- Iklan -
Berita

Tuduhan jadi dalang perangkap Yusoff Rawther, Anwar digesa bersihkan nama

Perdana menteri digesa untuk tidak terus membisu berhubung dakwaan membabitkannya dan bekas setiausaha politik Farhash Wafa Salvador.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador. Gambar: Facebook

Bersatu hari ini menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membuat penafian terbuka mengenai dakwaan serius terhadap beliau dan orang kuatnya semasa perbicaraan kes senjata api dan dadah membabitkan bekas pembantu penyelidiknya.

Ia merujuk kepada kenyataan dibuat Muhammed Yusoff Rawther, yang berdepan tuduhan mengedar dadah dan memiliki senjata api susulan serbuan kontroversi polis ke atas kenderaannya pada September tahun lepas.

Semasa perbicaraan awal bulan ini, peguam Yusoff, Rafique Rashid memberitahu mahkamah anak guamnya merupakan mangsa perangkap orang berkuasa, di mana pistol tiruan dan ganja telah diletakkan di dalam keretanya.

- Iklan -

Rafique turut menjelaskan yang Yusoff telah memberitahu polis bahawa Anwar dan bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador tidak berpuas hati dengan Yusoff disebabkan aduan yang dilaporkan terhadap mereka.

"Ini adalah tuduhan yang amat serius dan mempunyai implikasi undang-undang yang sangat berat termasuk kemungkinan hukuman mati sekiranya terbukti. Namun kini, tiada satu pun penafian rasmi, kenyataan terbuka atau tindakan undang-undang balas daripada pihak perdana menteri mahupun saudara Farhash terhadap tuduhan ini," kata Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, pengerusi Biro Perundangan & Perlembagaan Bersatu.

Yusoff Rawther ketika dibawa ke mahkamah pada 12 November, 2024. Pemuda itu mendakwa dirinya mangsa perangkap oleh mereka yang menyimpan dendam terhadapnya.
Yusoff Rawther ketika dibawa ke mahkamah pada 12 November, 2024. Pemuda itu mendakwa dirinya mangsa perangkap oleh mereka yang menyimpan dendam terhadapnya.

"Saya menyeru agar perdana menteri tampil segera untuk menafikan secara terbuka tuduhan yang telah dinyatakan secara jelas di mahkamah ini demi menjaga maruah jawatan beliau serta mengelakkan sebarang keraguan awam terhadap kredibiliti dan integriti kepimpinan negara."

Yusoff, cucu aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Idris, didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api.

Menurut kertas pertuduhan, polis menemui dadah dan senjata api dalam kereta Yusoff sejurus selepas ia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur berikutan serbuan polis pada pagi 6 September tahun lepas.

Yusoff menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu, sebaliknya memfailkan dua laporan polis dengan menyertakan beberapa nama orang yang perlu disiasat.

Ahli keluarga Yusoff sebelum ini membutirkan bagaimana pemuda itu ditahan ketika polis menggeledah kereta itu dan kemudiannya menemui dua pistol dan 305g ganja.

- Iklan -

Insiden itu berlaku seminggu selepas Yusoff memfailkan senarai saksi dalam samannya terhadap Anwar, yang bakal dibicarakan pada 16 Jun ini.

Semasa pemeriksaan balas saksi pendakwaan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan pasukan pembelaan untuk merujuk kepada dokumen saman sivil Yusoff terhadap Anwar.

"Kita kena letakkan asas siapa yang bagi arahan (perangkap) kalau betul ada arahan. Kenapa dia rasa dia perangkap? 

"Dari hari pertama Yusoff kekal mengatakan dia adalah mangsa perangkap," Rafique memberitahu mahkamah pada 7 April.

Yusoff Rawther (berbaju kemeja putih) ketika menghadiri sesi pemeriksaan kereta Nissan Teana miliknya yang diserbu polis pada September 2024.
Yusoff Rawther (berbaju kemeja putih) ketika menghadiri sesi pemeriksaan kereta Nissan Teana miliknya yang diserbu polis pada September 2024.

Perhatian perbicaraan tertumpu kepada bagaimana pintu kereta Yusoff dibuka dengan kunci manual seperti didakwa polis, sedangkan sesi khas mahkamah untuk memeriksa kereta itu mendapati pintu itu tidak mempunyai lubang kunci.

Pada 11 April, seorang pegawai polis ketika disoal balas bersetuju ada kemungkinan kereta milik Yusoff digodam atas arahan pihak berpengaruh untuk meletakkan pistol dan dadah, sebelum polis menerima panggilan daripada pihak tidak diketahui memaklumkan mengenai barangan itu.

Sementara itu, Khaliq menyifatkan langkah mahkamah membenarkan pembelaan untuk mengemukakan dokumen berkait saman sivil serangan seksual terhadap Anwar sebagai "mengejutkan".

"Kebenaran perlu ditegakkan dan fitnah — jika benar ia fitnah — wajib dibalas dengan tindakan, bukan diam membisu. Jika perdana menteri yakin dirinya bersih, maka rakyat berhak mendengar penafian itu secara jelas dan rasmi," tambahnya.