- Iklan -
Rencana

Dakwa penyokong LTTE jika mereka bersalah

Saya tidak tahu apa tujuan surat bertarikh 12 Februari 2020 yang saya tulis kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu Muhyiddin Yassin, dan saya masih perdana menteri Malaysia, dikeluarkan untuk tatapan umum melainkan untuk memperlihatkan seolah-olah saya penyokong The Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE). Saya mencadang supaya LTTE tidak lagi dilabel sebagai pengganas kerana kerajaan […]

Dr Mahathir Mohamad
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Facebook

Saya tidak tahu apa tujuan surat bertarikh 12 Februari 2020 yang saya tulis kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu Muhyiddin Yassin, dan saya masih perdana menteri Malaysia, dikeluarkan untuk tatapan umum melainkan untuk memperlihatkan seolah-olah saya penyokong The Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).

Saya mencadang supaya LTTE tidak lagi dilabel sebagai pengganas kerana kerajaan Sri Lanka sendiri, di mana pertembungan mereka dengan LTTE berlaku, tidak lagi melabel kumpulan dan pengikutnya sebagai pengganas.

Jika label pengganas diguna terhadap LTTE, maka mereka tidak boleh ikat jamin sementara menunggu perbicaraan.

Langkah ini konsisten dengan pendirian kita sebelum pilihan raya umum 2018 bahawa kita menentang penggunaan beberapa peruntukan undang-undang yang disalahguna kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menahan mereka yang menentang pencurian yang mereka lakukan menerusi syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga salahguna kuasa.

Dan mereka yang menentang ini ditahan tanpa dibicarakan dan tidak dibenar ikat jamin. Ini satu “travesty of justice” ataupun satu ketidakadilan yang melampau. Kerana itu saya membuat cadangan di atas kepada Muhyiddin ketika itu.

Berkaitan dengan Hamas, saya gunakannya sebagai contoh di mana kita tahu masyarakat dunia memang melabel Hamas sebagai kumpulan pengganas.

Tetapi kita tidak pernah bersetuju dengan dakwaan ini. Semua tahu bagaimana kita beri bantuan kepada Hamas di Gaza.

Kita juga menerima lawatan pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh pada 22 Januari 2020. Saya sendiri mengadakan perbincangan dengan pemimpin Hamas ini.

Berkenaan dengan penyokong LTTE, saya dimaklumkan oleh peguam negara tidak ada bukti kukuh untuk mendakwa mereka di bawah undang-undang pengganas yang tidak boleh diikat jamin semasa menunggu perbicaraan.

Saya memberi pendapat saya kepada menteri yang bertanggungjawab berkenaan perkara ini. Pendapat saya bukan suatu arahan.

Bagi saya, jika kerajaan dan peguam negara pada hari ini merasa terdapat bukti yang kukuh untuk mendakwa mereka, seharusnya mereka memulakan proses perundangan yang sewajarnya.

Saya berharap tidak berlaku kezaliman apabila menegakkan keadilan dan melaksanakan undang-undang.

Sekian, terima kasih.