- Iklan -
Berita

'Johari tak faham fakta': Peguam sekolahkan menteri mengenai isu Kampung Sungai Baru

Johari Abdul Ghani mempertahankan aktiviti perobohan oleh pemaju di kawasan itu di sebalik bantahan penduduk.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Kampung Sungai Baru di tengah-tengah Kuala Lumpur telah meningkatkan bantahan terhadap pengambilalihan tanah mereka.
Penduduk Kampung Sungai Baru di tengah-tengah Kuala Lumpur telah meningkatkan bantahan terhadap pengambilalihan tanah mereka.

Sekumpulan peguam mewakili penduduk Kampung Sungai Baru yang membantah pengambilan tanah mereka di tengah-tengah ibu kota membidas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani yang mempertahankan tindakan pemaju, sambil menolak dakwaan beliau tanah yang terlibat berstatus "leasehold" (hak milik pajakan).

Lawyers for Liberty (LFL) berkata dakwaan Johari bahawa kawasan itu bukan tanah rizab Melayu adalah "salah baik dari segi fakta mahupun perundangan" kerana keseluruhan Kampung Baru, dengan keluasan 220 ekar yang turut meliputi Kampung Sungai Baru, telah diwartakan sebagai "Tanah Pertanian Melayu", atau MAS, sejak 1932.

"Sempadan tanah yang disebut dalam warta jelas termasuk Kampung Sungai Baru, seperti mana dilihat dalam peta yang diperakui kerajaan. Maka tidak dapat dinafikan Kampung Sungai Baru merupakan tanah rizab Melayu. Maklumat ini penting dalam memahami dan menyelesaikan pertikaian sekarang, tetapi nampaknya Johari sama ada tidak menyedarinya atau langsung tidak memahaminya," kata N Surendran dari LFL.

- Iklan -
Johari Abdul Ghani dan N Surendran.
Johari Abdul Ghani dan N Surendran.

Johari, yang juga ahli Parlimen Titiwangsa, berkata kerja-kerja perobohan oleh pemaju swasta terbabit perlu diteruskan walaupun mendapat tentangan penduduk, yang sejak kebelakangan ini telah meningkatkan kempen mereka membantah pengambilalihan tanah.

Surendran berkata status kawasan itu sebagai tanah rizab Melayu tidak pernah dibatalkan kerajaan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 4(1) Akta Enakmen Rizab Melayu.

Surendran turut berkata status Kampung Sungai Baru yang dinyatakan sebagai "leasehold" dengan pajakan 99 tahun dalam geran tanah adalah tidak betul.

"Ia tidak pernah berstatus leasehold. Tanggungjawab terhadap kesalahan yang mengejutkan ini terletak pada kerajaan yang mengeluarkan geran yang salah pada tahun 1970-an," tambahnya.

Minggu lalu, penduduk menuntut diadakan inkuiri mengenai status tanah mereka, sambil memetik dokumen rasmi yang menyatakan ia di bawah status MAS.

Mereka turut menggesa agar kerja-kerja perobohan dan pembangunan dihentikan sehingga penemuan inkuiri.

"Setelah disahkan melalui inkuiri bahawa tanah itu adalah tanah rizab, maka tanah tersebut dipulangkan kepada penduduk-penduduk,” kata Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru dalam sidang media bersama dihadiri pemilik tanah dan peguam LFL pada 25 April lalu.

- Iklan -
Peguam dari kumpulan Lawyers for Liberty bersama wakil penduduk dan pemilik tanah Kampung Sungai Baru pada 25 April, 2025, bagi menyatakan tuntutan mereka terhadap kerajaan.
Peguam dari kumpulan Lawyers for Liberty bersama wakil penduduk dan pemilik tanah Kampung Sungai Baru pada 25 April, 2025, bagi menyatakan tuntutan mereka terhadap kerajaan.

Surendran yang juga penasihat jawatankuasa itu berkata disebabkan status kawasan itu sebagai tanah rizab Melayu, keseluruhan proses pengambilalihan di Kampung Sungai Baru adalah "terbatal dan melanggar undang-undang".

"Bagaimana mungkin ia sah dari segi undang-undang sedangkan pengambilan tanah oleh kerajaan adalah berdasarkan leasehold, sedangkan tanah itu sebenarnya tanah rizab pegangan bebas? Jika pengambilalihan itu menyalahi undang-undang, pembangunan yang sedang dilakukan kini juga berdepan masalah," katanya.

Kampung Sungai Baru menjadi perhatian selepas berlaku tarik tali antara pemaju dan penduduk yang enggan berpindah.

Mereka enggan menerima pampasan daripada pemaju dan membantah tindakan kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk pembangunan kawasan itu di bawah Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu.

Mereka juga tidak bersetuju dengan jumlah pampasan yang ditawarkan menganggap ianya tidak selari dengan harga pasaran, memandangkan ia hanya beberapa minit perjalanan dari Segitiga Emas dan KLCC, antara kawasan yang paling pesat di Kuala Lumpur dengan nilai hartanah yang melebihi RM1,000 setiap kaki persegi.

Penduduk juga mengambil pendirian bahawa sesuatu tanah yang hendak diambil oleh kerajaan perlu mendapatkan persetujuan 100% daripada pemilik tanah.

Sementara itu, Surendran mempersoalkan Johari kerana meminta penduduk terjejas mengadakan rundingan dengan pemaju.

Sebaliknya, Surendran berkata kerajaan yang sepatutnya terlibat dalam menyelesaikan perkara itu.

- Iklan -

"Kerajaanlah yang mempunyai sumber dan pengaruh untuk berunding dan menyelesaikan perkara itu. Kerajaanlah yang menjadi punca masalah itu dari awal dengan menggunakan undang-undang pengambilan tanah; maka untuk ia mengabaikan penduduk adalah bukan saja salah dari segi undang-undang tetapi juga dari segi moral.

"Kerajaan perlu campur tangan segera dan mengambil semua langkah yang perlu untuk mencapai matlamat ini," tambahnya.

Katanta, penduduk tidak menentang pembangunan, sebaliknya hanya menuntut supaya pembangunan itu "adil dan saksama".

Beliau turut memberi amaran penduduk "tidak dipermainkan" dengan tawaran pampasan di bawah nilai pasaran atau rumah ganti yang tidak setaraf.

"Umum mengetahui tanah mereka merupakan hartanah bernilai tinggi. Penduduk Kampung Sungai Baru tidak boleh dinafikan faedah daripada pembangunan ini."