Betul, hari ini adalah sambutan Hari Akademia. Mungkin Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) lupa akan hal ini kerana tiada ucapan khas daripada kementerian tersebut sepanjang hari. Tidak mengapa, ayuh ambil peluang ini untuk zahirkan ucapan selamat dan takzim kepada semua pendidik pengajian tinggi di seluruh negara.
Selain guru-guru di sekolah, para pensyarah dan ahli akademik sering dilupakan. Dengan sambutan hari guru yang tersohor dan disambut seluruh dunia pada 16 Mei, jadikan tanggal 5 Oktober sebagai sambutan untuk rai golongan pendidik diperingkat pengajian tinggi.
Dengan sambutan dan pengiktirafan ini, diharapkan para akademia beriltizam untuk meningkatkan daya pemikiran kritis dalam setiap kajian dan kertas penyelidikan yang dijalankan.
Sambutan Hari Akademia juga lebih akan menjadi lebih bermakna sekiranya ahli akademik menjadi “mesra rakyat” melalui penghasilan kertas kajian yang mudah difahami dan memberi impak secara langsung kepada golongan bukan akademik.
Tiada maknanya jika kajian yang memakan masa bertahun lama dan perbelajaan mencecah ribuan ringgit tetapi tidak berupaya mengubah cara pemikiran orang ramai hanya dek kerana keupayaan seseorang ahli akademik untuk menjadi kritis tiada.
Mereka perlu tampil lebih telus dan berani dengan kajian yang mencerminkan keadaan sebenar kehidupan rakyat. Menjadi seorang intelek atau sekadar seorang pendidik dipisahkan dengan hanya satu garisan dinamakan, kritis.
Difahamkan Malaysia merupakan negara pertama mengadakan hari khusus bagi menghargai sumbangan komuniti akademia. Sambutan ini akan merangkumi kira-kira 70,000 tenaga pengajar di institut pengajian tinggi termasuk pusat latihan, kolej dan politeknik.
Pada tahun lalu, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan mengisytiharkan 5 Oktober bersempena dengan Hari Guru Sedunia Unesco, bermula hari ini sebagai Hari Akademia Malaysia. Tahun ini merupakan kali ke-2 sambutan berkenaan.
Golongan akademik menyandang satu peranan dan gelaran yang mulia. Tergalas di bahu mereka satu martabat yang bukan ramai menikmatinya, yang juga datang dengan tanggungjawab yang besar.
Ia tidak mudah, tapi boleh dilakukan. Jadikan tokoh-tokoh intelek seperti Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, sejarawan Khoo Kay Kim dan pujangga terkenal Prof Dr H. Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka sebagai inspirasi.
Mereka adalah ahli akademik yang kritis dengan setiap hasil kerja. Sumbangan mereka masih menjadi siulan dan rujukan segenap lapisan meskipun sudah tiada.
Inilah yang dimaksudkan, Jangan dilupa, menjadi kritis bukan bermaksud melawan segala hal. Tetapi membentuk masyarakat yang peka dan berfikir serta saling membangunkan negara melalui ilmu yang jelas lagi objektif.
Golongan intelek, yang pastinya dalam praktis dan amalannya memenuhi apa yang dikenali sebagai intellectual rigour dan intellectual honesty.