- Iklan -
Berita

Bekas pengendali Menara KL bimbang perbuatan khianat selepas aset syarikat dirosakkan

Ia menyusul dua hari selepas keputusan kerajaan menutup mercu tanda itu bagi membenarkan pemegang konsesi mengambil alih pengurusan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Serpihan kaca bertaburan di atas lantai di dalam kompleks Menara Kuala Lumpur selepas diambil alih kerajaan pada tengah malam 16 April.
Serpihan kaca bertaburan di atas lantai di dalam kompleks Menara Kuala Lumpur selepas diambil alih kerajaan pada tengah malam 16 April.

Bekas pengendali Menara Kuala Lumpur mengecam kerosakan dan kemusnahan barangannya berikutan tindakan mengusirnya beberapa hari lalu, dan menggesa polis menyiasat sebarang tindakan khianat yang melibatkan LSH Service Master (LSHSM), syarikat yang dianugerahkan konsesi selama 20 tahun oleh kerajaan untuk menguruskan menara itu.

Hydroshoppe Sdn Bhd dan anak syarikatnya Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), yang kini dalam pertikaian undang-undang berhubung penamatan konsesinya mengendalikan menara itu, menggesa pihak polis menjalankan siasatan telus dan mengambil tindakan tegas.

"Tindakan memusnahkan atau dengan sengaja merosakkan harta milik MKLSB
adalah suatu perbuatan yang tidak beretika dan mencerminkan tingkah laku tidak profesional yang sama sekali tidak wajar ditunjukkan oleh mana-mana pihak," kata Pengarah Urusan Hydroshoppe Sdn Bhd, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, dalam satu kenyataan.

- Iklan -

Ia berlaku dua hari selepas beberapa agensi kerajaan dan penguatkuasaan seperti polis, Kementerian Komunikasi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan menyita menara pada lewat Rabu dan menghalang Hamid daripada memasuki kawasan itu.

Susulan tindakan itu yang dikecam peguam Hydroshoppe sebagai "perbuatan ala samseng" dan salah guna kuasa oleh kerajaan, Kementerian Komunikasi mengumumkan menara itu akan ditutup kepada semua pengunjung.

Menara Kuala Lumpur, salah satu mercu tanda yang menjadi tumpuan ribuan pelancong sejak ia dibuka pada 1996.
Menara Kuala Lumpur, salah satu mercu tanda yang menjadi tumpuan ribuan pelancong sejak ia dibuka pada 1996.

Menara Kuala Lumpur, struktur ketujuh tertinggi di dunia yang sering dikaitkan dengan pembangunan pesat Malaysia di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, menerima antara 1,000 dan 1,500 pengunjung setiap hari, sebahagian besarnya pelancong asing.

Dalam laporan polis difailkan malam tadi, Hamid berkata beliau mendapati pejabatnya dicerobohi manakala serpihan kaca dari rak bertaburan di atas lantai, ketika hadir di dalam kompleks menara itu tengah hari semalam untuk membawa pulang barangan peribadinya.

Pengarah Urusan Hydroshoppe Sdn Bhd, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh.
Pengarah Urusan Hydroshoppe Sdn Bhd, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh.

"Kali terakhir saya melihat rak tersebut berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan adalah pada 16 April 2025, iaitu semasa saya bertugas seperti biasa sebelum pengusiran dan rampasan paksa Menara KL tersebut," kata Hamid.

Beliau menuduh LSHSM terlibat dalam jenayah sambil berkata ada percubaan menyalahkan Hydroshoppe.

"Itulah sebabnya LSHSM telah memadam semua rakaman CCTV yang akan menunjukkan perbuatan jenayah mereka," katanya.

- Iklan -

MalaysiaNow cuba menghubungi LSHSM dan syarikat induknya Lim Seong Hai Capital untuk mendapatkan reaksi.

Sementara itu, Hamid berkata beberapa pekerjanya pernah menerima ugutan akan dicederakan kerana menolak tawaran kerja LSHSM.

LSHSM sebelum ini dilaporkan bersetuju untuk menyerap lebih daripada 200 pekerja menara itu atas dasar "no less favourable".

Hamid sebelum ini mendakwa syarikat itu tidak menunaikan janjinya, sambil menambah beberapa pekerja telah didiskriminasi.

Ia dinafikan LSHSM dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Semalam, Hamid berkata susulan keputusan kerajaan menamatkan konsesi  Hydroshoppe, syarikat itu menanggung kerugian lebih RM300 juta dalam bentuk liabiliti yang ditanggung selepas mengambil alih saham dalam MKLSB.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.