Mahathir: Tarif Trump akan makan diri, AS perlukan China, bukan sebaliknya
Dr Mahathir Mohamad juga berkata Malaysia boleh mengikuti langkah China untuk tidak membeli pesawat Boeing buatan AS.
Terkini
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Amerika Syarikat lebih bergantung kepada China untuk barangan import, yang mana langkah Presiden Donald Trump meningkatkan tarif ke atas barangan dari negara itu akan merugikan AS sendiri.
Mahathir berkata AS tidak mempunyai alternatif lain untuk mengimport barangan yang diperlukan oleh rakyat mereka.
"AS tak ada tempat nak import. Dari tempat lain pun tak boleh dan dia tak ada produk tempatan. AS bergantung kepada China tetapi China tidak bergantung kepada AS," katanya dalam edisi terkini Podcast Dr M.
Mahathir berkata walaupun China dijangka terjejas akibat tarif tersebut memandangkan AS ialah pasaran terbesar, namun ia mampu pulih daripada perang dagang ketika ini.
Selepas pemilihan semula Trump, tarif asas baru ditetapkan sebanyak 10% ke atas semua import dari China, sebagai tambahan kepada tarif sedia ada pada kadar 20% secara purata.
Trump turut mengumumkan tarif timbal balas kepada 180 negara dan wilayah termasuk Malaysia.
Bagaimanapun, beliau mengumumkan penangguhan selama 90 hari kepada lebih 70 negara.
Namun perang tarif memuncak apabila tarif sebanyak 145% dikenakan terhadap China, manakala China pula membalas dengan tarif sehingga 125%.
Pasaran AS membentuk kira-kira 15% daripada eksport China.
Mahathir berkata, tidak seperti AS, China mempunyai alternatif untuk mendapatkan produk selain AS.
"China mahu membeli kapal terbang yang bernilai lebih AS$100 juta sebuah. Dan mereka mahu beli berpuluh-puluh kapal terbang. Apabila China mengenakan tarif, harga kapal terbang melambung naik.
"China buat apa? Mereka import dari Perancis. Ia boleh ambil kapal terbang Airbus yang lebih kurang sama (dengan Boeing)," katanya.
China sebelum ini dilaporkan mengarahkan syarikat penerbangan untuk tidak menerima pesawat Boeing sebagai respons kepada perang dagang itu.
Ia memaksa syarikat pengeluar kapal terbang AS itu menerbangkan semula pesawat-pesawatnya kembali ke AS.
Ujar Mahathir, jika Malaysia melakukan perkara sama, syarikat dari AS itu bakal berdepan dengan masalah yang teruk.
"Kita mahu membeli 30 buah kapal terbang 737 daripada Boeing. Kalau kita postpone, pause, tak beli atau tukar order kepada Airbus, teruk Amerika," katanya, merujuk keputusan kerajaan membeli sejumlah pesawat Boeing seperti diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bernama semalam melaporkan Malaysia Aviation Group (MAG) mahu mempercepatkan perolehan kapal terbang Boeing selepas berlaku pengosongan slot susulan tindakan China.
Mahathir dalam pada itu turut mempertikaikan tempoh penangguhan tarif yang diumum Trump.
"Berapa lama hendak tangguh? Sampai ada pengeluaran domestik menggantikan import. Ia memakan masa tiga ke empat tahun.
"Sementara itu, hendak buat apa? Mereka tiada barangan. Mereka kena import. Jadi penangguhan itu mungkin berpanjangan," katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.