Semakin ramai keluarga raikan gaya hidup sihat kesan boikot makanan segera Barat
Selain mengubah pemakanan, ia juga menjimatkan perbelanjaan makanan luar bagi mereka yang menyokong gerakan memulau jenama yang dituduh terpalit dengan bantuan AS kepada Israel.
Terkini
Seperti ramai yang lain di negara ini, Walid Muhammad berhenti menjadi pelanggan makanan segera dari rangkaian popular seperti McDonald's, KFC dan Starbucks pada November 2023, selepas operasi ketenteraan besar-besaran Israel di Gaza mencetuskan kempen global untuk memboikot kepentingan perniagaan Amerika Syarikat di seluruh dunia sebagai membantah bantuan kewangan berterusan Washington kepada jentera perang Zionis.
Bapa kepada tiga anak itu berkata sebelum menyertai boikot menyasarkan syarikat yang menurut kumpulan pro-Palestin terkait dengan ekonomi AS, dia dan keluarganya membeli makanan segera hampir setiap minggu.
Tetapi setahun setengah mengelakkan makanan sedemikian telah mendatangkan pelbagai kebaikan.
"Antaranya, kami lebih dapat mengawal pengambilan gula dan minyak yang diproses secara berlebihan," kata Walid, seorang pensyarah di UiTM.
"Badan terasa kurang mengalami keradangan, dan sistem penghadaman pun menjadi lebih baik. Perut rasa lebih selesa, dan tenaga harian pun lebih stabil," katanya yang berusia 41 tahun.
Konflik di Gaza yang kini meragut lebih 50,000 penduduk Gaza mengakibatkan gerakan boikot besar-besaran di seluruh dunia, terutama di negara Islam.
Ia ditunjangi oleh kumpulan seperti Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) yang turut mempunyai pengaruh di Malaysia.
McDonald’s Malaysia, dimiliki oleh Gerbang Alaf Restaurants memfailkan saman terhadap BDS Malaysia dan menuduh gerakan itu menjejaskan perniagaannya.
Bagaimanapun, rangkaian burger itu menggugurkan saman itu tahun lepas berikutan proses mediasi.
Rangkaian lain seperti KFC dan Starbucks juga telah menanggung kesan buruk, di mana ratusan kedai KFC dan Starbucks dilaporkan ditutup sejak permulaan boikot.
Selain menikmati kesihatan yang lebih baik, Walid dan keluarganya kini dapat berjimat lebih RM300 sebulan daripada makan di luar, dan mendapati adlaah lebih murah untuk makan di rumah.

Ean Nasrun, penyampai radio di sebuah stesen tempatan, berkata perubahan ketara dirasai selepas berhenti menikmati hidangan kegemaran seperti burger dan ayam goreng.
"Saya masak sendiri sekarang. Saya juga kurangkan makanan bergoreng. Bila disusuli dengan senaman, saya berjaya turunkan 10kg,” katanya.
Walaupun Ean mengakui kos makanan sihat boleh jadi lebih mahal, dia menganggapnya sebagai pelaburan jangka panjang yang berbaloi dari segi kesihatan dan kesedaran.
Ean dan isteri juga akan memasak sendiri makanan segera jika diminta oleh anak-anak saudaranya.
"Burger 'homemade' kami jauh lebih sihat kerana kami meletakkan lebih sayuran," tambahnya.
Ia bermakna tiada lagi mengharapkan makanan yang dipesan secara pandu-lalu walaupun gaya hidupnya sentiasa sibuk dan bergerak.
Ean pula kini membawa bekal dari rumah.
Bagi pelajar universiti, Khadija Nabiha Mohd Nazari, keputusan untuk menyokong boikot membuka ruang kepada gaya hidup yang lebih sihat.
"Kebanyakan jenama yang diboikot menjual makanan yang dekat di hati kita. Kita membesar dengan jenama-jenama ini," katanya memberi contoh jenama aiskrim terkenal yang mengandungi gula dan bahan tiruan.
"Kini saya tidak lagi membeli aiskrim. Saya lebih memilih buah-buahan dan ia adalah makanan sebenar," katanya.
Seperti Walid, Khadija juga dapat menjimatkan perbelanjaannya, iaitu hampir RM100, kerana tidak lagi mengunjungi restoran makanan segera.
Sebelum gerakan boikot, dia mengunjungi restoran bersama rakan-rakannya beberapa kali dalam sebulan.
Pakar kesihatan Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, trend boikot merupakan langkah penjagaan kesihatan yang baik.
Menurutnya, selain memberi tekanan kepada syarikat gergasi dan industri makanan segera yang menyumbang kepada tabung kerajaan AS. ia juga membantu mengurangkan masakah obesiti.
"Makanan segera ini mempunyai kadar kalori yang tinggi, lemak yang tinggi, kadar asid trans-lemak yang tinggi dan kandungan garam yang tinggi.
"Kita juga boleh membantu industri makanan tempatan yang lebih segar," katanya.
Malaysia berdepan krisis obesiti berdasarkan Laporan Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang menunjukkan 54.4% orang dewasa Malaysia adalah gemuk atau terlebih berat badan, meningkat daripada 44.5% pada 2011.
Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain menyenaraikan amalan memakan bahan diproses atau makanan segera dalam jumlah besar sebagai antara faktor yang menyumbang kepada masalah obesiti dan berat badan berlebihan.
Pertalian antara makanan segera dan obesiti menjadi topik besar susulan saman mahkamah difailkan dua remaja AS pada 2003, yang menyaman McDonalds kerana menjadikan mereka obes.
Kes itu bagaimanapun ditolak, tetapi penyelesaian muktamadnya masih belum diselesaikan sehingga kini.
Susulan kes tersebut, gergasi makanan dan minuman memulakan kempen besar-besaran, memperkenalkan produk yang lebih berkhasiat, mempromosikannya melalui pengiklanan dan pelabelan terperinci, dan meningkatkan akses orang ramai kepada maklumat pemakanan di menu dan laman web.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.