- Iklan -
Berita

Ini realiti PKR, kata bekas pemimpin selepas kamera tersembunyi dedah politik wang di Batu

Tian Chua berkata pelaku dalam video tidak akan dikenakan tindakan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dan Ketua Srikandi PKR Batu Fatin Izzaty menafikan dakwaan terlibat dalam sogokan membeli undi untuk pemilihan Cabang PKR Batu pada 19 April.
Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dan Ketua Srikandi PKR Batu Fatin Izzaty menafikan dakwaan terlibat dalam sogokan membeli undi untuk pemilihan Cabang PKR Batu pada 19 April.

Dua bekas pemimpin PKR di Batu, Kuala Lumpur tampil mengkritik budaya politik wang dalam parti itu susulan pendedahan sebuah klip video yang dipercayai dirakamkan dengan kamera tersembunyi yang menunjukkan ahli parti diberi sogokan untuk memilih Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dalam pemilihan cabang Batu baru-baru ini.

Tian Chua, bekas naib presiden PKR yang juga merupakan antara pelopor gerakan reformasi didalangi Anwar Ibrahim, berkata rasuah dan sogokan bukan perkara baharu dalam parti itu.

Tian Chua, yang juga bekas ahli Parlimen Batu, berkata pembelian undi telah menyebabkan kekalahannya ketika bertanding untuk jawatan ketua cabang Batu pada 2022.

- Iklan -

"Ketika itu, aduan telah dibuat tetapi tiada tindakan dari kepimpinan parti," jelasnya.

Pada pemilihan 2022, Tian Chua kalah kepada Prabakaran.

Ia susulan penularan klip video yang menunjukkan bagaimana sogokan dan rasuah menjadi sebahagian kempen pemilihan PKR di Batu membabitkan kem Prabakaran dan ketua srikandi cabang tersebut, Fatin Izzaty Muhammad.

Ketua Srikandi PKR Batu Fatin Izzaty berkata video menampilkan beliau menunjukkan sumbangan diberikan kepada anak muda pada bulan Ramadan.
Ketua Srikandi PKR Batu Fatin Izzaty berkata video menampilkan beliau menunjukkan sumbangan diberikan kepada anak muda pada bulan Ramadan.

Dalam video tersebut, Fatin, yang juga bekas ketua Puteri Umno Kepong, dilihat memberi wang dan meminta ahli parti memilih Prabakaran dan calon-calon lain dalam kem beliau, termasuk dirinya, untuk pemilihan PKR Batu pada 19 April.

Fatin juga berkata wang RM100 akan dibayar sebelum mengundi dan RM100 semasa mengundi.  

"Kalau kita menang ada jackpot, jangan risau," katanya dalam video itu, sambil menambah Prabakaran akan memberi token semasa majlis berbuka puasa.

Prabakaran dan Fatin telah menafikan pembabitan dalam rasuah.

- Iklan -

Sebaliknya, Fatin mendakwa memberi sumbangan wang kepada anak muda yang sering dibantunya, dan menganggap video itu bertujuan untuk memburukkannya.

"Sebenarnya itu budak-budak di kawasan saya yang selalu saya bantu, bagi duit minyak, bagi duit tambah nilai telefon. Saya memang selalu bantu mereka," katanya dipetik Malaysiakini.

Fatin juga dilaporkaqn enggan mengulas apabila ditanya mengenai janji "jackpot" (durian runtuh).

Tian Chua berkata beliau tidak menjangkakan pelaku dalam video itu akan dikenakan tindakan.

"Inilah realiti sedih PKR hari ini.  Saya kesian kepada rakan-rakan yang bertanding dalam pemilihan parti ini dan masih bermimpi bahawa mereka boleh ambil bahagian secara bersih dan jujur," katanya.

Sementara itu, bekas naib ketua PKR Batu Rozan Azen Mat Rasip, telah memfailkan aduan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR telah berkenaan video itu.

"Diharapkan aduan kepada JPP mendapat perhatian serius dan dilakukan tindakan perundangan yang sepatutnya bagi menjaga imej PKR, dan keberlangsungan proses pemilihan terutamanya ahli PKR cabang Baru, selain menghukum para pengamal budaya jijik rasuah politik wang," katanya yang turut mengumumkan pelancaran "Kempen Banteras Rasuah/Politik Wang Dalam Pemilihan Keadilan Cabang Batu".

Rozan mendakwa menerima satu lagi bukti baru politik wang dalam pemilihan PKR selepas mengumumkan kempen tersebut.

Beliau turut menggesa ahli PKR Batu tampil dengan bukti jika ditawarkan sogokan untuk mengundi pihak-pihak tertentu yang bertanding dalam pemilihan.