- Iklan -
Berita

Persoalan timbul selepas Anwar raikan bos kripto disabitkan jenayah kewangan di AS, diharamkan di Malaysia

Changpeng Zhao pernah menjalani hukuman penjara di AS manakala syarikatnya Binance didenda berbilion dolar.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim bersama raja kripto Changpeng Zhao yang pernah disabitkan jenayah, di pejabatnya di Putrajaya pada 22 April, 2025.
Anwar Ibrahim bersama raja kripto Changpeng Zhao yang pernah disabitkan jenayah, di pejabatnya di Putrajaya pada 22 April, 2025.

Persoalan dibangkitkan orang ramai selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim meraikan seorang pemain mata wang kripto yang pernah terpalit jenayah kewangan di pejabatnya, hampir setahun selepas dikenakan hukuman penjara oleh sebuah mahkamah di Amerika Syarikat atas tuduhan pengubahan wang haram dan penipuan lain.

Komen membanjiri beberapa akaun media sosial milik Anwar yang berkongsi pertemuannya bersama Changpeng Zhao, bekas CEO Binance, sebuah syarikat yang diharamkan beroperasi di Malaysia.

Pada April 2024, ahli perniagaan Canada kelahiran China itu dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh sebuah mahkamah di Seattle, AS, selepas mengaku bersalah melanggar undang-undang anti-pengubahan wang haram AS.

- Iklan -

Pada 2021, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan tindakan penguatkuasaan terhadap Binance kerana mengendalikan perniagaan mata wang kripto secara haram di negara ini.

SC juga memasukkan Binance dalam senarai bermasalah dan mengeluarkan peringatan kepada Zhao dan tiga entiti Binance lain di United Kingdom, Lithuania dan Singapura.

Suruhanjaya itu turut mengarahkan Binance untuk menurunkan laman web dan aplikasinya di Malaysia, dan menghentikan serta-merta semua aktiviti promosinya kepada pelabur Malaysia.

Pihak pendakwaaan di AS berkata Binance telah gagal melaporkan lebih daripada 100,000 transaksi yang mencurigakan, di samping menyifatkan syarikat itu menjadi pusat transaksi wang haram yang melibatkan kumpulan pelampau, jenayah dan pihak yang terlibat dalam pengedaran bahan seksual kanak-kanak.

Binance didenda AS$4.3 bilion, manakala Zhao sendiri didenda AS$50 juta.

Hukuman penjara terhadap Zhao tahun lalu dikenakan beberapa hari selepas seorang lagi taikun mata wang kripto, Sam Bankman-Fried, dipenjarakan 25 tahun atas penglibatannya dalam salah satu kes penipuan wang terbesar dalam sejarah, di mana pihak berkuasa di AS merampas aset berjumlah AS$11 bilion.

Selasa lalu, Anwar menyifatkan pertemuannya dengan Zhao sebagai "produktif" dalam membincangkan potensi Malaysia menjadi hab industri blockchain.

- Iklan -

"Saya mengalu-alukan perbincangan berterusan bersama agensi seperti Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Digital untuk meneroka kaedah memudahcara dan mempromosikan inovasi yang bertanggungjawab. 

"Dengan langkah yang betul, Malaysia boleh meletakkan dirinya di barisan hadapan dalam transformasi digital global ini," katanya.

Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi, dan perhatian ramai segera tertumpu kepada latar belakang jenayah Zhao.

"Ni bukan scammer ke?" tanya pengguna X, Ka Ha.

Beberapa pengguna memaklumkan mengenai larangan yang dikenakan terhadap Binance daripada menjalankan operasinya di Malaysia.

"Kamu nak bekerja dengan penjenayah yang cuci wang untuk pengganas?" soal seorang pengguna lain.

"Ramai-ramai orang, kamu pilih CZ? Dia ada sejarah jenayah," tulis seorang lagi.