Dalam bidang komunikasi mesej boleh disampaikan dalam pelbagai cara dengan setiap aktiviti yang menyalurkan mesej tergolong sebagai satu komunikasi.
Hasut maya atau troll juga boleh dikategorikan sebagai satu cara komunikasi, kerana melaluinya mesej dapat disampaikan dengan cepat, lucu dan kreatif.
Troll merupakan satu permainan yang digemari oleh generasi kini. Troll juga boleh datang dalam pelbagai gaya dan naratif sama ada menghina, menjatuhkan maruah, sindir badan atau dikenali juga body shaming dan sebagainya.
Medium troll semestinya di media sosial baik di Facebook mahupun YouTube.
Kebiasaan ia dilakukan dengan mengubahsuai ayat, imej, video atau grafik untuk mengenakan seseorang ataupun berkumpulan dengan meluahkan rasa tidak puas hati, membuat lawak, membalas dendam dan sebagainya.
Perbuatan ini tidak terhad kepada mana-mana golongan, namun kebiasaannya figura terkenal akan dijadikan penanda aras baik ahli politik, artis, personaliti media sosial atau sesiapa sahaja yang dikenali.
Humor akan digarab dengan baik bagi membolehkan troll itu mendapat perhatian khalayak sebelum ia dinobat sebagai viral dalam media sosial.
Sebagai contoh, troll lucu yang kini menghiasi dinding-dinding media sosial ialah Kannamma.
Kannamma adalah gambar seorang wanita berketurunan India yang memakai sari berwarna biru kehijauan dan menjinjing sebuah beg pakaian berwarna kelabu.
Gambar itu kemudian diedit memperlihatkan Kannamma berada di KLCC, Sungai Siput, Taiping, Johor dan sebagainya.
Wanita bersari itu telah mengelilingi dan masih mengelilingi seluruh negara sehingga kini. Persoalannya sekarang siapakah wanita itu dan kenapa dia ditroll?
Daripada apa yang diketahui, wanita itu adalah watak daripada sebuah drama bersiri di India berjudul Barathi Kannamma dan ia turut disiarkan di Malaysia.
Dalam drama itu, wanita berkenaan memegang watak sebagai Kannamma dan suaminya yang bekerja sebagai seorang doktor dikenali sebagai Barathi.
Ibarat satu lipur lara, rumahtangga mereka diduga dengan pelbagai masalah dan akhirnya Kannamma yang sarat mengandung terpaksa melangkah keluar dari rumah selepas suaminya mengesyaki anak yang dikandung bukan zuriatnya.
Kannamma membawa diri tanpa hala tuju dari satu tempat ke satu tempat ditemani sebuah beg dengan pelbagai dugaan ditempuhinya seorang diri bersama bayi yang dikandung.
Mungkin dek kerana kebosanan melihat Kannamma asyik berjalan ke sana ke sini episod demi episod seolah-olah tiada penghujung menyebabkan penonton mula muak dan menjadikan troll watak tersebut sebagai tanda tidak puas hati.
Kannamma kini berjaya mencuit hati rakyat Malaysia sehingga ada pihak-pihak tertentu menggunakan imejnya bagi tujuan mempromosikan tempat-tempat menarik di negara ini.
Dia kini berada di mana-mana baik di premis-premis perniagaan, iklan-iklan online dan poster-poster.
Biarpun umum sering mengaitkan troll berunsur negatif, akan tetapi dalam kes Kannamma ia adalah berlawanan.
Pendek kata, penulis berpandangan troll boleh dijadikan medium hiburan yang membina dan juga berupaya menjadi saluran menyampaikan mesej dengan berkesan jika ia dilakukan dengan baik dan kreatif.
Apa yang dilakukan netizen seperti serampang dua mata, bukan sahaja ia memberi mesej kepada pengarah drama tersebut, malah berjaya menyelitkan kebaikan kepada orang lain.
Akhir kata semoga Kannamma selamat sampai ke destinasi yang dituju sebelum melahirkan anaknya.
Penulis merupakan pensyarah kewartawanan, Universiti Sains Malaysia
*Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak mencerminkan pendirian MalaysiaNow.