Hydroshoppe kini tanggung liabiliti lebih RM300 juta

Syarikat yang sedang mencabar keputusan kerajaan menamatkan konsesinya berkata kerajaan dan operator baru masih belum menyelesaikan pembayaran kerugian.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Urusan Hydroshoppe Sdn Bhd Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh dalam sidang media sehari selepas diusir dari Menara Kuala Lumpur.
Pengarah Urusan Hydroshoppe Sdn Bhd Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh dalam sidang media sehari selepas diusir dari Menara Kuala Lumpur.

Pengendali Menara Kuala Lumpur yang baru-baru ini diusir secara paksa oleh Putrajaya bagi memberi ruang kepada anak syarikat Lim Seong Hai Capital Bhd menguruskan mercu tanda itu menanggung kerugian lebih RM300 juta dalam bentuk liabiliti yang diperoleh selepas mengambil alih saham Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB).

Hydroshoppe Sdn Bhd turut menafikan dakwaan ia memperolehi pegangan saham MKLSB pada harga murah.

"Selain membeli saham bernilai RM3.7 juta, MKLSB turut menanggung semua aset dan liabiliti bernilai lebih RM12 juta serta liabiliti luar jangka timbang tara berjumlah RM314 juta," kata pengarah urusannya Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, sehari selepas syarikat beliau yang menguruskan Menara Kuala Lumpur selama ini diusir oleh agensi penguatkuasa.

- Iklan -

Menurut Hamid, kerajaan dan LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), anak syarikat Lim Seong Hai Capital Bhd, masih belum menyelesaikan pembayaran bagi semua kerugian dan liabiliti luar jangka termasuk timbang tara RM314 juta.

Menara Kuala Lumpur, salah satu mercu tanda yang menjadi tumpuan ribuan pelancong sejak ia dibuka pada 1996.
Menara Kuala Lumpur, salah satu mercu tanda yang menjadi tumpuan ribuan pelancong sejak ia dibuka pada 1996.

Hamid berkata pihaknya mengambil risiko menanggung liabiliti tersebut setelah kerajaan memberikan kelulusan konsesi selama 15 tahun, yang mana pihaknya yakin dapat menguruskan liabiliti tersebut.

MKLSB dan Hydroshoppe telah memfailkan tuntutan terhadap kerajaan Malaysia dan LSHSM, dengan mendakwa ia masih pemegang konsensi pengurusan yang sah disebabkan Kementerian Komunikasi pada 2022 telah bersetuju melanjutkan konsesi tersebut sehingga 2039.

LSHSM, firma yang dimiliki taikun Lim Keng Cheng, mendapat konsesi 20 tahun mengendalikan menara ikonik itu.

Hydroshoppe dipilih sebagai pemenang konsesi menguruskan Menara Kuala Lumpur oleh jawatankuasa di bawah Kementerian Komunikasi menerusi "request for proposal" selepas mengatasi empat syarikat lain.

"Kami juga bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan berdasarkan laporan VM Lab serta mengekalkan semua kakitangan sedia ada untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun. Berdasarkan komitmen ini, konsesi diberikan untuk tempoh 30 tahun," tambah Hamid.

Pada tengah malam 16 April, polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Pejabat Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan sekumpulan staf LSHSM tiba di perkarangan Menara Kuala Lumpur untuk mengusir Hydroshoppe, disusuli dengan penutupan menara itu kepada semua pengunjung.

- Iklan -

Tindakan itu dibidas peguam Hydroshoppe yang menyifatkannya "ala samseng" di samping melanggar sistem perundangan negara, manakala mendapat kritikan kerana mengecewakan ribuan pelancong asing yang berkunjung ke Menara Kuala Lumpur setiap hari.

Hamid mempersoalkan alasan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bahawa penutupan itu dibuat bagi tujuan penyelenggaraan.

"Sebaliknya, ia merupakan penyitaan dan pengusiran paksa," katanya.

Hamid mengulangi pendiriannya kedudukan sedia ada dalam pengurusan menara itu tidak harus diubah sehingga selesai kes samannya terhadap kerajaan yang akan dibicarakan pada 9 Jun.

"Di pihak kami, kami akan teruskan perjuangan di mahkamah," tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.