- Iklan -
Rencana

Kes Covid-19 meningkat, tidak adil salahkan Muhyiddin

Tindakan 'merotan' bukan satu perkara lucu, ia adalah satu analogi yang mudah difahami segenap lapisan masyarakat.

Mohd Hidayat Samad
2 minit bacaan
Kongsi
Rakyat perlu mematuhi prosedur operasi standard supaya rantaian Covid-19 dapat diputuskan.
Rakyat perlu mematuhi prosedur operasi standard supaya rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

Seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang lain, saya turut mengikuti perutusan khas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang disiarkan secara langsung pada Selasa lepas. Saya juga mengikuti reaksi orang ramai, terutamanya komen-komen di laman sosial.

Terdapat komen menyambut baik saranan dan nasihat perdana menteri, serta tidak kurang juga bersifat sinikal dan memperlekehkan pengumuman tersebut.

Ada pula sesetengah pengguna media sosial yang kurang selesa dengan kenyataan perdana menteri untuk ‘merotan’ mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Bagi saya, tidak apa pun yang lucu apabila Muhyiddin menyebut mengenai ‘rotan’ ketika beliau menegaskan hukuman akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat terhadap mana-mana individu yang melanggar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Saya melihat ia adalah cara tersendiri perdana menteri untuk menyampaikan perutusan kepada segenap lapisan rakyat menggunakan analogi mudah dan senang difahami supaya mesej berkesan dapat disampaikan kepada kumpulan sasar.

Rakyat kita bukan hanya di ibu kota atau bandar-bandar besar sahaja, bukan setakat golongan elit atau moden, tetapi juga rakyat yang tinggal di pedalaman, luar bandar dan desa.

Saya secara peribadi terkesan dengan perutusan perdana menteri semalam, nada beliau ketika menyampaikan ucapan didengar seperti satu rayuan yang masih ada ketegasan, sesuai dengan keadaan semasa penularan kes Covid-19 dalam negara kita.

Muhyiddin turut mengakui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai antara punca penularan terkini dalam kes Covid-19, tidak berselindung atau ‘mengunci mulut’ membiarkan isu itu berlalu begitu sahaja.

Mengikut Perlembagaan negara, PRN itu terpaksa diadakan selepas bekas Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal menasihatkan Yang di-Pertuan Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengikut undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada pilihan kecuali mengadakan PRN berkenaan dalam tempoh 60 hari selepas menerima notis memaklumkan berlaku kekosongan DUN.

PRN itu boleh sahaja dielakkan andai Shafie ketika itu mengaku beliau sudah tidak mendapat kepercayaan DUN, sekali gus akan membolehkan peralihan kuasa berjalan dengan aman.

Peralihan kuasa sedemikian bukan tidak pernah berlaku, terbaru adalah di Melaka dan Kedah pada awal tahun ini dan sebelum itu di Perak pada tahun 2009.

Sebab itu, saya rasa adalah tidak wajar perdana menteri dipersalahkan atas perbuatan atau tindakan orang lain.

Ada juga yang menuduh Majlis Keselamatan Negara melonggarkan SOP untuk kempen PRN Sabah, tetapi bagi saya, ia tuduhan yang tiada berasas kerana tiada pun kelonggaran sedemikian diberikan.

Sebaliknya, dari semasa ke semasa, ada sahaja peringatan demi peringatan diberikan oleh pihak berwajib kepada penduduk Sabah dan jentera kempen pilihan raya supaya mematuhi SOP yang ditetapkan.

Saya juga tidak menafikan pemimpin politik perlu turut mengambil tanggungjawab dalam penularan jangkitan, tetapi tidak wajar rasanya meletakkan tanggungjawab itu kepada menteri atau pemimpin kerajaan sahaja kerana kempen di Sabah juga dihadiri pemimpin pembangkang.

Seperti dilaporkan media dan portal berita, hanya seorang menteri disahkan positif Covid-19 setakat ini bersama 3 Adun Pakatan Harapan.

Kini, semua mesti tahu keutamaan atau prioriti kita, jangan buang masa untuk terus cari kesalahan atau menuding jari.

* Artikel ini merupakan pandangan penulis dan ia tidak mencerminkan pendirian MalaysiaNow.
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.