Pisahkan politik dan perniagaan, kata syarikat Bumiputera diusir dari Menara Kuala Lumpur
Ahli perniagaan sudah banyak dibebankan risiko geopolitik, kata Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh.
Terkini
Syarikat yang diusir keluar dari Menara Kuala Lumpur menggesa pemisahan kuasa antara politik dan perniagaan bagi mengelakkan kerugian kepada perniagaan dan kerajaan.
Pengarah Urusan Hydropshoppe Sdn Bhd, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh berkata, perebutan konsesi mercu tanda itu menjadi contoh situasi kalah-kalah kepada entiti bisnes dan juga kerajaan.
"Ahli perniagaan akan ambil peguam dan memfailkan saman. Pada permulaan ahli perniagaan dikira rugi kerana terpaksa menanggung.
"Tetapi jika dia menang, kerajaan juga rugi kerana dia akan menanggung (bayaran pampasan)," katanya dalam satu podcast bersama Mohd Zubir Embong.
Pada 2022, Hydroshoppe dipilih sebagai pemenang konsesi menguruskan Menara Kuala Lumpur oleh jawatankuasa di bawah Kementerian Komunikasi menerusi "request for proposal" selepas mengatasi empat syarikat lain.
Bagaimanapun, Kementerian Komunikasi kemudian mengumumkan LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), sebuah anak syarikat Lim Seong Hai Capital Bhd yang dimiliki taikun Lim Keng Cheng, sebagai pemegang baru konsensi menguruskan mercu tanda itu untuk selama dua dekad.
Pada Mac lalu, Hydroshoppe dan anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd memfailkan tuntutan terhadap kerajaan Malaysia dan LSHSM, dengan mendakwa ia masih pemegang konsensi pengurusan yang sah disebabkan Kementerian Komunikasi pada 2022 telah bersetuju melanjutkan konsesi tersebut sehingga 2039.
Pada tengah malam 16 April, polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Pejabat Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan sekumpulan staf LSHSM tiba di perkarangan Menara Kuala Lumpur untuk mengusir Hydroshoppe, disusuli dengan penutupan menara itu selama hampir dua minggu.
Hamid berkata, ahli perniagaan di Malaysia sudah pun berdepan banyak risiko luaran seperti faktor geopolitik.
Justeru, politik tempatan seperti pertukaran kerajaan turut membawa risiko merugikan kedua-dua syarikat dan kerajaan, katanya.
"Anda dah bagi kontrak untuk buat 10 benda. Dia dah siap lima kemudian anda batalkan. Tetapi orang baru kena buat semula bermula dari awal. Jadi setiap pengulangan ini sepatutnya tak boleh.
"Jadi pemisahan politik dengan perniagaan ini perlu. Dan ia menyenangkan penjawat awam untuk membuat kerja," katanya.
Sebelum ini, tindakan Putrajaya mencampur tangan dalam pertikaian membabitkan Menara Kuala Lumpur itu dikritik Perikatan Nasional yang menyifatkan pembabitan agensi kerajaan dalam menutup menara itu sebagai membantu "kelompok mahakaya terpilih".
"Adakah Malaysia sedang menyaksikan satu 'trend' baru kerakusan kerajaan mempergunakan kuasa dan agensi untuk manfaat kelompok mahakaya terpilih?" soal Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, jurucakap portfolio PN memantau Kementerian Komunikasi.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.