Pemeriksaan telefon Yusoff Rawther dapati tiada langsung teks berkait dadah, kata saksi polis
Pegawai penyiasat turut mengakui pemuda itu konsisten dan persisten dalam menafikan barangan itu miliknya.
Terkini
Pegawai penyiasat kes dadah dan senjata melibatkan Muhammed Yusoff Rawther hari ini memberitahu mahkamah bahawa tiada apa-apa mesej atau rujukan mengenai dadah dijumpai apabila telefon milik pemuda itu diperiksa polis.
Inspektor Muhd Zuhairi Md Zuhir, saksi terakhir untuk kes pendakwaan sebelum mahkamah memutuskan sama ada Yusoff perlu membela diri, turut ditanya peguam bela Rafique Rashid mengenai penafian berkali-kali oleh Yusoff menerusi kenyataannya kepada polis dan laporan polis yang difailkan selepas penangkapannya pada September tahun lalu.
"Dalam (telefon Yusoff) langsung tidak ada WhatsApp sebarang mesej, telegram atau apa-apa apps mesej menunjukkan jual beli dadah, memesan dadah, dan jumpa orang untuk menjual dadah. Setuju?" soal Rafique, diikuti dengan jawapan "setuju" oleh Zuhairi.
Rafique: Mengambil kira semua ini, setuju saya katakan Yusoff Rawther merupakan mangsa perangkap oleh mereka yang tidak mahu dia pergi ke mahkamah untuk teruskan kes dia terhadap Anwar Ibrahim?
Zuhairi: Tak setuju.
Yusoff, yang pernah bertugas sebagai penyelidik di pejabat Anwar di Petaling Jaya pada 2018, berdepan tuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api berdasarkan dakwaan polis bahawa ganja seberat 300.1g dan dua pucuk pistol tiruan ditemui dalam kenderaannya.
Beliau menafikan sekeras-kerasnya barangan tersebut miliknya, sebaliknya berkata dia merupakan mangsa "orang berkuasa" disebabkan aduannya mengenai serangan seks melibatkan Anwar.
Pada Julai 2021, Yusoff memfailkan saman sivil terhadap Anwar, mendakwa diserang secara seksual. Anwar menafikan tuduhan tersebut. Tarikh perbicaraan saman itu ditetapkan pada 16 Jun ini.
Sebelum itu, Zuhairi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa selepas pistol tiruan dibawa keluar polis ketika kereta Yusoff diserbu, polis melakukan pemeriksaan kali kedua kenderaannya untuk mencari peluru.
Bagaimanapun, Zuhairi berkata polis menemui dadah jenis ganja di bawah tempat duduk belakang kereta Nissan Teana itu, ketika pemeriksaan dilakukan di kawasan tempat letak kereta di depan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
"Namun pemeriksaan tidak menjumpai peluru yang dicari, tetapi telah menjumpai satu ketulan dadah disyaki ganja dalam kenderaan milik orang kena tuduh," katanya.
Menurut Zuhair, ruang simpan barang (compartment) di tempat duduk belakang kenderaan itu di mana ganja ditemui merupakan bahagian asal yang tidak diubah suai.
"Ia (dadah) tidak disorokkan dalam special compartment namun menurut saksi polis, dia memerlukan sedikit masa untuk unlock kedua-dua pin sebelum sofa tempat duduk diangkat dan dadah dijumpai," tambahnya.
Zuhairi mendakwa Yusoff tahu dan memiliki dadah tersebut kerana kenderaan itu miliknya, selain dia juga satu-satunya individu yang berada di dalam kenderaan ketika serbuan dijalankan.
Mahkamah sebelum ini diberitahu pihak polis menerima maklumat menerusi panggilan telefon daripada seorang individu yang tidak dikenali berkaitan pemilikan senjata api oleh seorang individu dalam sebuah kenderaan di Jalan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Yusoff kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Lelaki berusia 32 tahun itu menamakan Anwar dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador, sebagai antara orang yang ingin memerangkapnya susulan laporan polis dan saman sivil yang difailkan terhadap perdana menteri.
Sementara itu, disoal peguam bela Takiyudin Hassan, Zuhairi menafikan siasatan yang dilakukannya adalah tergesa-gesa kerana tidak memanggil Anwar dan Farhash sebagai sebahagian daripada siasatan.
Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan 12 Jun untuk memutuskan sama ada Yusoff perlu membela diri.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.