- Iklan -
Rencana

Wawasan kemakmuran bersama patut fokus kepada keupayaan, bukan kekayaan Bumiputera

Ini kerana kekayaan tidak menyentuh kehidupan seharian rakyat biasa.

Lee Hwok Aun
4 minit bacaan
Kongsi
Prime Minister Muhyiddin Yassin. Photo: Bernama
Prime Minister Muhyiddin Yassin. Photo: Bernama

Sempena sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 pada 29 September, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membentangkan satu dasar pembangunan jangka panjang.

Beliau menghujahkan sebab-sebab dasar Bumiputera perlu diteruskan lagi dan juga mengulas tentang implikasi program-program yang berunsurkan etnik.

WKB adalah sebuah dokumen yang lengkap dan sukar disangkal, namun isi terasnya kurang menepati cabaran ketidaksaksamaan ekonomi.

Ringkasnya, WKB terlalu memberatkan kepada jurang kekayaan dan kurang menangani jurang keupayaan.

Ia gagal membezakan dua isu penting:

(1) Bantuan am yang diberi kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

(2) Layanan istimewa Bumiputera yang kekal dilaksanakan – dan perlu dipertingkatkan, khususnya dari segi pembangunan keupayaan atau capability building, dalam istilah Inggerisnya.

Kelemahan

Matlamat WKB supaya Malaysia mencapai keadaan hidup yang munasabah bagi semua penduduk pada 2030 amat relevan.

Sememangnya Malaysia perlu meneruskan usaha mempertingkatkan prestasi ekonomi and taraf hidup serta menjana pembangunan insan dan daya upaya, dan merapatkan jurang sosio-ekonomi, termasuk ketidaksaksamaan pendapatan.

Antara objektif utama WKB adalah:

(1) Menstruktur semula ekonomi ke arah yang lebih progresif berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi.

(2) Menangani jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan untuk membela dan meningkatkan keupayaan semua rakyat supaya tiada yang ketinggalan.

Bagaimanapun, WKB perlu dipertimbangkan dengan lebih teliti untuk mengesan kelemahannya.

Pembangunan mampan dan pemeliharaan alam semulajadi agak dipinggirkan, istliah progresif, meskipun berunsur positif, tidak ditakrifkan dengan terperinci.

Objektif pertama perlu dibahaskan dengan tegas, dan diharap dapat dinaiktaraf lagi.

Saya menumpukan perhatian kepada objektif kedua, yang pada pendapat saya dirangkakan terlalu sempit.

WKB mengabaikan jaminan kesamaan dalam keperluan asas, dan tidak mengutamakan ketidaksaksamaan keupayaan, tidak mengimbangkan kepentingan kumpulan majoriti dan minoriti Malaysia.

Bumiputera

Antara isu yang dilaporkan di media adalah pendirian Muhyiddin bahawa ketegangan antara kaum berpunca daripada ketidakpuasan terhadap agihan kekayaan dan pendapatan dalam kalangan masyarakat Bumiputera, khususnya Melayu.

WKB juga membangkitkan rasuah dan ketirisan sebagai sebab utama Bumiputera kurang mencapai potensi penuh, khususnya dari segi kontrak awam yang tidak diusahakan dengan amanah.

Rasuah dan ketirisan semestinya ditangani – sebagai gejala buruk ekonomi dan sistem pentadbiran secara am.

Masalah yang lebih meluas, seperti pengangguran graduan atau kelemahan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berpuncakan sistem pendidikan dan dasar keusahawanan yang kurang berkesan.

Di sebalik tumpuan kepada rasuah dan ketirisan, WKB kelihatan berkecenderungan mengutamakan program-program yang terlibat dalam pengagihan kekayaan, seperti sistem perolehan awam dan peruntukan projek mega.

Adakah masyarakat Melayu benar-benar sangat mementingkan kekayaan, dan begitu mengambil berat kekayaan Melayu-bukan Melayu?

Pemerintahan Pakatan Harapan pada 2018-2019 telah memotong pakej pendapatan lumayan yang diterima oleh ketua eksekutif syarikat milik kerajaan (GLC).

Hasilnya, pendapatan sebahagian golongan kaya Melayu dikurangkan, dan seterusnya jurang kekayaan antara etnik dilebarkan.

Namun, tiada bantahan diluahkan di kalangan rakyat Malaysia; sebaliknya, saya rasa tindakan ini disokong ramai.

Kekayaan atau keupayaan?

Sebenarnya, kekayaan tidak menyentuh kehidupan seharian rakyat biasa, dan ketegangan etnik yang menimbul dari semasa ke semasa lebih bertunjangkan jurang keupayaan dan ketidaksamaan dalam peluang sosioekonomi.

Masyarakat Melayu berpegang lebih kuat kepada dasar yang memanfaatkan mereka, berbanding dengan dasar yang memewahkan segelintir orang atasan.

Bantuan dihulurkan secara meluas kepada masyarakat Bumiputera di pelbagai lapisan: kemasukan dan enrolmen dalam program pra-universiti, kolej teknikal, dan universiti, biasiswa pengajian tinggi, bantuan kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peruntukan kerajaan yang membela kontraktor Melayu, dan banyak lagi.

Saya amat percaya majoriti besar Melayu menyokong dasar yang sedia ada sebab menerima peluang sosioekonomi, dan merasa khuatir terhadap kerajaan yang disangka akan menjejaskan peluang-peluang istimewa tersebut, sedangkan kedudukan ekonomi mereka belum cukup kukuh.

Profil PKS mengikut saiz mencerminkan keadaan ini.

Pada 2015, antara PKS milik Bumiputera, 83.5% dikelaskan mikro, 15.1% kecil dan 1.4% sederhana, manakala bagi PKS milik bukan Bumiputera, 69.9% berskala mikro, 25.9% kecil dan 4.3% sudah bertumbuh ke tahap sederhana.

Pada masa sama, warga bukan Melayu, walaupun bakal menceburi pendidikan tinggi dan kerjaya, terutamanya di sektor swasta, kadangkala merasa tidak senang terhadap peluang-peluang yang dikemukakan kepada warga senegara Melayu yang tersenarai di atas.

Dalam kata lain, kekurangan Malaysia dalam membangunkan keupayaan (capability), yang seterusnya menjadikan Melayu kurang yakin terhadap kebolehan mereka bersaing dan berdikari dan bukan Melayu kurang percaya terhadap keadilan sistem ekonomi, merupakan faktor sosioekonomi utama di sebalik ketegangan etnik.

Inilah yang dimaksudkan jurang keupayaan, berbanding dengan jurang kekayaan.

Penyelesaian

Justeru, jalan penyelesaian dan penggubalan semula objektif kedua WKB harus dilaksanakan. Proses ini melibatkan dua langkah.

Pertama, WKB harus menjamin keperluan asas dan kebajikan am kepada semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama, jantina atau latar belakang, atas hak asasi dan kesamaan nilai dan maruah setiap insan.

Antara bidang di bawah naungan jaminan ini adalah pendidikan rendah dan menengah, gaji minima, program kebajikan dan bantuan awam, serta perlindungan pekerja di sisi undang-undang.

Kedua, WKB harus mendahulukan program-program yang menguatkan keupayaan Melayu dan Bumiputera, terutamanya di sektor pendidikan tinggi, kesuhawanan dan PKS yang memanfaatkan beribu-ribu.

Di mana sesuai, akses kepada program tertentu boleh diperluaskan untuk merangkumi semua warga berpendapatan rendah, atau masyarakat India dan Orang Asli, seperti yang sudah dilaksanakan dalam program kewangan mikro Tekun dan kemasukan ke institut pengajian tinggi awam.

Ucapan PM diakhiri dengan janji kepada rakyat Malaysia: “Kita seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan wilayah mesti makmur bersama. Kemakmuran tidak bermakna apabila ia hanya dikecapi oleh sebahagian rakyat manakala sebahagian lagi ketinggalan di belakang.”

Hasrat ini pasti disambut dengan hati terbuka.

Namun, selagi dasar pembangunan yang menjamin kesaksamaan tidak diketengahkan, dan program-program khas yang menyasarkan golongan tertentu tidak diperkasakan supaya mempertingkan keupayaan sambil menjalinkan sistem sosioekonomi yang lebih inklusif, WKB akan membazir satu peluang untuk melonjakkan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, di mana golongan majoriti cukup berdaya saing dan berkeyakinan diri.

 

*Lee Hwok Aun merupakan felo penyelidik kanan, Iseas-Yusof Ishak Institute.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.