Pengumuman bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menubuhkan parti baru berasaskan penyertaan anak muda wajar disambut baik.
Namun, sebelum itu, adakah Syed Saddiq benar memahami anak muda masa kini? Ada apa dengan anak muda yang mahu dipimpinnya di bawah parti baru tersebut?
Sebelum ahli Parlimen Muar itu ingin mengangkat suara anak muda sebagai pembuat dasar dan penyumbang suara dalam polisi, beliau harus sedar bahawa sehingga kini golongan berkenaan tiada hala tuju yang jelas.
Mereka menjadi golongan yang paling terpinggir kerana tiada agenda anak muda nasional yang boleh menjadi ikutan dan bimbingan jati diri mereka. Maka, tidak menghairankan apabila golongan ini lebih mudah terikut budaya dan pemikiran asing.
Majoriti anak muda hari ini hilang keyakinan diri, jati diri juga semakin menipis. Akibat ketiadaan agenda khusus untuk golongan ini menyebabkan mereka sering diperlekehkan.
Sehingga pada satu tahap, mereka digelar “rasis” jika bersuara mengenai nasib bangsa.
Mereka dinamakan “budak-budak baru nak up” apabila memberi pandangan dalam beberapa isu. Suara mereka tidak dianggap penting kerana dianggap masih mentah. Tidak cukup dengan itu, mereka juga dipetik sebagai “manja” apabila memperjuangkan hak dan masa depan sendiri.
Ini boleh dilihat apabila tiada gerakan anak muda yang benar-benar dapat bertahan dalam arus perjuangan sendiri. Isu dan suara yang mereka bawa sebelum ini terhenti dan tidak menunjukkan perubahan ketara di peringkat dasar.
Anak muda yang menuntut supaya Akta Universiti dan Kolej Univeristi 1971 (Auku) dimansuhkan, di mana mereka sekarang?
Anak muda yang mendesak bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dibatalkan, di mana mereka sekarang?
Mereka seolah-olah sudah mengundur diri dan lebih selesa bergerak secara diam. Atau, mungkin tidak lagi bersama dalam perjuangan masing-masing.
Jadi, tidak menghairankan apabila anak muda yang berada di bawah sayap-sayap parti politik hari ini tertera muka yang sama. Jatuh kerajaan lama, naik pula kerajaan baru tetap wajah yang sama berswafoto dengan pak-pak menteri di lobi Parlimen.
Dalam isu ini, kita tidak boleh menuding jari dan melabel gerakan anak muda yang terhenti dan yang masih belum berbuahkan hasil.
Gerakan mereka sememangnya tiada identiti dan prinsip utama yang ingin dipegang. Dan, kepimpinan kerajaan tidak mahu membentu agenda itu.
Atas sebab itu, soalan pokoknya adalah, bersediakah Syed Saddiq untuk membentuk satu agenda anak muda kebangsaan? Tanpa mengira gender, kaum, agama, latar belakang pendidikan dan pemikiran serta berupaya berfungsi secara strategik di bawah nama anak muda negara?
Isu di sini ia bukan lagi mengenai Syed Saddiq berpisah dengan mentornya, Dr Mahathir Mohamad. Ia bukan tentang Syed Saddiq dan parti baru. Ia bukan tentang Syed Saddiq tidak mahu bersama ahli politik tua. Tetapi, ia melangkaui perkara-perjara itu.
Ianya tentang sejauh mana jaminan oleh Syed Saddiq bahawa parti barunya tidak akan melahirkan generasi baru kronisme?
Selepas muak dengan kroni politik orang tua, harapnya penubuhan parti baru itu tidak mewujudkan satu budaya kroni dalam kalangan anak muda pula.
Ianya tentang sejauh mana pendapat dan pemikiran anak muda yang berbeza “school of thought” diraikan dalam parti tersebut?
Sudah tiba masanya parti yang disertai anak muda berbicara tentang permasalahan dan solusi. Bukan hanya menjadi suara untuk pembuat dasar tetapi pencipta dasar negara.
Harus diingatkan, menubuhkan parti semata-mata untuk menyegarkan semangat politik dalam diri anak muda bukanlah kerja murni. Itu dipanggil mengampu.