Kongsi video DBKL serang penjual belon, Ratu Naga disiasat polis 'halang penjawat awam'
Ia kurang dua minggu selepas personaliti media sosial itu ditahan atas tuduhan hasutan.
Terkini
Polis telah memanggil personaliti media sosial popular Ratu Naga berhubung video dimuat naik olehnya menunjukkan sekumpulan pegawai penguatkuasa mengasari seorang penjual belon, yang mencetuskan kemarahan awam beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya akhir bulan lalu.
Bagaimanapun, Ratu Naga, yang nama sebenarnya Syarul Ema Abu Samah, terkilan apabila diberitahu seorang pegawai polis bahawa siasatan dilakukan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu berkait kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Polis mendakwa Ratu Naga merakam video insiden yang berlaku di Jalan Tuanku Abdul Rahman bulan lalu.
Pada malam 28 Mac, penjual belon Muhammad Zaimuddin Azlan didatangi sekumpulan pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum mengasarinya di tengah-tengah kesibukan jualan Hari Raya.
Insiden tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai, di mana pengguna media sosial membandingkannya dengan sebuah peristiwa di Tunisia lebih sedekad lalu, apabila penjual buah Mohamed Bouazizi membakar dirinya selepas gerainya dirampas pihak berkuasa, tindakan yang mencetuskan kebangkitan rakyat di Tunisia seterusnya di beberapa negara Arab lain.
Luahan simpati awam turut menyaksikan kerabat diraja Pahang diwakili Tengku Muhammad Iskandar, putera kedua Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, menziarahi Zaimuddin yang sedang dirawat di hospital akibat kecederaannya.
Pada 6 April, Zaimuddin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, sambil memberitahu dia terpaksa memakai bengkung selama tiga bulan akibat kecederaan dialaminya.
Dalam satu sidang media, seorang pegawai perubatan swasta berkata sekiranya tidak dirawat dengan betul, kecederaan dialami pemuda berusia 28 tahun itu berpotensi menyebabkan kelumpuhan.
Zaimuddin turut mempersoalkan pelbagai serangan ke atasnya termasuk dakwaan mempunyai kes jenayah, seperti mana disebarkan laporan media dan hantaran media sosial oleh laskar siber pro-kerajaan.

Sementara itu, Ratu Naga memberitahu MalaysiaNow beliau diminta hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi esok pada jam 10 pagi.
Siasatan terbaharu terhadapnya berlaku kurang dua minggu selepas beliau ditangkap di bawah Akta Hasutan berhubung klip video yang menunjukkan sekumpulan pelajar menyanyikan lagu negeri Perak.
Tangkapan itu dibuat walaupun Ratu Naga, yang kerap memuat naik pelbagai komen lawak menyasarkan Anwar Ibrahim dan pemimpin kerajaan lain, segera menurunkan klip tersebut dan menyiarkan permohonan maaf sekiranya klip tersebut memberi gambaran seolah-olah kumpulan pelajar itu menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Cina, sedangkan mereka menyanyikan lagu negeri Perak.
Penahanannya dikecam peguam hak asasi Zaid Malek, yang menganggap ia contoh bagaimana "kontroversi buatan" digunakan bagi mewajarkan tindakan terhadap pengkritik kerajaan.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Artikel Berkaitan
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.