Penduduk Kg Sungai Baru tuntut inkuiri status tanah, rancang perhimpunan di KL
Tuntutan mereka mendapat sokongan peguam hak asasi Lawyers for Liberty yang berkata pembangunan di kawasan itu sepatutnya membabitkan penduduk yang terkesan.
Terkini
Penduduk Kampung Sungai Baru yang kini berdepan usaha pemaju dan pihak berkuasa mengambil alih tanah milik mereka hari ini menuntut diwujudkan inkuriti berhubung status tanah mereka, dengan mengatakan dokumen rasmi mengesahkan dakwaan mereka bahawa kawasan tersebut merupakan “Malay Agricultural Settlement” (MAS), iaitu Tanah Pertanian Melayu yang meletakkan syarat-syarat ketat sebelum pembangunan dapat dilakukan.
Dalam sidang media bersama dianjurkan kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) di Petaling Jaya, mereka turut menuntut semua pembangunan yang sedang berlangsung di Kampung Sungai Baru dibekukan sehingga keputusan inkuiri tersebut.
"Setelah disahkan melalui inkuiri bahawa tanah itu adalah tanah rizab, maka tanah tersebut dipulangkan kepada penduduk-penduduk," demikian antara tuntutan Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, kumpulan yang lantang melawan pemaju dan kerajaan sejak lebih empat tahun lalu.
Pengerusinya Zainab Alias berkata sekiranya gagal memenuhi tuntutan itu, penduduk Kampung Sungai Baru akan mengadakan perhimpunan di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 7 Mei depan.
Penduduk turut menuntut agar sebarang pembangunan dilakukan oleh kerajaan perlu melibatkan warga Kampung Sungai Baru.
Senarai tuntutan jawatankuasa itu turut menggesa kerajaan memansuhkan Seksyen 3(1)(C) Akta Pengambilan Tanah 1960 pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Tuntutan mereka mendapat sokongan LFL, yang sebelum ini mengadakan perbincangan dan sesi soal jawab bersama penduduk di Kampung Sungai Baru pada Isnin lalu.
Peguam N Surendran mewakili LFL berkata sebarang pengambilan tanah perlu membabitkan penduduk yang terkesan, tetapi ia tidak berlaku dalam kes Kampung Sungai Baru.
"Penduduk hanya tahu apabila proses pengambilan tanah telah selesai. Mereka terpaksa (memilih) sama ada pampasan atau rumah ganti. Di manakah keadilan?" kata Surendran.
Dari segi perundangan, Surendran berkata proses pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah tidak sah jika status rizab Kampung Sungai Baru masih belum terbatal.
Bantahan penduduk di Kampung Sungai Baru semakin rancak akhir-akhir ini, di mana pelbagai kain rentang dinaikkan bagi menzahirkan kemarahan terhadap pemaju dan kontraktor.
Kawasan tersebut kini kelihatan seperti medan pertempuran di tengah-tengah runtuhan bangunan dan batu-bata ekoran beberapa blok flat di kawasan itu yang dirobohkan.

Sementara itu, Rafidah Ibrahim, penduduk Kampung Sungai Baru yang lantang membantah rancangan pengambil alihan tanah itu, berkata nasib yang menimpa kampung berkenaan merupakan tanda aras kepada nasib kawasan perumahan lain.
"Perkara ini satu penindasan. Ia sebagai satu permulaan. Saya mengajak rakyat Malaysia untuk bersatu memansuhkan Seksyen 3(1)(C)," katanya.
Kampung Sungai Baru menjadi perhatian selepas berlaku tarik tali antara pemaju dan penduduk yang enggan berpindah.
Mereka enggan menerima pampasan daripada pemaju dan membantah tindakan kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk pembangunan kawasan itu di bawah Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).
Mereka juga tidak bersetuju dengan jumlah pampasan yang ditawarkan menganggap ianya tidak selari dengan harga pasaran, memandangkan ia hanya beberapa minit perjalanan dari Segitiga Emas dan KLCC, antara kawasan yang paling pesat di Kuala Lumpur dengan nilai hartanah yang melebihi RM1,000 setiap kaki persegi.
Penduduk juga mengambil pendirian bahawa sesuatu tanah yang hendak diambil oleh kerajaan perlu mendapatkan persetujuan 100% daripada pemilik tanah.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.