- Iklan -
Berita

SKMM dibidas selepas tindakan ke atas pengkritik mahu bongkar anak Anwar

Aliff Ahmad berharap akan didakwa atas hantarannya mahu menyiasat Nurul Izzah Anwar.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Tindakan seorang pengkritik yang menawarkan mahu menyiasat Nurul Izzah Anwar menyebabkan beliau dipanggil SKMM untuk disoal siasat.
Tindakan seorang pengkritik yang menawarkan mahu menyiasat Nurul Izzah Anwar menyebabkan beliau dipanggil SKMM untuk disoal siasat.

Seorang pengkritik yang kerap membongkar butiran berkenaan salah urus kerajaan dan korporat membidas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas dipanggil untuk disoal siasat berkenaan tawarannya mahu menyiasat anak sulung Perdana Menteri Anwar Ibrahim, seperti mana beberapa ahli politik lain disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan rasuah.

Aliff Ahmad, pengasas bersama SCRUT, platform yang membantu orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan syarikat kereta terpakai, dipanggil SKMM selepas hantarannya mahu "scrut" Nurul Izzah, iaitu istilah yang membawa maksud membongkar pelbagai butiran dan tindakan seseorang sekiranya terdapat salah laku.

Dalam hantarannya semalam, Aliff berkata akan menyiasat Nurul Izzah sekiranya hantaran itu mencapai 20,000 perkongsian.

- Iklan -
Aliff Ahmad.
Aliff Ahmad.

"Ramai pula minta SCRUT Nurul Izzah. Dia kerja apa? Mana dia dapat duit untuk hidup dan berpolitik? Ada berniaga apa? 20,000 perkongsian (shares) hantaran ini. Aku buatkan. Itu harganya. Korang buat keputusan," tulisnya.

Beberapa jam kemudian, beliau menerima notis mengarahkannya hadir ke pejabat SKMM di Cyberjaya itu pada jam 8 malam tadi untuk disoal siasat di bawah Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang memberi kuasa kepada pegawai SKMM untuk memanggil mana-mana individu bagi tujuan soal siasat, di mana waran mahkamah boleh dikeluarkan sekiranya gagal hadir.

Bagaimanapun, Aliff berkata beliau tidak dapat hadir semalam kerana "ada hal".

"Aku tak boleh datang. Aku suruh pagi esok diorang pergi jumpa majistret tunjuk hantaran aku, minta waran tangkap. Buatlah dokumen sikit malam ini. Esok ngadaplah majistret," tulisnya malam tadi.

Difahamkan Aliff hadir di SKMM pagi tadi.

Beliau mempersoalkan SKMM yang menurutnya "beriya nak siasat".

"Walhal di luar sana berapa banyak hantaran, video atau gambar yang jelek, jijik, lucah, lucah dan dahsyat yang terang-terangan melanggar undang-undang dan akta komunikasi dan multimedia yang patut disiasat," katanya.

- Iklan -

Aliff berharap beliau akan didakwa di mahkamah supaya dapat mendengar hujah terhadapnya.

"Kalau tak dakwa, maksudnya apa?"

Aliff sebelum ini membuat beberapa pendedahan membabitkan pemimpin PKR, termasuk siasatan terperinci terhadap Invoke, syarikat yang ditubuhkan Rafizi Ramli untuk membantu kempen pilihan raya PKR. 

Beliau turut pernah menyasarkan Anwar, timbalannya Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, presiden PAS Abdul Hadi Awang dan pemimpin DAP Lim Guan Eng.

Pada Februari, Aliff melakukan siasatan terhadap beberapa syarikat yang dinamakan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk memecahkan monopoli Puspakom, syarikat yang menjalankan pemeriksaan kenderaan bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan, di mana beliau memberi amaran monopoli Puspakom akan digantikan oleh oligopoli yang diwarnai kronisme dan syarikat ala "Alibaba".

Awal bulan ini, beliau mendedahkan butiran membabitkan Pengerusi PKR Perlis Amin Ahmad yang juga pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia, sebuah syarikat di bawah Kementerian Pendidikan.

Dihubungi MalaysiaNow, Amin, yang isterinya merupakan pengarah urusan sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional, menafikan tuduhan kronisme terhadapnya sambil mengancam tindakan undang-undang terhadap Aliff.

Tindakan terbaru SKMM terhadap Aliff mencerminkan pelbagai sekatan suruhanjaya itu terhadap hantaran media sosial yang mengkritik pentadbiran Anwar, di mana  platform seperti X, YouTube dan Facebook diminta menurunkan kandungan.

- Iklan -

Statistik oleh TikTok untuk tahun 2023 menunjukkan kerajaan Malaysia paling banyak membuat permintaan menurunkan kandungan.

Kerajaan juga telah menyekat blog dan laman berita yang menyiarkan laporan yang tidak disenangi pemimpin kerajaan, termasuk MalaysiaNow, yang pernah disekat selama 48 jam pada Jun 2023.

Sekatan ke atas laman media yang mengkritik kerajaan menyaksikan Malaysia jatuh daripada tempat ke-73 kepada 107 dalam Indeks Kebebasan Media 2024.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.